kudengari satu persatu.. menusuk timpa jauh menyusuri.. hanyut.. di dasar hati.. terhampar di situ.. mata mulai berkaca meruntun airmata.. jiwa mulai basah.. jasad mulai dingin.. karam.. di situ kutemui lagi.. diriMu.

Saturday, September 6, 2014

Hakikat hati...

Dengan nama Mu Ya Allah, zat yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
 

Orang-orang yang benar-benar cinta kepada Allah, yang benar-benar redha kepada Allah, sentiasa hatinya dididik bergembira dengan apa yang datang daripada Allah, mendidik dirinya bergembira, hak Allah lebih baik dari perasaannya. Walaupun kadang kala apa yang didatangkan Tuhan itu tidak sesuai dengan jiwanya, tetapi dia mengatakan apa yang datang dari Allah, dia merasakan Allah lebih baik daripada perasaan-perasaan itu sehingga berkata dalam hatinya, Ya Allah! Maka aku redha kepadaMu, aku pasrah kepadaMu.

Sehingga berkata Rabiatul Adawiyah, 

“Jikalau dalam neraka itu ada redha Mu ya Allah, nescaya aku akan terjun ke dalam neraka untuk mencari redhaMu”.

Kesakitan dan kepedihan itu tiada terasa kesakitannya bagi orang-orang yang mencari redha Tuhannya. Maka, mereka sudah pasrah kepada Allah, mereka tidak ada ketakutan dan kebimbangan. Ini kerana hatinya sudah redha, sebelum sesuatu berlaku dalam kehidupannya, sebelum sesuatu keputusan diputuskan oleh Allah, dia sudah redha dengan Allah. Maka inilah dikatakan nafsu yang redha kepada Allah, sehinggalah Allah redha kepadaNya. Dan apabila Allah redha kepadanya, maka inilah jiwa yang disebut,

فِي فَادْخُلِي عِبَادِي  “dan masuklah kamu ke dalam jiwa hamba-hambaKu”,

وَادْخُلِي جَنَّتِي dan masuklah kamu ke dalam syurgaKu”. (al-Fajr:29 dan 30)

Pokok pangkalnya, untuk kita mendapat syurga Allah, kita wajib mendapat redha Allah. Dan untuk mendapat redha Allah, kita wajib meredhai Allah terlebih dahulu. Dan untuk mencapai redha Allah itu, wajib kita memiliki jiwa yang bersih, jiwa yang tenang. Jiwa yang tenang ini tidak akan tercapai kalau kita tidak mendalami siapakah Allah yakni Tuhan kita ini. Kalau kita tidak mengenali sifat-sifat Allah itu, bagaimana kita boleh redha kepada Tuhan kita?

Oleh yang demikian, Allah memperkenalkan diriNya kepada seluruh hambaNya dengan kalimah Bismillah hirahma nirrahim. Akulah Tuhan yang Pengasih dan Penyayang, Akulah Tuhan yang Rabbu, yang memelihara akan segala alam, yang memelihara akan dirimu, diriKu tidak pernah merasa mengantuk. Itulah Tuhan yang menyebut kalimah-kalimah keagungan-Nya setiap saat. Dalam firman-firman-Nya di dalam Quran yang kita baca, tidak ada qalam melainkan pusat firman Allah dikunci dengan sifat-sifat yang Maha Agung, contoh ayat-ayat-Nya ialah, 


Segala sifat-sifat Agung itu dinyatakan agar ia menjadi pegangan yang menjadi ketenangan bagi segala hamba-hamba-Nya.

Jika kita berkata kita bertuhan tetapi kita tidak bergantung pada Tuhan, apakah maknanya kita bertuhan?
Jika kita berkata kita bertuhan tetapi kita tidak meyakini Tuhan tempat kita meletakkan segala kehidupan kita, keyakinan kita, apakah maknanya kita bertuhan?
Jika kita berkata kita bertuhan, kita tidak meyakini yang boleh memelihara kita, Dialah yang boleh menghilang segala musibah kita, Dialah yang boleh membimbing kita, Dialah yang boleh meletakkan ke mana kita dengan kehendak, kekuasaan dan keagunganNya. Kalau tidak ada keyakinan ini, apa guna kita bertuhan?

Oleh itu, orang yang bertuhan seperti Bilal bin Rabah, dia tidak berpaling lagi, batu yang besar itu tidak dirasainya lagi, kerana kemanisan makrifatullah itu menghilangkan pandangan dalam batu tersebut, dia melihat kasih sayang Tuhan kepadanya.

Begitu juga dengan para sahabat R.A. ketika mereka diperintah berhijrah tidak ada dalam hati mereka bertanya, “Kenapa mereka perlu berhijrah? sedangkan di sini adalah tanah air mereka, tempat perniagaan mereka, sanak saudara mereka”. Dalam hati mereka tidak ada yang lain lagi, hidup mereka tidak ada yang lain lagi melainkan hanya kepada Allah dan rasul-Nya. Inilah orang-orang yang bertuhan dengan sebenar-benarnya.

Manakala kita pula adalah bersifat munafik!

Cakap berTuhan tetapi hidup tidak menyerah kepada Tuhan.
Bila bertemu hak Tuhan dengan hak nafsu, hak nafsu dipilihnya.
Bila bertemu hak Allah dengan hak duniawi, hak duniawi dipilihnya.
Bila bertemu hak Allah dengan kecintaan keluarga, kecintaan keluarga dipilihnya.

Apakah makna kehidupan kita ini, apakah makna kalimah LAILAHAILLALLAH? 

Sebab itu penekanan kepada amalan selepas berilmu. Apalah guna ilmu yang banyak jika kita tidak berada dalam ilmu tersebut. Baik kita ilmu sedikit tetapi kita mengamalkan ilmu itu, baik kita mengetahui LAILAHAILLALLAH dan kita berada dalam hakikat LAILAHAILLALLAH itu. Daripada kita berada dalam pengetahuan yang banyak tetapi kita tidak berada dalam pengetahuan itu, malah pengetahuan dan amalan itu bertentangan antara satu sama lain. Ilmunya lain amalnya lain, tahunya lain pegangnya lain, Apakah maknanya?

Maka kita wajib sentiasa bertafakurkan dan merenung dalam diri di mana di dalam kekerdilan diri kita ini, dengan firman Allah yang bermaksud,

“Dialah Allah yang tunggal / esa”. 


Di dalam sifat-sifat keagungan-Nya pula, Dia sahaja yang melihat, adapun kita tidak melihat. Kita hanya diperlihatkan oleh Allah, setiap saat diberikan oleh Allah. Ini bermakna, kita boleh melihat kini adalah kerana diperlihatkan oleh Allah SWT setiap saat yang dikehendaki oleh Allah. Apa lagi nikmat Allah yang kita belum tanya dari Allah?. Firman Allah swt,
 

"Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?" (Ar-Rahman:25)

Kalau nikmat penglihatan yang sebiji ini pun tidak mampu untuk kita mensyukurinya. Begitu juga kita tidak mendengar, Allah sahaja sifat pendengar. Yang ada pada kita hanyalah diperdengarkan oleh Allah mengikut sekadar mana yang dikurniakan dan masa yang dikehendakiNYA. Maka tidak ada pada kita sifat mendengar. Maka kita wajib bersyukur kepada ALLAH, maka kita pergunakan pendegaran yang diperdengarkan oleh Allah kepada perkara-perkara yang dicintai Allah. Itu tanda kita syukur kepada Allah. Kita pergunakan segala apa yang ada pada kita ini untuk Allah. Penglihatan, pendengaran, ilmu, pemikiran, perasaan, gerak diam kita ada untuk Allah. Dan apabila kita gunakan untuk Allah, kita mesti menepati dengan jalan yang dicintai oleh Allah. Di manakah jalan itu? Jalan manakah yang dicintai oleh Allah SWT itu. Tidak lain dan tidak bukan jalan nabi Muhammad SAW.
 

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.( Ali 'Imraan :31 )

Barangsiapa yang mahu berada di Jalan yang dicintai oleh Allah, maka Nabi kata,
"ikut akan diriku." Barangsiapa yang mahu hidupnya dalam dicintai oleh Allah, ”ikut akan diriku” .

Maka wajib bagi kita sekarang ini menjadikan ilmu Allah itu berada dalam mata hati. Jangan biar sekadar untuk bersembang-sembang dan bercakap-cakap pada akal fikiran, kerana itu merupakan jalan untuk kita membesar-besarkan di sisi manusia tetapi hakikat kita dengan Allah tidak berilmu. Kerana ilmu yang dipandang Allah ialah ilmu yang berada dalam hatimu bukan pada bicaramu dan bukan pada pengetahuanmu.

Jika Allah mengatakan tidak ada, maka rasakanlah dalam hatimu akan Allah taala, ada rasa atau tidak? Jika tiada, maka kita perlu perbaiki hati kita, kenapa hatiku tidak dapat merasaiNya? Kita mendalami, kita bersihkan, mungkin hatiku ada penyakit-penyakit yang dibenci oleh Allah. Jika Allah benci penyakit berkenaan maka Allah tidak akan memberikan ilmu itu kepada kita.
 

Justeru itu, jangan kita biarkan hati kita ini dibenci oleh Allah. Jangan kita biarkan hati kita itu tidak ada perasaan dengan Allah, kerana ini adalah penyakit yang paling besar dan paling bahaya yang boleh menuju kepada nifak dan kufur.
 

Firman Allah swt,
"Dalam hati mereka terdapat penyakit maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran)." (Al-Baqarah:10) 


Dalam hati ada penyakit. Barangsiapa tidak mengubati penyakit itu malah membiarkannya, nescaya Allah menambahkan lagi penyakit itu sehingga hati itu menjadi rosak, keras, hitam, gelap dan akhir sekali hati itu “dikhatam” oleh Allah. Firman Allah swt,

"Allah mematerikan (khatam) atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar. " (Al-Baqarah:7)

Allah mengkhatamkan pendengarannya; dia mendengar dengan Allah tetapi dia tidak merasai apa-apa tentang Allah. Dia mendengar segala suara dan bunyi yang begitu mengasyikkan di alam ini, tetapi dia tidak dapat merasai keindahan ciptaan Tuhannya, tidak dapat merasai kenikmatan, keindahan suara-suara tersebut bersambung dengan sifat Jamal Tuhannya. Hatinya tiada sambungan dengan Sifat Indah Tuhannya. 


Dia melihat alam ini, matanya melihat pelbagai kebesaran-kebesaran, berlakunya siang dan malam, dia melihat matahari, dia melihat lautan yang indah, dia melihat air terjun yang indah, bunga-bunga yang indah, tetapi dia tidak dapat melihat di sebalik keindahan itulah sifat Jamal Allah. Di sebalik keindahan itulah Allah yang menciptakannya, hatinya tidak dapat sampai di situ kerana Allah telah mengkhatamkan pandangannya untuk melihat akan Allah, Allah khatam hatinya... (nauzubillah.... moga kita tidak tergolong dalam kumpulan yang dikhatamkan hati oleh-Nya)
 

Inilah dosa kita dengan Tuhan, 
Melihat ciptaan Tuhan tetapi tidak melihat kepada Tuhan.
Tiada adab kita dengan Tuhan. Tiada berterima kasih kita kepada yang mencipta diri kita dan alam ini. 

Ini sifat takabbur kita, bertaubatlah dari sifat takabbur kita. Bertaubatlah dan menangislah kita dengan Allah; meraunglah kita dengan Tuhan sebelum kita meraung-raung di akhirat nanti. Meraunglah di dunia ini dengan sepenuh-penuhnya. Disebabkan kebutaan mata hati kita kepada Dia, disebabkan kebutaan mata hati, kita tidak dapat memandang kepada Dia dan mendengar kepada-Nya. Disebabkan kurang ajar dan adab kita dengan Tuhan kita, Apa makna kita sebagai seorang hamba?.

Kita ambil rezeki dari Tuhan tanpa kita mengingati rezeki itu daripada-Nya. Apa makna kita dengan Tuhan jika kita menghirup udara-Nya, menghirup nafasnya, tetapi kita tidak berterima kasih dan mengingati akan Tuhan. Kita berjalan bumi serta memijak bumi-Nya, sedangkan segala alam-alam ini bertasbih kepada Tuhan kita. Firman Allah SWT,

"Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana..."
(As-saff:1)

Manakala kita yang memijak bumi Tuhan tidak bertasbih kepada Tuhan, kita yang duduk di bawah langit tidak bertasbih kepada Tuhan, kita memakan buah-buahan dari Tuhan tetapi tidak bertasbih kepada Tuhan; sedangkan apa yang berada pada tangan kita itu bertasbih kepada Tuhan. 


Air yang ada di hadapan kita juga bertasbih kepada Tuhan; tetapi kita tidak bertasbih kepada Tuhan. Apa lagi kejahatan selain dari kejahatan ini. Apa lagi kejahatan, selain dari kejahatan kesyirikan kita kepada Allah, tidak ada lagi kejahatan yang lebih jahat melainkan syirik dan takabur dengan Tuhan. Maka orang yang takabur ini tidak semestinya orang kaya, bukan semestinya orang alim, bukan semestinya orang yang berpangkat, orang yang takabbur adalah orang yang lupa pada Tuhannya.

Allah yang memberi nafas kepadanya, yang beri penglihatan kepadanya, yang beri pendengaran kepadanya, yang memberi fikiran, yang memberi perasaan kepadanya dan yang memberi segala-galanya kepadanya. Tetapi dia lupa kepada siapa yang memberikan semua itu. Di sebalik penglihatannya, pendengaran, perjalanannya, percakapannya, perasaan kenikmatan ini, dia lupa siapakah di sebalik segala-galanya itu. Maka apa lagi kejahatan yang dilakukan kita kepada Allah? Maka inilah kejahatan yang paling jahat!. Lupa kepada orang yang memberi jasa kepada kita adalah dikatogeri sebagai tidak beradab kita sesama manusia apalagi kalau kita lupa kepada pemberian Tuhan? Yang memberikan segala sesuatu kepada kita. Malah ada sesuatu yang langsung kita tidak berfikir tetapi Allah tetap memberi kepada kita.

Kenikmatan-kenikmatan yang tidak pernah kita fikir, tetapi Allah memberikan kenikmatan-kenikmatan tersebut. Maka perbanyakkanlah diri kita ini istighfar dan taubat. Bertaubat kepada Allah dengan taubat yang bersungguh-sungguh. Apakah dosa kita? Kenapa perlu bertaubat? Dosa kita adalah lupa kepada Tuhan kita. Sebab itu kita perlu bertaubat. Kita lupa kepada Allah kerana hati kita disaluti kehitaman, kejahatan, kejahilan maka cahayakanlah hati kita dengan memperbanyakkan taubat dan selawat kepada Rasulullah SAW. Dengan memperbanyakkan selawat itu, hati kita akan ada cahaya, cahayakanlah hati kita dengan menjaga diri kita dari perkara yang subhah dan haram hatta perkara yang makruh sekalipun jangan kita hampiri kerana takut terpadam cahaya hati yang melihat kepada Allah.

Orang yang cinta kepada Allah, dia sanggup membiarkan dirinya tidak memakan makanan yang sedap, malah dia lebih rela meninggalkannya kerana takut kehilangan cahaya hati untuk merasai Allah. Orang yang ada cahaya hati dan orang yang mencari cahaya hati wajib mencari jalan serta menurut perintah Allah. Segala hukum hakam yang disyariatkan oleh Allah akan diamalkan demi untuk menjaga cahaya dalam batin.

Allah hu Rabbi, Allah memelihara kita dengan syariat-Nya, didatangkan kepada kita dengan syariat-Nya supaya kita terpelihara dari kegelapan mata hati tetapi kita tidak mengerti kasih sayang Allah itu. 


Syariat itu adalah kasih sayang Tuhan untuk menjaga hati kita agar tidak gelap tetapi kita tidak memahami sehingga kita berani menentang syariat Tuhan, sehingga kita mengatakan syariat Allah menyusahkan kita, syariat Tuhan ini membebankan kita sedangkan syariat Tuhan itu datang untuk memelihara kita agar mata hati kita tidak terpadam untuk makrifat kepada-Nya.

Maka orang yang hendak menjaga mata hati, wajib juga memelihara akhlak sesama manusia, jangan biarkan dirinya sentiasa menyakiti manusia-manusia di sekelilingnya. Orang yang banyak menyakiti manusia itu tidak akan dapat cahaya hatinya, hatinya akan gelap, tidak akan ada kemanisan kerana Allah benci kepada manusia-manusia yang hidupnya menyakiti manusia-manusia yang lain. Bukan hanya manusia, tetapi dengan haiwan yang ada di muka bumi ciptaan Tuhan pun perlu kita hormati dan kasihi kerana walau nampak kecil sekalipun tetapi mereka bertasbih kepada Allah. Bagaimana kita melihat Nabi Allah Sulaiman menghentikan tenteranya kerana nampak semut-semut berjalan di hadapan beliau demi untuk menjaga cahaya hati agar tidak terpadam.

Justeru itu, elokkan akhlak kita dengan kaum keluarga kita, akhlak kita dengan ibu bapa kita, akhlak kita dengan anak-anak kita, akhlak kita dengan sahabat-sahabat kita, akhlak kita dengan majikan kita, akhlak kita di mana pun kita berada kerana ia menyebabkan terhijab hati kita dengan Allah.


Oleh sebab itulah sesetengah kaum sufi mengambil keputusan untuk berkhalwat menjauhkan diri dari manusia kerana takut tidak dapat jaga adab-adab dengan manusia yang menyebabkan hati mereka terpadam cahaya tersebut.

Orang yang hendak menjaga cahaya hati perlu rajin berzikir, banyakkan waktu malam bertafakkur, banyakkan menitis air mata, menangis kepada Allah agar hatinya bersinar-sinar. Bila mana hati sudah bersinar, dia dapat merasai sifat-sifat Allah dan keagungan-Nya. 


Semakin bercahaya hati itu, maka semakin teranglah makrifatnya kepada Tuhannya. Selagi bercahaya jiwanya, kadang kala dia tidak rasa wujud dirinya dan yang ada hanya Allah. Yang dirasa padanya ialah faqir, lemah, bodoh dan kaku bagaikan patung sahaja.

لاَ هَوْلَ وَلاَ قُوَّتَ اِلاَّبِاللّه

                  tiada daya upaya dan tiada kekuatan melainkan dengan Allah
 

Kita hanya sekadar menyebut  لاَ هَوْلَ وَلاَ قُوَّتَ اِلاَّبِاللّه
sahaja tetapi kalimah itu masih belum ada lagi dalam hati kita. Walaupun masih tiada dalam jiwa, tetapi kita disaran untuk perlu berlatih menyebutnya. 

Jangan tiada dalam hati dan juga tiada pada lidah. Sekurang-kurangnya kalimah itu ada pada lidah walaupun masih belum ada di dalam hati kita lagi. 

Walau bagaimanapun kita wajib berusaha agar kalimah itu berada dalam hati kita sehinggalah kita berjalan siang dan malam bergerak dalam merasai diri kita bersama Allah.

pesanan untuk diri sendiri....!

Monday, September 1, 2014

Jalan... perhentian

APABILA TUHAN MEMBUKAKAN BAGIMU JALAN UNTUK MAKRIFAT, MAKA JANGAN HIRAUKAN TENTANG AMALMU YANG MASIH SEDIKIT KERANA ALLAH SWT TIDAK MEMBUKA JALAN TADI MELAINKAN DIA BERKEHENDAK MEMPERKENALKAN DIRI-NYA KEPADA KAMU.

Pengertian amal, qada’ dan qadar, tadbir dan ikhtiar, doa dan janji Allah SWT semuanya itu mendidik rohani agar melihat ke dalam diri' betapa kecilnya segala apa yang datang dari seorang hamba', dan sebaliknya betapa besar yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Rohani yang terdidik begini akan membentuk sikap beramal tanpa melihat kepada amalan itu, pahala atau ganjaran syurganya, tapi sebaliknya melihat amalan itu sebagai kurniaan Allah SWT yang wajib disyukuri. Orang yang terdidik seperti ini tidak lagi membuat tuntutan atau permintaan-permintaan kepada Allah SWT tetapi membuka hati nuraninya untuk menerima taufik dan hidayat daripada Allah SWT.

Orang berfikiran jernih akan menuju kepada kesucian hati dan akan mudah menerima pancaran 'nur Sir'. Mata hatinya akan melihat kepada hakikat bahwa Allah SWT, Tuhan Yang Maha Mulia, Maha Suci dan Maha Tinggi tidak mungkin ditemui dan dikenali kecuali jika Dia ingin ditemui dan dikenali.

Tidak ada ilmu dan amal yang mampu menyampaikan seseorang kepada Allah SWT. Allah SWT hanya dikenali apabila Dia memperkenalkan ‘diri-Nya’. Penemuan kepada hakikat bahwa “tidak ada jalan yang terhulur kepada gerbang makrifat” merupakan puncak yang dapat dicapai oleh ilmu. Karena “pengertian” itu tidak ada dalam ilmu apapun. Ilmu tidak mampu memberikan pengertian itu. Apabila mengetahui dan mengakui bahwa “tidak ada jalan atau tangga yang dapat mencapai Allah swt” maka seseorang itu tidak lagi bersandar kepada ilmu dan amalnya, apa lagi kepada ilmu dan amal orang lain. Bila sampai di sini seseorang itu tidak ada pilihan lagi melainkan menyerah sepenuhnya kepada Allah SWT.

Ada orang yang mengetuk pintu gerbang makrifat dengan doanya. Jika pintu itu tidak terbuka maka semangatnya akan menurun, hingga akhirnya membawa kepada berputus asa.

Ada pula orang yang berpegang dengan janji Allah SWT, bahwa Dia akan membuka jalan-Nya kepada hamba-Nya yang berjuang pada jalan-Nya. Kuatlah dia beramal agar dia lebih layak untuk menerima kurniaan Allah SWT sebagaimana janji-Nya. Dia menggunakan kekuatan amalannya untuk mengetuk pintu gerbang makrifat. Bila pintu tersebut tidak terbuka juga maka dia akan merasa ragu-ragu.

Dalam perjalanan mencari makrifat, seseorang tidak terlepas daripada kemungkinan menjadi ragu-ragu, lemah semangat dan berputus asa. Hal itu menandakan dia masih bersandar kepada sesuatu selain Allah SWT...(ini pesanan untuk diriku sendiri terutamanya....)

Hamba tidak ada pilihan kecuali berserah kepada Allah, hanya Dia yang memiliki kuasa mutlak dalam menentukan- siapakah antara hamba-hamba-Nya yang layak mengenali Diri-Nya. 


Ilmu dan amal hanya digunakan untuk membentuk hati yang berserah diri kepada Allah SWT. Menyerahkan diri kepada Allah SWT itulah yang dapat membawa ke hadapan pintu gerbang makrifat. Hanya para hamba yang sampai di PERHENTIAN INI, yang berkemungkinan menerima kurniaan makrifat.

Allah SWT menyampaikan hamba-Nya di sini adalah tanda bahwa si hamba tersebut dipersiapkan untuk menemui-Nya. Ia adalah makam tertinggi untuk menghampiri Allah SWT. Seseorang yang sampai kepada makam ini haruslah terus membenamkan dirinya ke dalam lautan penyerahan tanpa menghiraukan banyak atau sedikit ilmu dan amal yang dimilikinya. Sekiranya Allah SWT kehendaki, maka dari makam inilah hamba diangkat ke Hadrat-Nya.

Jalan menuju pintu gerbang makrifat pada umumnya terbagi kepada dua;
1. Jalan orang yang mencari dan
2. Jalan orang yang dicari.
 

Orang yang mencari- akan melalui jalan di mana dia kuat melakukan mujahadah (perjuangan/usaha), Berjuang melawan godaan hawa nafsu, kuat melakukan amal ibadat dan gemar menuntut ilmu. Zahirnya sibuk melaksanakan tuntutan syariat dan batinnya memperteguhkan iman. Dipelajarinya tarekat tasauf, mengenal sifat-sifat yang tercela dan berusaha mengikiskannya daripada dirinya. Kemudian diisikan dengan sifat-sifat yang terpuji. Dipelajarinya perjalanan nafsu dan melatihkan dirinya agar semakin lepas dari nafsunya itu agar menjadi bertambah suci hingga meningkat ke tahap yang diredai Allah SWT. Inilah orang yang dimaksudkan Allah dalam firman-Nya:

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh karena memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta memperoleh keridhaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah beserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya. ( Ayat 69 : Surah al-‘Ankabut )

“Wahai manusia ! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat – (menjalankan keadaan hidupmu) dengan segala upayamu sehingga sampai (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, dan engkau akan tetap menemui balasan apa yang telah engkau usahakan itu (tercatat semuanya). (Ayat 6 : Surah al-Insyiqaaq )

Orang yang bermujahadah pada jalan Allah SWT dengan cara menuntut ilmu, mengamalkan ilmu yang dituntut, memperbanyakkan ibadat, berzikir, menyucikan hati, maka Allah menunjukkan jalan dengan memberikan taufik dan hidayat sehingga terbuka kepadanya suasana berserah diri kepada Allah tanpa ragu-ragu dan redha dengan aturan/permainan Allah SWT. Dia akan dibawa dekat ke pintu gerbang makrifat dan hanya Allah SWT saja yang menentukan, apakah orang tadi akan dibawa ke Hadrat-Nya ataupun tidak, dikurniakan makrifat ataupun tidak.

Golongan orang yang dicari- menempuh jalan yang berbeda daripada golongan yang mencari. Orang yang dicari tidak cenderung untuk menuntut ilmu atau beramal dengan tekun. Dia hidup selaku orang awam tanpa kesungguhan bermujahadah tetapi, Allah SWT telah menentukan satu kedudukan kerohanian kepadanya, maka takdir akan menyeretnya sampai ke kedudukan yang telah ditentukan itu. 


Orang dalam golongan ini biasanya berhadapan dengan sesuatu peristiwa yang dengan serta-merta membawa perubahan kepada hidupnya. Perubahan sikap dan kelakuan berlaku secara mendadak. Kejadian yang menimpanya selalu berbentuk ujian yang memutuskan hubungannya dengan sesuatu yang menjadi penghalang antaranya dengan Allah SWT

Semisalnya dia seorang raja yang beban kerajaannya menyebabkan dia tidak mampu mendekati Allah SWT, maka Allah SWT mencabut kerajaan itu daripadanya. Terlepaslah dia daripada beban tersebut dan saat itu juga timbul satu keinsafan di dalam hatinya, yang membuatnya menyerahkan diri kepada Allah swt dengan sepenuh hatinya. 

Sekiranya dia seorang hartawan, takdir akan memupuskan hartanya sehingga dia tidak ada tempat bergantung kecuali Tuhan sendiri. Sekiranya dia berkedudukan tinggi, takdir mencabut kedudukan tersebut dan ikut tercabut kemuliaan yang dimilikinya dan digantikan pula dengan kehinaan sehingga dia tidak ada tempat untuk dituju lagi kecuali kepada AllahSWT.

Orang dalam golongan ke dua ini dihalang oleh takdir daripada menerima bantuan daripada makhluk. Sehingga mereka berputus asa terhadap makhluk. Lalu mereka kembali dengan penuh kerendahan hati kepada Allah SWT dan timbullah dalam hatinya suasana penyerahan atau aslim yang benar-benar terhadap Allah SWT.

Penyerahan yang tidak mengharapkan apa-apa daripada makhluk menjadikan mereka redha dengan apa saja takdir dan perlakuan Allah SWT. Semua yang berlaku adalah dengan kasih sayang Allah. Suasana begini membuat mereka sampai dengan cepat ke perhentian pintu gerbang makrifat walaupun ilmu dan amal mereka masih sedikit. Orang yang berjalan dengan 'kenderaan bala bencana' dan tetap dalam istiqamah... (redha dalam perlakuan Allah SWT) akan lebih cepat sampai ke pintu gerbang kemarifatan.

Abu Hurairah r.a menceritakan, yang beliau mendengar Rasulullah saw bersabda yang maksudnya, Allah berfirman, “Apabila Aku menguji hamba-Ku yang beriman kemudian dia tidak mengeluh maka Aku lepaskan dia dari belenggu-Ku dan Aku gantikan baginya daging dan darah yang lebih baik dari yang dahulu dan dia boleh memperbaharui amalnya sebab yang lalu telah diampuni semua”. 

 
Amal kebaikan dan ilmunya tidak mampu membawanya kepada kedudukan kerohanian yang telah ditentukan Allah, lalu Allah SWT dengan rahmat-Nya mengenakan ujian bala bencana yang menariknya dengan cepat kepada kedudukan berhampiran dengan Allah SWT... seumpama papan anjal... semakin rendah kedudukannya di mata manusia akibat diuji namun secara rohaninya orang yang taqwa ini menjadi sangat dekat kepada Allah... (tinggi kedudukanya di sisi Allah) kerana hatinya sentiasa redha, ikhlas menerima ujian Allah.

Akhir kata…, semoga kita semua diberikan taufik dan hidayah-Nya untuk memperoleh pengertian-pengertian seperti ini meskipun tidak sekarang. Sehingga kita benar-benar mengerti makna dari hakikat bermaqrifatullah.

Jadi ternyata bukan sekadar “berharap dari amalan-amalan yang dilakukan” tetapi sesungguhnya adalah seperti huraian pengertian di atas.

Kalau boleh saya ringkaskan bahwa- jalan tertinggi dalam makam bermakrifatullah adalah “bersabar dalam perjuangan dengan segala ujian-ujian... (perlakuan-Nya)” yang sering kita sebut sebagai redha. 

 
Untuk mengerti makna dari tulisan ini hendaknya pembaca harus “bebas” dari nafsu dan dari segala ke“ilmuan” yang ada pada diri. Harus dengan rasa yang paling tenang dalam rasa cinta kepada Allah SWT.

Adalah bermanfaat. AMIN.

kopipes dari http://memahamisufi.wordpress.com