kudengari satu persatu.. menusuk timpa jauh menyusuri.. hanyut.. di dasar hati.. terhampar di situ.. mata mulai berkaca meruntun airmata.. jiwa mulai basah.. jasad mulai dingin.. karam.. di situ kutemui lagi.. diriMu.

Thursday, July 31, 2014

Jihad si burung pipit...

"Jihad kita,
Jihad si burung pipit,
Membungkam 'api Namrud',
Dengan sekelumit air di paruh,
Buat taruhan saksi di Mahsyar.
Sesungguhnya aku telah lakukan...
Mengikut kemampuanku ya Rab...."

Ku yakini,
'Kembarahakikat' ku ini,
Adalah...
Sangat jelas pada matlamatnya,
Begitu tinggi pengharapannya,
Lagi jitu perlaksanaannya,
Sungguh indah dipertemuan dengan-Nya.

Realiti...
Kembara ku si pengembara,
Sangat besar dugaannya,
Terasa sakit di perjalanannya,
Ada gores luka di laluannya,
Seakan kecewa menghampirinya. 
Apakah aku akan sampai kepada-Nya

Ya Rab...
Upaya ku hanya,
Titipan 'sabar dan senyum' sebagai pegangan,
'Redha' ku kepada-Mu tanpa syarat,
Agar 'cahaya-Mu' menyuluh mata hatiku,
Hingga 'perjalanan hakikat' ini diberkati.

Ya Rabbul Izzati,
Tulus hikmah-Mu ingin ku perolehi.

Menyerah diriku patuh bersyariat,
Namun kuasa-Mu jua adalah hakikat,
Perjalananku kepada-Mu dengan tarikat,
Untuk mengenali-Mu secara makrifat.

Ya Allah,
Andai aku sendirian kini,
Untuk sampai kepada-Mu,
Akan kah aku tegar,
Serta 'cukup kuat'....?



Wednesday, July 30, 2014

Cahaya....

Bismillahi Rahmaani Rahiim... 
 
Minal aidil walfaidzin, mohon maaf zahir batin. 


Mengikut rentak budaya dan adat, kunjung mengunjung kala lebaran diteruskan, namun yang utama adalah untuk menghidupkan sunah Rasulullah SAW, mengukuhkan ikatan silaturahim sesama insan... sesama saudara mara, sahabat handai. Bila sudah begini, memang terlupa seketika pada hal-hal yang biasa difikiran tatkala bertemu dan berbual... apatah lagi bila ianya pertemuan kembali setelah bertahun tak jumpa. Seharian meneruskan tradisi ini, di hujung hari kepenatan dan lelah amat terasa, tetapi semangat ku untuk meneruskan agenda yang terbengkalai masih membara... 

Maka usai isya dilunaskan, aku capai Ana Al-Haq... lembaran kitab yang lama terbiar itu aku selak. Hingga pada laman “Kandungan” di sebelah kiri, dan kanannya adalah Bab 1 dengan tajuk “Keesaan (Ahdiyyat)” tiba-tiba aku terpandang perkataan... “Cahaya Allah”... Allahuakhbar! 

Tak semena-mena hati jadi sayu... sangat-sangat sayu. 

Rasa hiba, sedih dan pelbagai rasa muncul... menguasai diri. Air mata menitis tak berhenti-henti... hingga basah laman muka Ana Al-Haq... subhanallah! 'Rasa' apakah ini ya Allah? 
Hiba ku bertambah bila persoalan... apakah aku ini hamba yang tak layak mendapat cahaya-Nya? Mendapat nur Ilahi? Mendapat petunjuk...? Sedangkan doa ku kini hanyalah untuk itu... Mohon diberi hati yang terang... tidak lagi 'buta', tidak lagi jahil dan yang utama hati yang sentiasa mengingati Dia... dalam zikir nafi isbat... “Ya Allah aku menyintai-Mu, aku memerlukan-Mu, hadirlah dan terangilah hati ku...” … Kata itu pasti ku ulang pada setiap kali aku ingati Dia... tak putus, tak berhenti... dengan pasrah, dan tulus menyerah! 

Dan hiba ku jadi lebih sendu bila mengingati kata-kata dalam doa di entry “Diri yang fakir”... antaranya, “...Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, ya Zaljalaliwalikram... Kau datangkanlah cahaya dalam hati kami ini Ya Allah... Agar segala kegelapan dalam hati ini hilang... Agar segala kebodohan dan kejahilan kami hilang... Agar segala kurang adab dan kurang ajar kami ini hilang... Agar segala kebutaan kami ini hilang...” maka apakah aku hamba yang tidak didengar permohonannya... Ya Allah... sedihnya! Sangat-sangat sedih...

Namun rasa sedih, hiba, sayu aku kemudiannya bertukar jadi satu rasa yang lain...

Tiba-tiba rasa dekat dengan-Nya, rasa dipeluk-Nya, rasa didakap-Nya erat... hingga nafas seolah sesak, tubuh sedikit bergetar... Dan bila nama-Nya aku bisikkan terus, di hujungnya ada rasa 'ngilu'... (sukar untuk aku nyatakan rasa itu...) jauh di hati... di dalam ini... mendasar ke dalam. Menusuk kalbu...! Titis air mata bukan lagi sedih, sayu tetapi atas tangisan 'rasa' kehambaan... hamba yang fana, binasa. Tinggal Dia... Allah yang kekal... Allahuakhbar! 


Ku kabarkan pada sahabat akan segala 'rasa' yang aku 'rasa' ini... dan seperti biasa, dengan sangat tenang dan berhemah... dia sudi berkongsi ilmu dan hikmah. 

Nasihatnya- adalah sangat indah jika rasa kepada-Nya yang muncul itu, dibenahi dengan sebaik-baiknya... biarkan kesyahduan dan kesayuan dengan air mata itu seolah-olah ia 'menitis ke dalam'... tanpa ditunjukkan secara zahir... pada wajah. Cuba kawal... tujukan ke hati. 'Basahkan' hati... bukan sekadar membasahkan mata.... 

Sesungguhnya, itu lah yang aku harapkan tetapi... rasa syahdu dan sayu yang datang dengan titis air mata berlaku tanpa dirancang... secara tiba-tiba!... 

Maka berusahalah, perlu latihan.... hingga sampai ke satu tahap di hujungnya... seolah-olah ada suara yang menyahut, halus akan permohonan dan rayuan mu yang mendambakan cinta-Nya... akan “Cahaya Allah” itu! 

Mohon, dan mohonlah!

Mungkin juga dengan doa amalan Nabi Muhammad SAW ini.... “Ya Allah! Jadikanlah hatiku bercahaya, dan pada lidahku bercahaya dan jadikanlah pada penglihatan ku bercahaya dan pada pendengaranku bercahaya, dan dari kanan ku bercahaya, dan dari kiriku bercahaya, dan daripada atas ku bercahaya, dan daripada bawah ku bercahaya, dan dari muka ku bercahaya, dan dari belakang ku bercahaya, dan jadikanlah pada diriku bercahaya dan sebesar-besar bagiku bercahaya...” Aamiin!  


Ikhlas... “Keikhlasan dalam hal ini sangat penting...” tambahnya. Ikhlas hingga sampai mengESAkan Dia.... bahawa aku ini tiada tanpa-Mu... ALLAH adalah segala-galanya..! “Pegang itu dengan kukuh... pahatkan dalam hati mu itu...” ...satu helahan panjang aku lepaskan.... ALLAH!





---------------------

baca juga:
link 1
link 2


Tuesday, July 29, 2014

"Sabar n Senyum"...

Dengan segala sifat-Nya, ar-Rahmaan dan ar-Raahim,
Dia yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, aku dambakan rahmat dan kasih sayang-Mu....

Dalam hidup ini tiada apa yang lebih aku harapkan... selain mendapat kasih sayang ALLAH, terus dari-Nya... dan juga kasih-Nya melalui manusia, makhluk yang ada di sekeliling aku. Sepertimana doa Nabi Daud as. yang selalu aku lafazkan...”...aku mohonkan cinta-Mu, dan cinta dari orang-orang yang menyintai-Mu... Dan semoga cinta-Mu lebih aku cintai berbanding diriku....” Cinta dan kasih manusia... (yang bersifat tidak kekal...) sebagai pendorong, dan menjadi pendamping, di sisi aku dalam perjalanan menuju..., mencari cinta ALLAH yang kekal abadi.

Syukur pada-Nya kerana sifat kasih mengasihi yang Dia berikanlah maka hidup yang aku lalui sehari-hari menjadi begitu bermakna... Dengan sifat rahmaan dan rahiim ini, manusia yang ada di sekeliling aku 'saling menjaga' antara satu sama lain... saling nasihat menasihati, saling ingat mengingati dan saling tegur menegur dalam pelbagai perkara... Dan tentunya supaya aku.. (..dan kita semua...) menjadi lebih baik, aku, menjadi manusia yang hidup bahagia di dunia dan akhirat.

Jazakallahu khairan kathira... atas segala ingatan dan nasihat itu.

Begitulah perkataan yang kerap aku dapat kini agar sentiasa 'sabar dan senyum' tatkala diketahui menghadapi masalah atau keluhan. Dan sesungguhnya nasihat seperti ini tidak sesekali aku remehkan kerana disuruh sabar dengan senyuman yang ikhlas dari hati ni bukanlah satu perbuatan yang mudah nak dilakukan, senang nak dibuat... Boleh kah aku?

Disuruh “sabar dan senyum”... yang selalunya diringkaskan dengan “SnS” di dalam whatsapp... dua patah perkataan ini mengandungi satu maksud... Merupakan satu pernyataan sikap yang membentuk akhlak zahir dan akhlak hati- qalbu manusia... iaitu hati aku!

Dalam hadis Riwayat Al-Baihaqi dinyatakannya, “Iman terbahagi kepada dua, separuh dalam sabar, dan separuh lagi dalam syukur” Begitulah tingginya kedudukan “Sabar”... merupakan sebahagian daripada ciri-ciri keimanan.

Maka manusia yang mengaku dirinya beriman, harus sabar.
Atau dengan kata lainnya, manusia yang sabar itulah manusia beriman!

Jadinya aku yang selalu berusaha meyakinkan diri sendiri bahawa, “Aku seorang yang beriman”... kenalah 'sabar dengan tersenyum' dalam menghadapi apa jua mehnah kehidupan... supaya dengan sifat sabar itu, aku digolongkan olehNya sebagai hamba yang beriman... kan!

Dan bila aku mampu 'lakukannya' dengan baik, bukan 'dengan berpura-pura', tentunya aku sendiri yang akan merasa 'diri lebih kuat', diri hamba yang redha, dan mudah-mudahan dipandang oleh-Nya sebagai hamba yang layak dipanggil sebagai manusia dengan “jiwa yang tenang”. Walau sedang diuji, aku ni tak berubah... (tak lut) ...dan masih mampu memberikan senyuman penuh kesabaran.... insyaAllah!

Sesungguhnya aku yakin, manusia yang hidupnya berserah kepada ALLAH, akan tidak mudah terkesan dengan sebarang dugaan yang datang. Manusia seperti ini akan selalu merasa berada dalam sentuhan kasih sayang, dan rahmat ALLAH... kerana sesungguhnya hakikat 'manusia yang sedang diuji' itu adalah manusia yang sedang dalam 'perhatian-NYA', dan sedang dalam 'pandangan-NYA'.

Bukan kah 'pandangan ALLAH' kepada aku itu adalah sesuatu yang sangat-sangat aku harapkan?...

Dan cuba aku tanya diri... “Apakah sikap yang perlu ada pada aku- sebagai seorang hamba kepada tuannya?” Tentu jawapannya, “ingat” iaitu tahu diri aku, dan tahu siapa tuan aku..., dan bersifat 'kehambaan'... Sifat hamba... (kehambaan) iaitu dengan berserah sepenuhnya kepada sang pencipta hamba itu, pencipta aku... iaitu ALLAH.

Jadinya wa yang tertulis “SnS” ditujukan kepada aku itu bukanlah semata-mata dia mahu aku 'sabar dan senyum'... secara fizikal... nampak terukir senyuman di wajah, tetapi dari segi hakikatnya... dia sedang menasihati 'hati' aku... Terimalah apa pun jua qada dan qadar ALLAH dengan ikhlas dan redha...” Serahkan hidup mu sepenuhnya kepada Dia... dengan sepenuh keyakinan.

Maka aku... aku ingin depani hidup ini dengan tabah, tak mudah mengeluh dan berdukacita, mampan, anjal.... serta dengan penuh kesabaran tersenyum 'melihat' dunia.

'Memandang' ALLAH dengan segala sifat a-Rahmaan dan ar-Rahiim-Nya, sebagai tanda aku ikhlas mengaku hamba kepada-Nya yang Maha Berkuasa...

Mohon didoakan selalu!




Sunday, July 27, 2014

Salam Lebaran...

Allahuakhbar 
Allahuakhbar
Allahuakhbar... 
Allahuakhbar walillahilham..

Alhamdulillah.... syukur pada-NYA kerana diberi peluang berada dalam bulan yang paling mulia berbanding seribu bulan iaitu Ramadhan al-Mubaraq pada tahun ini, pada kali ini. Hari ini kita semua sudah berada pada tanggal 29 Ramadhan... insyaAllah esok umat Islam di negara ini akan menyambut 1 Syawal... 

Di sini aku ingin mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidil Fitri 1435 Hijrah kepada semua yang membaca dan mengikuti blog ini... Mohon kemaafan jua jika ada kata-kata dan perkataan yang menyinggung hati dan perasaan kalian. Sesungguhnya segala yang baik dan sebaliknya itu adalah atas kehendak-NYA jua... Aku  manusia yang tidak memiliki apa-apa. Hanya punya matlamat kembarahakikat... bagi menelusuri jalan-jalan para pencinta-NYA yang hakiki. 

Dan tak lupa juga ucapan terima kasih yang tak terhingga kepada semua pembaca... sama ada secara sengaja atau tak sengaja membuka blog ini...  Terima kasih! Moga kehadiran blog ini... (yang masih sangat baru...) sedikit sebanyak mampu menjadi ajang wacana ilmu... membuka mata untuk melihat kebesaran Ilahi dengan pandangan mata hati. 

Tak ketinggalan terima kasih ku yang sebesar-besarnya kepada semua followers... sungguh kehadiran kalian merupakan satu pendorong, pembakar semangat untuk aku meneruskan keberadaan blog ini... Moga kita dapat terus berkongsi hikmah, berkongsi rasa... bagi meneruskan perjalanan menuju kepada Dia....jazakallahu khairan kathira. 

Terasa sayu ditinggalkan Ramadhan. Entah di tahun akan datang kita masih berpeluang bertemu dengan 'nya' lagi atau tidak... wallahualam. Yang pasti takdir itu sudah ada di dalam perancangan dan aturan-NYA yang maha sempurna... 


Buat sahabat, 
Selamat Hari Raya.
Mohon kemaafan mu jua.
Terima kasih ku setulusnya...

Wasallam