kudengari satu persatu.. menusuk timpa jauh menyusuri.. hanyut.. di dasar hati.. terhampar di situ.. mata mulai berkaca meruntun airmata.. jiwa mulai basah.. jasad mulai dingin.. karam.. di situ kutemui lagi.. diriMu.

Saturday, August 30, 2014

Mahabbah wanita sufi

Wacana mahabbatullah dalam dunia tasawuf dipopularkan oleh seorang wanita suci yang menjadi kekasih Allah (Waliyyullah), Rabiah al-Adawiyyah atau Rabiatul Adawiyyah. Tampilnya Rabiah dalam sejarah tasawuf Islam, memberikan cinta tersendiri dalam mensetarakan gender pada dataran kerohanian Islam.

Bahkan, dengan kemampuannya dalam menempuh perjuangan ‘melawan diri sendiri’ dan seterusnya tenggelam dalam ‘telaga cinta Ilahi’, dinilai oleh kalangan sufi telah melampau 100 tingkat orang-orang soleh daripada kalangan lelaki.

Rabiah al-Adawiyyah termasyhur kerana pengalaman spiritualnya, iaitu mahabbah atau penyerahan diri secara sepenuhnya kepada Allah SWT. Pengalaman ini diperolehnya bukan melalui guru, melainkan melalui pengalamannya sendiri.

Jika sebelumnya Hasan al-Basri, ahli hadis dan fekah, telah merintis kehidupan zuhud berdasarkan rasa takut dan harapan, makan Rabiah melengkapinya dengan cinta kepada Tuhan. Cintanya kepada Allah SWT telah memenuhi seluruh jiwa raganya; tidak lansung ada tersisa tempat di hatinya untuk mencintai sesuatu selain-Nya.

Baginya, dorongan mahabbah berasal daripada dirinya sendiri dan juga kerana hak Allah SWT untuk dipuja dan dicintai. Puncak pertemuan mahabbah antara hamba dan cinta kasih Allah SWT yang menjadi matlamat penjalanan Rabiah... perhentiannya adalah meraih cinta Allah SWT sepenuhnya.

Rabiah yang berparas cantik, memiliki suara merdu dan pandai menari dan beliau ditugaskan oleh tuannya sebagai penghibur. Setelah belasan tahun menjadi penghibur, suatu hari ketika bernyanyi, Rabiah merasakan kedekatannya dengan Allah SWT yang seolah-olah memanggilnya.

Sejak itu, ia menolak semua perintah tuannya untuk bernyanyi dan menari sehingga tuannya marah, bahkan menyeksanya. Namun, Rabiah tetap berdoa kepada Allah SWT. Rabiah pun dijual kepada seorang sufi yang kemudian mengajaknya menikah. Rabiah menolaknya kerana kecintaannya yang tinggi kepada Allah SWT. Setelah dibebaskan, Rabiah memutuskan untuk hidup menyendiri.

Cinta Rabiah kepada Allah SWT merupakan cinta suci, murni, dan sempurna seperti disenandungkan dalam syair ini:
"Aku mencintaimu dengan dua cinta,

Cinta kerana diriku dan cinta kerana diri-Mu,

Cinta kerana diriku,

Adalah keadaanku yang sentiasa mengingat-Mu,

Yang mengungkapkan tabir,

Sehingga Engkau kulihat,

Baik untuk ini, mahupun untuk itu,

Pujianku bukanlah bagiku,

Bagi-Mulah pujian untuk semuanya,

Buah hatiku,

Hanya Engkaulah yang kukasihi,

Berilah keampunan pembuat dosa yang datang ke hadrat-Mu,

Engkaulah harapanku, kebahagiaanku, dan kesenanganku,

Hatiku enggan mencintai selain Engkau..."


Rabiah mencurahkan seluruh hidupnya untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Kerana itu, dia memilih hidup zuhud agar bebas daripada segala rintangan dalam perjalanan menuju Tuhan. Dalam pandangannya, kenikmatan duniawi adalah hambatan menuju Tuhan.

Dia pernah memanjatkan doa,  

““Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada segala perkara yang menyibukkanku sehingga aku tidak sempat menyembah-Mu dan daripada segala rintangan yang merenggangkan hubunganku dengan-Mu."

Perkahwinan baginya adalah rintangan. Dia menerima banyak lamaran untuk bernikah, tetapi menolak semua lamaran itu. Mengenai cinta kepada Nabi Muhammad SAW pula, Rabiah berkata,

““Aku cinta kepada Nabi SAW, tetapi cintaku kepada Khalik (Maha Pencipta) memalingkan perhatianku daripada cinta kepada makhluk (segala ciptaan)."

Rabiah sang pencinta agung itu, mencintai Tuhan buka kerana naluri kewanitaannya. Dia mencintai Tuhan dengan sepenuh jiwanya, ia mencintai zat-Nya, sifat-sifat-Nya. Ia bertafakur, berzikir, juga kuat berfikir akan segala sesuatu tentang Kekuasaan dan Kebesaran-Nya, sehingga tidak ada ruang sedikit pun dalam dirinya untuk berfikir selain Dia.

Dia merelakan dirinya menjadi ‘gadis abadi’. Dia tidak ingin bernikah bukan kerana tidak ada yang meminangnya, dia memilih ‘kegadisan abadi’ kerana tidak tertarik dengan kenikmatan hidup duniawi.

Ketika Rabiah ditanya, ““Kenapa engkau tidak bernikah, wahai Rabi’ah?"

Dia menjawab, “”Tidak ada tempat di hatiku kecuali untuk Kekasih Sejati."

Rabiah menyembah Tuhan dengan penuh cinta dan kerinduan, yang sulit untuk dijabarkan melalui pena, diungkapkan melalui pemahaman.


Sunday, August 24, 2014

Indah hidup 'bersama' Allah....

Nak digambarkan betapa indah hidup ini bila bersama Dia, iaitu ALLAH...?

Jika dirujuk sejarah sebagai ibrah atau pengajaran... betapa indah bila Allah senantiasa di hati. Sentiasa di bibir, sentiasa dalam zikir.

Betapa indahnya bila punya hati yang dekat dengan Allah... hidup bertemankan ketenangan, jiwa lebih tenteram, melihat manusia dan makhluk lain semuanya 'baik' kerana yakin bahawa semuanya adalah penampakan Allah... "...zat-Nya kulihat pada senyuman manusia..." Begitu juga segala yang namanya 'keburukan' dan 'kejelikan' tetap ditanggap 'secara baik' kerana yakin bahawa itu pun kehendakNya jua. Maka hidup ku akan terusir dari gelisah dan sangsi...

Di mana jua kedudukan ku di mata masyarakat, namun jika hidup ku 'bersama' Allah, maka daku pasti akan mencapai ketenangan, keberanian, dan kebebasan yang tiada tandingan. Hidup dikatakan tenang tatkala pelbagai dugaan melanda... apakah itu sakit, kesempitan wang, karenah pasangan, anak-anak, majikan, sahabat, pekerjaan, namun tetap sahaja aku boleh sabar dengan senyum... (dari hati) masih bisa rasional berfikir, dan malah jadi semakin dekat dengan-Nya.

Hidup dikatakan 'berani' atau punya keberanian bila dekat dengan Allah kerana perasaan takut kepada Allah melebihi takut kepada manusia... walau didesak dengan kuasa, walau dimomokkan dengan makhluk yang tidak nampak dek mata zahir dan sebagainya, kerana yakin Allah lebih berkuasa, maka tentunya akal waras ku masih 'bebas'... bebas dari 'cengkaman' dan pengaruh... 'takutkan' manusia, hantu maupun tarikan duniawi... kerana aku ada Allah yang sentiasa bersama..

Umpama ketenangan... yang menyebabkan si miskin hidup seumpama hartawan dan jutawan..
Umpama kebebasan... yang menyebabkan hamba sahaya lebih bahagia daripada tuan yang memilikinya...
Umpama keberanian... yang menyebabkan pekerja bawah lebih cekal berbanding majikannya...

Dirujuk kepada kisah yang masih basah dalam ingatan sebagai ibrah dan pengajaran... ku kutip sejarah Rasulullah saw... betapa tenangnya Baginda dan Sayidina Abu Bakar bersembunyi di Gua Thur ketika dalam perjalanan berhijrah ke Madinah... tatkala musuh-musuh Islam sudah berdiri di hadapan pintu gua, dan hampir menemui mereka, maka Baginda Rasul menenangkan Sayidina Abu Bakar yang sangat cemas, sabdanya,

“Jangan takut, Allah bersama-sama kita” Q.S At-Taubah 9:40. Itulah kehebatan Rasulullah... Allah senantiasa di hati Baginda.

Apakah aku tidak layak untuk berkata seperti itu...?
Subhanallah... rahmat Allah itu sangat luas meliputi sekalian makhluk manusia dan seisi alam-Nya...

Maka aku juga harus dan patut selalu berkata,
"Jangan berdukacita..., Allah kan sentiasa bersama-sama ku”...
Bersama-sama aku di perjalanan ini...

Ibrah pengajaran di zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab...tatkala beliau ingin menguji seorang budak si pengembala kambing. Katanya, “Boleh kau jualkan kepadaku seekor daripada kambing-kambing mu yang banyak ini?” Jawab budak si pengembala kambing, “Maaf tuan. Ini bukan milikan ku. Aku hanya diamanahkan untuk menjaganya sahaja.” Sedangkan kambing yang dijaganya banyak, Khalifah Umar lantas berkata, “...tentu kalau hilang seekor sahaja kambing ini tidak akan diketahui oleh tuannya.” Namun budak si pengembala kambing sangat amanah. Setelah didesak-desak oleh Khalifah Umar. Maka dia menjawab,
“Jika benar katamu, maka di mana Allah?"

Perkataan yang sangat tegas... sekukuh keimanan si pengembala terhadap keberadaan Allah, kebesaran Allah dan kehadiran Allah bersama-samanya... sentiasa, selalu, dan di mana sahaja. Walau hanya seorang budak suruhan, namun dengan kejujuran dan keimanannya, dia tentu diangkat kedudukannya di sisi Allah.Walau di kelilingi kambing, hatinya tetap bersama Allah...

Dan aku, walau di kelilingi manusia-manusia yang hebat, atau malah berada di samping manusia yang menyepelekan diriku... hati ku harus tetap utuh bersama Allah... yakin Allah bersama ku... Dia 'memeluk' ku selalu, aku berada dalam dakapan-Nya senantiasa... tentunya indah pada rasa... ma sya Allah.

Aku ingin selalu mengingatkan diriku, agar sentiasa 'hidup bersama' Allah. Kedudukan dan pangkat hanyalah alat, bukan matlamat. Pangkat adalah darjat di sisi manusia sedangkan taqwa adalah darjat di sisi Allah.

Maka aku harus selalu bertanya,

“Apakah hidupku telah benar-benar 'bersama' Allah?”
“Apakah Allah telah menjadi tempat sepenuh atau segala pergantungan dan harapan ku?”
“Apakah Allah sudah menjadi tempat aku merujuk dan membujuk segala kedukaan dan kesedihan ku?”
“Apakah Allah sudah benar-benar bersarang cinta di hati ku?”
“Apakah Allah telah senantiasa ku lihat pada segenap ruang alam ini?”
“Apakah Allah kini sentiasa bermain di minda dan hati ku... berzikir kepada-Nya?”...

Dan aku masih perlu menjawab pelbagai persoalan tentang itu, namun harus juga dengan satu jawapan yang pasti... “Ya... Allah sentiasa bersama ku”

DIA ciptakan manusia dengan satu hati. Dikatakan tidak boleh ada dua cinta dalam satu jiwa... seperti mana firmanNya bahawa:

“Allah tidak menjadikan untuk seorang itu dua hati dalam perutnya iaitu tidak masuk ke dalam hati seorang Islam jika ia memikirkan selainnya. “ Q.S Al-Ahzab : 4

Maka aku, pabila ditanya, “Jadi, siapakah yang kamu cintai?”... Ikhlas..., dengan yakin jawabku, “...Cintaku, hatiku tidak dapat kuberi kepada manusia, tetapi untuk Allah semata-mata. Dalam hidupku tiada istilah “cinta manusia”... aku hanya mampu menyayangi dan mengasihi sesama manusia..."

Dengan hati yang satu itulah sewajarnya cintaku bersemi kepada-Nya. Jika cinta Allah bersinar, maka sirnalah cinta kepada yang lain... tetapi jika cinta ku kepada selain-Nya yang ada di situ, maka cinta aku kepada Allah akan terpinggir... !

Pesan seorang yang arif tentang persoalan hati, katanya, “Apabila Allah ada di hati mu, maka kau seolah-olah memiliki segala-galanya. Itulah kedamaian, ketenangan, dan kebahagiaan yang hakiki"

Kata-kata yang menyebabkan aku selalu berfikir, dan terus berzikir...

Apakah Allah telah menjadi tumpuan, perhatian dan matlamat dalam hidup ku... ?
Seumpama sufi yang binasa dalam ghairah bercintaan dengan-Nya...

Apakah yang aku fikir, rasa dan lakukan senantiasa merujuk kepada-Nya?
Seumpama salik yang telah tenggelam dan karam bersama cinta-Nya semata-mata..

Dan apakah aku sanggup menyayangi dan mengasihi manusia semata-mata kerana-Nya... dan tega untuk membenci juga kerana-Nya?
Seumpama sayang dan kasih ku kini... juga amarah dan hibaan ku..
Hanya kerana cintaku kepada ALLAH...!

Jika hidupku masih gelisah, resah dan tiada ketenangan... itu petanda aku belum benar2 hidup 'bersama' Allah...

Namun aku tidak akan pernah kecewa, dan putus asa untuk terus melangkah di jalan mujahadah ini. 'Kembarahakikat' ini akan terus ku tempuh kerana aku yakin Allah itu sangat dekat... malah sudah bersama ku, menyatu. Selangkah aku mendekat, seribu 'langkah' Dia merapati ku.... kerana keindahan yang ingin ku kecapi untuk 'hidup' bersama Allah, bukan berada di hujung perjalanan ku tetapi keindahan itu di SEPANJANG PERJALANAN kembara ku ini... in sya Allah.






Kisah Sufi

Orang-orang Yang Menyedari Kematian. 

Konon, ada seorang raja darwis yang berangkat mengadakan perjalanan melalui laut. Ketika penumpang-penumpang lain memasuki perahu satu demi satu, mereka melihatnya dan sebagai lazimnya- mereka pun meminta nasihat kepadanya. Apa yang dilakukan semua darwis tentu sama saja, yakni memberi tahu orang-orang itu hal yang itu-itu juga: darwis itu tampaknya mengulangi saja salah satu rumusan yang menjadi perhatian darwis sepanjang masa. 

Rumusan itu adalah: "Cubalah menyadari maut, sampai kau tahu maut itu apa." Hanya beberapa penumpang saja yang secara khusus tertarik akan peringatan itu.

Mendadak ada angin taufan menderu. Anak kapal maupun penumpang semuanya berlutut, memohon agar Tuhan menyelamatkan perahunya. Mereka terdengar berteriak-teriak ketakutan, menyerah kepada nasib, meratap mengharapkan keselamatan. Selama itu sang darwis duduk tenang, merenung, sama sekali tidak memberikan reaksi terhadap gerak-geri dan adegan yang ada di sekelilingnya.

Akhirnya suasana kacau itu pun berhenti, laut dan langit tenang, dan para penumpang menjadi sedar kini betapa tenang darwis itu selama peristiwa ribut-ribut itu berlangsung. Salah seorang bertanya kepadanya, "Apakah Tuan tidak menyadari bahawa pada waktu angin taufan itu tak ada yang lebih kukuh daripada selembar papan, yang bisa memisahkan kita dari maut?"

"Oh, tentu," jawab darwis itu. 

"Saya tahu, di laut selamanya begitu tetapi saya juga menyedari bahwa, kalau saya berada di darat dan merenungkannya, dalam peristiwa sehari-hari biasa, pemisah antara kita dan maut itu lebih rapuh lagi."

---------------------------------------------------- 

Kau Akan Bersama Dengan Yang Kau Cintai

Pada suatu hari, salah seorang pengikut Nabi Isa as berdakwah di sebuah kota kecil. Orang-orang memintanya untuk melakukan mukjizat; menghidupkan orang mati, sebagaimana yang telah dilakukan Nabi Isa.

Pergilah mereka ke pemakaman dan berhenti di sebuah kuburan. Pengikut Nabi Isa itu lalu berdoa kepada Tuhan agar mayat dalam kuburan tersebut dihidupkan kembali. Mayat itu bangkit dari kuburnya, melihat ke sekeliling, dan berteriak-teriak...  "Keledaiku! Mana keledaiku?" Ternyata semasa hidupnya, orang itu sangat miskin dan harta satu-satunya yang paling ia cintai adalah keledainya.

Pengikut Nabi Isa itu lalu berkata kepada orang-orang yang menyertainya, Engkau pun kelak seperti itu. Apa yang kau cintai akan menentukan apa yang akan terjadi denganmu saat engkau dibangkitkan... Anta ma'a man ahbabta. Di hari akhir nanti, engkau akan bersama dengan yang kau cintai.


---------------------------------------------------- 

Satu Hati Dua Cinta

Suatu hari, Fudhail bin Iyadh, duduk memangku anaknya yang berusia empat tahun. Sesekali ia mencium pipi anak itu sebagai ungkapan rasa sayang.

“Ayah, apakah kau mencintai aku?” tanya anak itu.

“Ya” jawab Fudhail.

“Apakah kau mencintai Tuhan?”

“Ya.”

“Berapa hati yang kau miliki, Ayah?”

“Satu.”

“Dapatkah kau mencintai dua hal dengan satu hati?” anak itu bertanya lagi.

Saat itu pula Fudhail terhenyak. Ia sadar yang berbicara bukanlah anak kecilnya melainkan Yang Mahakuasa. Merasa malu, ia mulai memukuli kepalanya dan bertaubat. Sejak saat itu, ia hanya persembahkan hatinya untuk Tuhan.



----------------------------------------------------


Sibuk Mengurus Hati

Suatu ketika, seorang Arab datang ingin berguru kepada Abu Said Abul Khair, seorang tokoh sufi yang terkenal karena karamahnya dan gemar mengajar tasawuf di pengajian-pengajian. Rumah guru sufi itu terletak di tengah-tengah padang pasir. Ketika orang itu tiba, Abul Khair sedang memimpin majlis simaan... (acara mendengarkan orang membaca doa) di tengah para pengikutnya. 


Waktu itu Abul Khair membaca Al-Fatihah. 
Ia tiba pada ayat: 'ghairil maghdubi alaihim, wa laz zalim...'
Orang Arab itu berfikir, bagaimana mungkin aku boleh berguru kepadanya. 
Baca Al-Quran saja, ia tidak boleh. Orang itu mengurungkan niatnya untuk belajar kepada Abul Khair.

Begitu orang itu keluar, ia dihadang oleh seekor singa padang pasir yang buas. Ia mundur tetapi di belakangnya ada seekor singa lain yang menghalanginya. Lelaki Arab itu menjerit keras karena ketakutan. Mendengar teriakannya, Abul Khair turun keluar meninggalkan majlisnya. Ia menatap kedua ekor singa itu dan menegur mereka. Bukankah sudah kubilang jangan ganggu para tamuku! Kedua singa itu lalu bersimpuh di hadapan Abul Khair.

Sang sufi lalu mengelus telinga kedua singa itu dan menyuruhnya pergi. 

Lelaki Arab itu kehairanan, Bagaimana Anda dapat menaklukkan singa-singa yang begitu liar? Abul Khair menjawab,
"Aku sibuk memperhatikan urusan hatiku. Untuk kesibukanku memperhatikan hati ini, Tuhan menaklukkan seluruh alam semesta kepadaku. Sedangkan kamu sibuk memperhatikan hal-hal lahiriah, karena itu kamu takut kepada seluruh alam semesta..."


--------------------------------------------------------

Kerinduanmu Padaku Adalah Utusanku Bagimu

Pada suatu saat, seorang sufi tengah tenggelam dalam doa-doanya. Syaitan datang menghampirinya dan berkata, "Sampai bila kau akan terus seperti ini, memanggil-manggil Tuhan. Diamlah kau, Tuhan takkan pernah menjawabmu!

Sufi itu menjadi teramat sedih dan termenung diam. Ia tak meneruskan doanya.
Di malam harinya, Nabi Khidhir hadir dalam mimpinya dan bertanya, 

"Mengapa engkau berhenti menyeru Tuhanmu?"
 

Berkata sufi itu:
"Karena jawapan dari-Nya tak juga kuterima,"

Khidhir menjawab, 

"Tuhan sendiri yang menyuruhku untuk datang kepadamu." 

DIA berkata: 
"Bukankah AKU yang memerintahkanmu untuk berdoa? 
 Bukankah AKU yang menyibukkanmu dengan nama-Ku? 
 Rintihanmu memanggil nama-Ku; Allah, Allah! adalah jawapan-Ku untukmu. 
 Kerinduanmu pada-Ku adalah utusan-Ku bagimu. 
 AKUlah sumber dari semua air mata dan rintihanmu. 
 AKUlah yang memberi sayap bagi iringan munajatmu."

Wallahualam