kudengari satu persatu.. menusuk timpa jauh menyusuri.. hanyut.. di dasar hati.. terhampar di situ.. mata mulai berkaca meruntun airmata.. jiwa mulai basah.. jasad mulai dingin.. karam.. di situ kutemui lagi.. diriMu.

Friday, September 4, 2015

Mohon pamitan seketika...

Assalamualaikum wbt...

Alhamdulillah pujian syukur semata-mata untuk Allah.

Saya tak ada perkara untuk diperkatakan di sini, kali ini. Hanya ingin nyuwun pamit beberapa hari kerana akan mula bertugas di luar premis. 

Mungkin tak akan ada yang merasa 'kehilangan' dengan tulisan saya, tetapi sesungguhnya saya pasti akan merasa terkilan kerana tak dapat memperkatakan apa-apa, dan tak dapat berkongsi rasa. 

Mohon maaf jua andai ada perkataan yang kurang disenangi pembaca selama ini. Sesungguhnya tiada niat lain, hanya ingin mengajak pembaca berfikir dan memikir.

Untuk masa yang diberi kepada blog ini, tiada ucapan terbaik selain jazakallahu khairan khatira.

InshaaAllah, dengan izin dan kehendak-Nya jua, berkesempatan ruang dan masa, saya sambung kembali.

Wassalam.




Thursday, September 3, 2015

Perjalanan Ibrahim as...

Tak berapa lama lagi, Hari Raya Aidiladha akan tiba. Iaitu bersamaan dengan 10 Zulhijjah yang jatuh pada 24 September 2015, hari Khamis. Bertepatan pula ketika itu sekolah sedang bercuti panjang. Alhamdulillah...

Ini bermakna, anak-anak akan lebih ceria menyambut hari raya. Sepertinya dalam keluarga saya, hari raya korban atau juga disebut hari raya haji lebih meriah. Ini kerana di pagi hari raya, seusai solat sunat Aidiladha, acara menyembelih haiwan korban adalah satu acara yang senantiasa ditunggu-tunggu. Kanak-kanak dan saya kira termasuk juga orang dewasa akan beramai-ramai berkumpul di perkarangan masjid, surau atau balai-balai raya untuk sama-sama bergotong royong 'mengerjakan' binatang ternakan yang dikorbankan itu. Part ini lah yang menjadi tumpuan terutama kepada kanak-kanak... (yang berani) melihat haiwan-haiwan ini disembelih dan dilapah, peringkat demi peringkat hingga selesai.

Kalau dulu-dulu mengikut cerita arwah ayah saya, binatang korban hanyalah lembu. Tetapi kini, ada unta, kerbau dan juga kambing. Kerbau, lembu dan unta dibahagi kepada 7 bahagian (maksimum) tetapi kambing seekor adalah nisbah korban bagi 1 orang sahaja .

Ritual korban berawal dari sejarah Nabi Ibrahim as. bersama anaknya Nabi Ismail as. 
Nabi Ibrahim as merupakan antara manusia kesayangan Allah yang diangkat darjatnya menjadi Nabi. 

Dan dari segi syariat, bukan sahaja umat Islam menuruti amalan korban Nabi Ibrahim as, malah pembinaan Baitullah iaitu Kaabah serta perjalanan ibadah haji juga adalah bersumber dari sejarah hidup Nabi Ibrahim bersama isteri nya Siti Hajar dan anaknya Nabi Ismail as. yang kemudian disempurnakan tertib perbuatan syariat ibadah haji itu oleh Nabi Muhammad SAW.

Saya kira kisah sejarah bermulanya korban oleh Nabi Ibrahim ini semua sudah tahu. Begitu juga sejarah awal ritual pergerakan ibadah haji bermula daripada perlakuan tawaf, saie, melontar, tahallul dan sebagainya juga, kita telah sedia maklum dan arif. InshaaAllah.

Dan sesungguhnya keistimewaan manusia yang bernama Ibrahim ini jelas sekali hinggakan namanya disebut dan disalawatkan dalam bacaan tahiyatul akhir tiap solat. 

Oleh itu cuba kita baca sedikit sejarah perjalanan Nabi Ibrahim mencari Tuhan, dan mengapa beliau begitu istimewa di sisi Allah SWT.

Nabi Ibrahim as dilahirkan di tengah-tengah masyarakat yang jahil serta kufur. Pada waktu itu Raja Namrud yang memerintah selama empat ratus tahun di kerajaan Babylon. Namrud jadi sangat bimbang bila mendapat firasat bahawa akan lahir seorang lelaki yang dapat menggulingkan kerajaannya. Gentar firasat nya akan menjadi kenyataan, maka dikeluarkanlah satu undang-undang yang memerintahkan semua anak lelaki yang lahir dalam tahun ini mesti dibunuh.

Ayah Nabi Ibrahim iaitu Azar bin Nahur tak sampai hati membunuh anaknya, lalu dibuang anaknya ke hutan belantara agar si bayi mati kelaparan atau dimakan binatang buas tetapi Allah SWT merencanakan yang lain.

Dengan anugerah Allah SWT, jari tangan Nabi Ibrahim as mengeluarkan madu lalu dihisap sehingga Nabi Ibrahim as tidak kelaparan, dan membesar sihat. Terperanjat ayahnya si Azar dan ibunya, melihat anaknya selamat dan tidak mati. Setelah undang-undang membunuh bayi lelaki dimansuhkan maka orang tuanya membawa Nabi Ibrahim balik.

Nabi Ibrahim as bukan sahaja tumbuh membesar sihat jasmani, tetapi baginda juga memiliki otak yang cergas. Nabi Ibrahim as terus mencari jawapan tentang "Dari mana datangnya manusia, siapakah penciptanya...?" Nabi Ibrahim as tidak pernah berhenti mencari Tuhan nya.

Baginda mencari siapa yang mencipta alam dan seisinya. Awalnya dia menganggap bintang yang menerangi malam itulah Tuhannya, namun akhirnya beliau menafikan setelah bintang itu hilang cahaya saat muncul bulan yang lebih terang.

Dalam Al-Quran surah Al-An'am: 76, "Ketika malam telah menjadi gelap, dia (Nabi Ibrahim) melihat sebuah bintang bersinar-sinar terang (lalu) dia (Nabi Ibrahim) berkata: "Itulah Tuhan ku" tetapi tatkala bintang itu terbenam, dia (Nabi Ibrahim) berkata: "aku tidak suka kepada yang terbenam hilang"..."

Nabi Ibrahim as terus mencari siapakah Tuhan yang sebenarnya, hinggalah Baginda diperlihatkan pada keagungan dan kekuasaan Allah SWT. Dalam Al-Quran, surah Al-An'am: 75, "Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Ibrahim tanda-tanda keagungan (kami yang terdapat) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah dia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin."

Setelah beliau melihat kejadian bulan, bintang dan matahari, maka yakin lah dia bahawa itu semua bukan Tuhan. Lalu Nabi Ibrahim membuat kesimpulan bahawa tiada Tuhan selain Allah SWT yang memiliki seluruh alam dan makhluknya.

Dan apabila keyakinan  beliau benar-benar utuh dan teguh, beliau mula berdakwah- mengajak orang-orang di sekitarnya untuk meninggalkan tradisi menyembah berhala. Namun ajakan dan dakwah nya tidak endahkan. Beliau tidak pernah patah semangat, terus berdoa dan memohon.

Lalu dengan kehendak Allah jua, Nabi Ibrahim as. diberi ilham mengatur tindakan yang lebih praktikal dan bijaksana. Tatkala seluruh penduduk bersama Raja Namrud keluar memburu, Nabi Ibrahim as. masuk ke dalam kuil dan menghancurkan semua berhala menggunakan sebuah kapak besar. Semua berhala dihancurkan kecuali satu berhala paling besar, sengaja ditinggalkan, tidak diusik. Dan pada berhala besar itu, Nabi Ibrahim as. letakkan kapak yang digunakannya tadi.

Balik daripada memburu, Raja Namrud dan semua penduduk terkejut. Dengan sangat marah mereka mencari siapa yang berani menghancurkan tuhan-tuhan mereka. Nabi Ibrahim lantas dicurigai kerana beliau seorang sahaja yang tidak ikut memburu. Lalu Raja Namrud memerintahkan Nabi Ibrahim ditangkap. Di hadapan Raja Namrud, Ibrahim berdiri tegak dan tidak gentar sama sekali.

Lantas dia disoal, “Hai Ibrahim, apakah engkau yang menghancurkan berhala-berhala itu?”
Jawab Nabi Ibrahim,  “Tidak, saya tidak melakukannya,” 
“Jangan mengelak, wahai Ibrahim, bukankah kamu seorang yang tinggal ketika orang lain semua pergi memburu?” sergah Raja Namrud. 
"Tidak! Bukan aku yang melakukannya, melainkan berhala besar itu yang melakukannya,” jawab Nabi Ibrahim as. dengan tenang.

Mendengar kata-kata Nabi Ibrahim as, Raja Namrud marah lantas berkata, “Mana mungkin berhala yang tak boleh bergerak itu engkau tuduh menghancurkan berhala lainnya?” 
Mendengar kata-kata Raja Namrud, Ibrahim as. tersenyum lalu bertanya, mengapa masih disembah jika sudah tahu bahawa patung-patung berhala itu langsung tidak boleh bergerak untuk melakukan apa-apa sekalipun?

Kata-kata Nabi Ibrahim menyebabkan Namrud sangat marah, dan sebenarnya sedar tetapi kerana bodoh sombong, dia tak boleh terima kata-kata Nabi Ibrahim as. Lantas Nabi Ibrahim dijatuhkan hukuman dibakar hidup-hidup.

Atas kehendak Allah SWT jua- sebagai menunjukkan kekuasaan-Nya, api tidak membakar Nabi Ibrahim as. walau sedikit pun. Dengan penuh yakin Nabi Ibrahim as. memegang Allah. Dengan sepenuh hati- beliau 'mengingat' bahawa:

"Memadailah bagiku hanya Allah (sebagai Penolong) dan Dia sebaik-baik Pelindung." 

حَسْبِيَ اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ





Wednesday, September 2, 2015

Teladan... hati

Saya suka membaca kisah-kisah sufi seperti di bawah ini. 
Kisah-kisah ini merupakan cerita orang-orang 'suci' di masa silam. 

Orang "suci" di sini bolehlah diertikan sebagai "orang alim" atau "waraq". Ia mengisahkan tentang sebuah perjalanan ajaib mereka dalam menempuh hakikat menuju Tuhan yang tiada batas, dan melalui kisah kemanusiaan inilah perjalanan mereka dapat diketahui. Pahit manisnya perjalanan sekaligus sebagai tangga untuk mencapai cinta-Nya, disertai 'pesan-pesan langit' untuk penghuni bumi.



Tuhan Melihat Hatimu

Pada suatu hari, Hasan Al-Basri berkunjung ke rumah Habib Ajmi, yang juga seorang sufi besar, selain beliau sendiri. Pada waktu solat, Hasan mendengar Hbaib Ajmi banyak melafazkan bacaan solat yang salah. Lalu Hasan memutuskan untuk tidak ikut solat berjamaah dengan Habib Ajmi. Dia merasa kurang sesuai untuk solat bersama orang yang tak boleh melafazkan bacaan solat dengan betul.

Pada malam harinya, Hasan Al-Basri bermimpi. Dia mendengar satu suara... (Tuhan barangkali) berbicara kepadanya: 

“Hasan, jika saja kau berdiri di belakang Habib Ajmi dan menunaikan solatmu, kau akan mendapat keredhaan-Ku, dan solat mu itu akan memberimu manfaat yang jauh lebih besar daripada seluruh solat yang kau lakukan di dalam hidupmu. Kau mencuba mencari kesalahan dalam bacaan solatnya, tapi kau tak melihat kemurnian dan kesucian hatinya. Ketahuilah, Aku lebih menyukai hati yang tulus, dan ikhlas daripada pengucapan tajwid yang sempurna"


Ujian

Ucapan Syaqiq al-Balkh kepada murid-muridnya:

“Kupertaruhkan Imanku kepada Allah, dan pergi mengharungi hutan belantara dengan wang secukupnya di dalam poket. Aku pergi menunaikan haji dan pulang, dan wang kecil (syiling) ini masih ada.”

Salah seorang muridnya berdiri dan berkata:
“Jika anda memiliki wang kecil di dalam poket, lalu bagaimana anda dapat katakan bahwa anda menggantungkan segala sesuatu kepada yang lebih Tinggi?”


Syaqiq al-Balkh menjawab:
“Tidak ada lagi yang dapat kukatakan, anak muda ini benar. Ketika engkau menggantungkan segala sesuatu kepada Allah, maka tidak ada tempat lagi untuk apa pun, sekecil apa pun, sebagai bekalan!”


Orang Gila Yang Faham

Ada seorang gila yang tidak pernah ikut solat secara berjamaah. Di hari Jumaat, dengan segala susah payah, orang-orang memujuknya untuk hadir ke masjid. Maka dia pun hadir solat Jumaat bersama-sama untuk berjamaah.


Akan tetapi ketika Imam memulakan solat, orang gila tersebut justeru melenguh, membuat bunyian seperti bunyi seekor lembu jantan. Orang-orang menyangka bahawa penyakit gila orang itu datang lagi, dan pada saat yang sama mereka ingin membantunya. 

Selesai solat mereka menegurnya:
“Apakah engkau tidak berfikir tentang Allah, engkau bersuara seperti seekor binatang di tengah-tengah solat jamaah?”


Si orang gila menjawab:
“Aku hanya lakukan apa yang dikerjakan Imam. Ketika dia telah 'menekankan', dia membeli seekor lembu, maka aku pun bersuara lah seperti seekor lembu!”


Ketika jawapan pelik ini disampaikan kepada tuan Imam, malah tuan Imam mengakui:
“Ketika aku menyebut "Allahu Akbar", aku sedang memikirkan pertanianku. Dan ketika sampai pada "alhamdulillah", aku berfikir bahawa aku akan membeli seekor lembu. Pada saat itulah aku mendengar suara lenguhan.” ... seperti suara seekor lembu jantan!



Mari kita sama-sama mengambil iktibar dari setiap cerita yang dikisahkan ini. 

...pesanan untuk diri saya sendiri sesungguhnya....