kudengari satu persatu.. menusuk timpa jauh menyusuri.. hanyut.. di dasar hati.. terhampar di situ.. mata mulai berkaca meruntun airmata.. jiwa mulai basah.. jasad mulai dingin.. karam.. di situ kutemui lagi.. diriMu.

Friday, August 28, 2015

Anak...

Awal agama mengenal Allah.
"Awwaluddin makrifatullah"

Iaitu untuk kenal agama, tahu Islam itu apa, harus dulu kenal Allah

Ada satu kata-kata yang agak menarik.
"Ajar dia mengenal Allah, sebelum kau ajar dia mengenal ayah"

Bermakna, ajarlah anak-anak sedari kecil, sedari bayi untuk mengenal Allah terlebih dahulu sebelum kita ajar anak-anak mengenal ayahnya. Tentu ini satu cabaran bukan!

Ya... untuk saya, ini satu cabaran besar, tapi bukan suatu yang mustahil.

Thursday, August 27, 2015

Mati... untuk hidup!

Pagi ini saya beralih angin. Daripada kebiasaan minum di Anjung 17, saya menapak sedikit jauh ke Cafe di bawah, bersebelahan dewan persidangan. Entah kenapa, tiba-tiba bila terdengar seorang staf bercakap-cakap tentang roti canai, saya langsung kepingin makan. Dan tak semena-mena itulah saya bersuara dari dalam bilik, "Eh, you all nak minum kat belakang ya? Saya nak ikut lah. Tunggu jap..." Kata saya.

Maka pagi ini meng'roti tempel lah saya... (roti tempel adalah roti canai kosong yang ditempel dengan sebiji telur mata kerbau atau mata sapi). Lucu kan.. Dengan roti telur, kira macam sama, tetapi tak serupa! Dan yang special nya roti canai di cafe belakang ni ada lah pada kuah karinya yang kick. Alhamdulillah... sedap!

Mengambil sarapan pagi adalah satu 'kewajipan' bagi saya. Dan saya kira satu amalan yang harus dilakukan oleh semua orang. Setelah perut diisi kali terakhir semalam petang, maka sebaiknya diisi sebelum memulakan aktiviti hari ini.

Namun kalau ikutkan hakikatnya, boleh sahaja tak makan. Tiada masalah. Dan memang ada orang yang boleh bertahan beberapa hari tidak makan. Tak mati pun. Apa lagi kalau cuma tak makan nasi, tetapi makan dan minum yang lain seperti biasa. Tak jadi isu. Dan ada orang yang cuma minum air paip. Buka paip, terus minum. Tak payah masak atau tapis. Elok jer. Tak pulak kena penyakit taun atau typoid, ya tak?

Pokok pangkalnya pada keyakinan. Kalau yakin dengan hanya minum air kosong kita boleh tahan, dan bertahan untuk dapat beraktiviti seperti biasa, memang cukup cantik. Tapi kita ada yang namanya "nafsu". Nafsu inilah yang membuat pilihan. Hari ini nak makan apa, dan makan di mana? 


Bila tak berselera makan, orang selalu kata, "Hari ini saya tak ada nafsu nak makan..." Makna selera makan, keinginan makan itu adalah kerana wujudnya "nafsu". 

Bila masuk bulan Ramadhan, kita dengar pulak ustaz-ustaz kata, "Puasa mengajar kita menahan nafsu.." Nafsu yang dimaksudkan bukan sahaja nafsu makan tetapi nafsu terhadap macam-macam. Nafsu membeli belah; nafsu makan minum- yang berlebihan; nafsu nak beli pakaian cantik/mahal/branded- sebab nak sambut raya; nafsu tidur- alasan puasa/lapar tidak larat bekerja; nafsu riak- nak rumah nampak cantik dengan perabut baru, kuih raya banyak; dan segala macam kehendak yang terlampau.

Maka sebenarnya kalau kita faham hakikat... (roh) puasa, bukan setakat menahan nafsu menuruti kehendak kemanusiaan di bulan Ramadhan tetapi sepanjang hayat. Ini kerana nafsu yang ada, kehendak dan keinginan manusia itu tiada batasan. Terutama dari segi makan minum. Hingga ada yang berkata dengan sinis sekali, "Puasa itu untuk berbuka.. " atau maksud lainnya, seolah-olah nya kita berpuasa sepanjang hari supaya nanti nya seronok dan rasa sangat nikmat tatkala berbuka. Allahuakhbar! Itu yang keinginan makan minum nya bermaharajalela. Semua benda nak di makan. Semua makanan kita teringin makan... kerana ada yang namanya "nafsu".

Nafsu ini adalah sebahagian daripada diri. Ia anasir yang bergantung kepada roh. Kalau tak ada roh (tak ada nyawa), masakan kita boleh bernafsu? Jadi nafsu itu, bukan diri. Diri yang sebenar-benar diri itu, adalah diri yang berdiri dengan sendiri, tanpa bergantung kepada sesiapa!. Makna kalau hidup tanpa nafsu itu, boleh. Dan bukan suatu yang pelik. 


Dan jadi lebih baik juga kalau hidup tanpa nafsu, kerana bila sebut "nafsu" konotasinya adalah kehendak kepada benda-benda yang tidak baik atau berlebihan, yang over. Sedangkan jika keinginan pada yang biasa-biasa ajer kita sebut 'rasa lapar', maka kita makan minum yang secukup nya, seada nya; berpakaian sebagai zahir 'rasa malu' yang penting bersih dan sesuai serta menutup aurat; ada rumah, cukup untuk memenuhi keperluan 'rasa selamat' untuk hidup dan tinggal; ada kenderaan untuk bergerak dengan 'rasa senang' dan mudah ke mana-mana; dan pelbagai rasa lagi, termasuk 'rasa sayang' yang tidak didasari atas nafsu. 

Sayang dan menyayangi seseorang, tanpa apa-apa syarat, atas 'rasa ikhlas' serta 'rasa syukur' dan berterima kasih kepada Allah.

Tu sebab bila kita berusaha lawan nafsu, kita cuba dengan 'matikan diri'. Anggap diri ini mati, kita dah mati. Orang mati tiada roh. Kalau ada roh maka akan adalah nafsu. Matikan diri, binasakan diri, kosongkan diri. Diri binasa, roh tiada, nafsu juga, yang tinggal adalah Allah semata-mata.

Maka akan batal lah semua keinginan kemanusiaan kita terhadap dunia, dan sifat-sifat keduniaan nya...



Wednesday, August 26, 2015

Ajud...

Allah..
Kali ni saya memang blur. Tak tau nak bicara isu apa sanking banyak nya benda yang bermain di fikiran.

Sepanjang perjalanan ke pejabat, selain saya usahakan mengingat... (seboleh mungkin saya istiqamah kan dengan zikir-zikir yang mudah...) otak saya tak boleh lari dari memikirkan hal-hal keduniaan. Ibarat kata seseorang, "Kita ni masih duduk atas dunia. Jadi kena lah berfikir tentang urusan dunia. Tetapi janganlah berlebih-lebihan. Berpada-pada lah" ... Ya kan. Begitulah sebaiknya.

Ibarat pepatah suku kaum Iban di Sarawak, "Agi idup agi ngelaban" Maksudnya selagi bernafas, maka berjuanglah untuk hidup. 

Berjuang untuk hidup yang hanya sementara di atas dunia ini. Actually, beberapa orang kawan sekolah saya... (setakat ini..) tiga orang yang dah pergi, tak kembali. Dua orang kerana kanser dan seorang lagi serangan strok darah tinggi atau hipertensi... Tentu berbahagia mereka kembali menemui sang Pencipta. Al-Fatihah.

Dan pada Sabtu lepas, saya ke HUKM menziarahi kawan anak saya yang kini sedang menjalani rawatan kimoterapi kerana leukemia. Anak ini semasa sihat seorang yang sangat ceria dan peramah. Nama panggilannya Ajud. Saya masih ingat ketika Ajud di rumah saya, apabila selesai makan, Ajud pasti akan ke dapur membantu saya mencuci pinggan. Bila saya tegur, dengan selamba dia kata, "Tak per makcik. Saya dah biasa buat ni". Ajud anak bungsu dalam tiga orang adik beradik yang kesemuanya lelaki. 

Ajud tusyen dengan anak perempuan saya serta beberapa orang kawan yang lainnya di rumah. Tujuan saya minta cikgu mengajar di rumah bukan apa, memudahkan saya juga. Tak perlu keluar rumah menghantar dan mengambil. Ini kerana kadangkala saya perlu kerja out station hingga beberapa hari.

Ketika menziarahi Ajud, saya berpeluang bertemu dengan keluarganya. Pertama abang sulung Ajud. Peramah seperti Ajud. Beliau bercerita bagaimana adiknya mula dibawa untuk pemeriksaan, apabila banyak kelenjar di lehernya yang membengkak. Saya langsung teringat, bila kita sakit, kurang sihat, demam, bertemu doktor, biasa doktor akan pegang tempat yang ada kelenjar pada leher. Diperiksa sama ada ada yang membengkak atau tidak. Itu simptom awal. Kemudian setelah beberapa hari, kelenjar di seluruh badan Ajud pula membengkak, menyebabkan perutnya membuncit. Dan apabila diperiksa darahnya untuk kali ke tiga, Ajud disahkan ada kanser darah atau leukimea.

Dan ketika nak balik, meninggalkan ruang wad, saya bertemu dengan ayah dan ibu Ajud yang baru sampai. Mereka keluar membelikan Ajud nasi goreng kampung. Alhamdulillah, saya kata sebab Ajud masih berselera makan. Ibu Ajud kata, doktor pesan suruh ikutkan sahaja apa yang dia teringin makan, kerana akan sampai satu tahap rawatan kimo, pesakit tidak mahu makan, kerana mereka langsung tiada selera makan. 

Untuk pesakit seperti Ajud, mereka tak boleh makan makanan yang mengandungi bakteria (baik) seperti cheese, minuman yogut dan yang seumpamanya. Ini bermakna hampir kebanyakan makanan segera harus dihindari. Selain tu makanan yang separa masak juga harus dihindari kerana dibimbangi mengandungi virus. Virus-virus yang ada dalam makanan separa masak akan merosakkan sel-sel darah merah. Pesakit kanser darah atau lukemia mengalami kurang darah merah dan berlebihan darah putih.

Sementara kesan sampingan dari rawatan kimoterapi Ajud, dia kini mendapat pelbagai jenis penyakit antaranya diabetic dan hipertensi, iaitu tekanan darah yang tidak stabil.

Sebagai ibu, yang juga punyai anak sebaya Ajud, saya berusaha menahan emosi ketika berhadapan dengan Ajud dan juga ibunya. Hanya doa saya titipkan, moga mereka diberi kekuatan dan redha dengan kehendak Allah. 

Sungguh ini bukan ujian tetapi hikmah yang sangat besar dengan nikmat yang tetap harus disyukuri....  



Monday, August 24, 2015

Suara hati....

Alhamdulillah... puji syukur teruntuk hanya kepada Allah SWT.
Memulakan hari-hari bekerja dengan semangat. Berusaha dinafikan sinis-sinis Monday Blues'.

Apa pun syukur kerana punya pekerjaan yang baik; ada tempat untuk mencari nafkah yang sangat selesa; jadi asbab diberi sedikit rezeki oleh Allah melalui manusia untuk saling berkongsi dengan yang lain; lantas diberi peluang berkhidmat kepada negara atas nama ibadah, lillahi Taala.


Niat kan untuk apa jua, namun tetap dari Allah, kerana Allah, untuk Allah jua.
Melalui 'tangan' yang dipinjamkan-Nya kepada saya, pendapatan yang diterima hanya menumpang lalu sahaja untuk disampaikan kepada orang lain, seramai mungkin, untuk sebaik mungkin tujuannya.

Memberi bukan untuk mengharap balasan pahala, atau syurga. Memberi juga bukan dari kita kerana kita sebenarnya tak memiliki apa-apa. Apa yang jadi harta kita hanyalah... pada pakaian yang dipakai dari hari ke hari hingga lusuh, koyak lalu dibuang; dan juga pada makanan yang masuk ke mulut, terkumpul di perut lalu diproses dan dibuangkan juga... (akhirnya) menjadi najis. Itulah yang sebenar-benar rezeki saya, rezeki kita. Lain nya semua bukan milik kita. 

Kalau hak milik kita tentu boleh dibawa mati. Andai ditakdirkan malam ni tidur, esok pagi mati, dah tak bangun-bangun lagi, lalu ditanam bersama-sama segala harta yang ada, ikut masuk kubur, itu boleh lah disebut sebagai harta kita, hak milik kita. Rosak dan reput bersama-sama kita di dalam lahad.

Dari segi hakikat, memang tak ada yang namanya milik kita. Tangan yang menekan-nekan keyboard menaip ini juga bukan milik saya. Tidak sahaja zahirnya, pada sekujur tangan yang boleh dilihat dan dipegang, tetapi yang menggerakkan tangan juga bukan dari tenaga saya, malah yang berkehendak agar tangan dan jari-jemari ini bergerak juga bukanlah kehendak saya. Saya hanya mengikut sahaja- sebagai penampakkan sifat Allah atas diri manusia.

Manusia itu dicipta untuk Allah menzahirkan kekuasaan-Nya, kekuatan-Nya dan segala sifat-Nya.

Namun setiap yang berlaku itu tidak boleh dianggap sebagai kebetulan. Berlaku tanpa punca dan sebab. Tiba-tiba sahaja Allah nak buat, maka ia berlaku. Tidak lah begitu. Untuk menampakkan kepada manusia bahawa sesuatu itu ada asbab, ada sebab dan musabab sebagai menunjukkan kesinambungan perjalanan hidup yang signifikan. 

---------------------- 

Turun dari bangunan pejabat petang tadi, hujan dah agak reda, tapi masih renyai-renyai. Saya redah jer. Malas buka payung. Agak jauh juga tempat kereta saya parkir. Tapi tak per lah. Bukan hujan batu, hujan air. Paling teruk pun, saya basah lah sedikit. 

Memandu menuruni bukit, melalui pintu gerbang, di sebelah kiri, atas laluan pejalan kaki yang basah dek hujan lebat sebelumnya saya lihat sekumpulan orang duduk bersila. Dalam hati saya berkata, "Eh, ada piket rupa-rupanya. Isu apa ya? Perhimpunan BERSIH 4.0 belum lagi. Kesian nya. Basah, berhujan pulak..." Hati saya bersoal jawab. Waktu petang-petang begini, sudah melebihi jam 6, di pejabat sudah tak ada sesiapa... (maksud saya orang-orang besar lah) dan lagi pula sekarang bukan dalam sesi persidangan. Dan mereka hampir kesemuanya adalah keturunan Cina. "Apa pun, moga dipermudahkan urusannya" Bisik hati kecil saya, sambil perlahan-lahan memandu pergi. 

----------------------- 
Tanpa sebab orang tak akan buat kerja 'bodoh'. Istilah "bodoh" pada orang yang tak faham, dan tak mahu faham. Kalau tak ada angin, masa kan pokok bergoyang. Kalau tak ada sebab dan musabab masakan manusia mahu menyusahkan dirinya. Berhujan, berpanas, kelaparan, menanggung risiko ditangkap, waimma dibunuh sekalipun mereka sanggup jika sampai tahap keselamatan dan jaminan kehidupan mereka tergugat.

Sungguh... dalam apa pun jua perkara, jangan bergantung harap kepada manusia. Rezeki itu urusan Allah. Bukan kuasa manusia. Keselamatan, keamanan, bahagia, ceria semua atas tadbiran dan susunan Allah. Jangan minta kepada manusia, akan tetapi begitulah kenyataannya... masakan sesuatu berlaku secara tiba-tiba, secara kebetulan. Pasti punya asbab, sebab dan musabab. Maka untuk berjaya kena berusaha. Untuk capai sesuatu harus lakukan sesuatu.

Saya solute kepada mereka yang berani menegakkan kebenaran. Berani maju ke hadapan memperkatakan sesuatu yang benar biarpun bakal menerima ugutan, cacian, makian malahan nyawa terancam. Bukan semata-mata berangan-angan menjadi "keyboard warrior"... (seperti saya....) 

Teringat kata-kata seseorang kepada saya, "...Tak per lah, orang lain suarakan hak dan kebenaran, berdemo, piket, tunjuk perasaan minta perhatian dari pihak yang berkuasa. Nanti orang-orang yang cuma memerhati, yang dah selesa ni merasa juga hasilnya..." 

Satu-satu isu atau memorandum yang dibawa bukan membawa 'hasrat' dan permintaan individu sahaja tetapi mewakili seluruh rakyat negara ini. 

-------------------------- 

Ya Allah... tak kan you all tak terasa... seperti apa yang saya rasa?


Sunday, August 23, 2015

.....

Entry kali ini tak bertajuk. Sebab saya tak tau nak letak tajuk apa.
Tujuan nya hanya share sedikit apa yang saya "rasa"... itu sahaja!

Dengan kehendak Allah jua, petang hari Sabtu lepas, saya menerima pm atau personal message, lewat facebook, dari sahabat sama batch, sama kelas dan sama seusrah semasa study di seberang dulu... apa pun tujuan nya, syukur alhamdulillah. Saya ikut ajer.

Melalui kemudahan teknologi kini, sahabat lama yang dah terpisah dapat bertemu semula, silaturrahim yang terlerai dapat disambung kembali, dan ikatan persaudaraan juga boleh dieratkan...andai teknologi dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.

Classmate saya masa study dulu overall Indonesian. Ya lah, sebab saya belajar first degree dulu, di Universitas Gadjah Mada (UGM), tepatnya di Daerah Istimewa Yogyakarta, Jawa Tengah, Indonesia. Jadi bila saya di add oleh admin group WhatsApp kelas, maka perkara pertama yang saya buat selain memberi ucapan "salam" dan "terima kasih" adalah 'menyemak' Group Info. Bukan apa, sebab kebanyakkannya saya dah lupa nama. Jadi dari info tersebut, boleh lah tengok wajah-wajah mereka. Kot-kot lah boleh recall, dengan ingatan yang masih bersisa nih. Al-maklum dah terpisah sejak tahun 1996 apabila saya pulang ke tanahair.

Dan di sini, saya tak lah mahu berkisah banyak, hanya saja ingin berkongsi apa yang saya rasa dan terlintas di fikiran. 

Memang ramai kawan-kawan yang berada dalam group ini. Maklumlah satu kelas, student Kursus Komunikasi Massa, angkatan (batch) tahun 91... kesemuanya ada laa dalam 50 orang. Mungkin tak semua, tapi rata-ratanya saya kenal dan ingat. Kami sama-sama dari First Year hingga grad. So lebih kurang 50 orang termasuk saya. Ada yang kini sedang sambung PhD di USM Penang, di Australia, di Singapura, dan ada juga yang berkahwin dengan orang asing, lantas kini menetap di luar negara, di Paris, di Holand, di Ireland. Bukan sahaja asal mereka dari pelbagai daerah di Indonesia, malahan agama dorang juga pelbagai. Ada keturunan Jawa yang beragama Kristian. Dan Kristian nya juga ada pelbagai aliran. Ada Kristian Katolik, ada Kristian Adven, Kristian Prostestan, dan ada Kristian-Jawa. Ada juga yang berbangsa Jawa tetapi beragama Hindu, Hindu-Jawa. 

Selain Jawa, kawan-kawan saya ini juga ramai yang berbangsa Cina, tetapi mereka tidak dibenarkan menggunakan nama Cina (seperti Cina di negara kita). Jadi nama mereka sama seperti orang-orang Indonesia yang lain, walau berbeza agama dan bangsa. Melalui rukun negara mereka yang dikenal sebagai Bhineka Tunggal Ika bermaksud "berbeza tetapi satu", semua rakyat adalah sama. Jadi yang pertama, mereka harus sama dari segi nama. Tak ada yang bernama "Yap Ah Loi" atau "Parameswary"... sedangkan nama Parameswara adalah Raja yang dikatakan berasal dari Palembang, Indonesia. Pelik, kan!

Bila dah tau gini, nak bagi salam pun saya memikir dua kali sebab tak semua kawan-kawan saya beragama Islam, walau raut wajahnya sama, nama-nama mereka juga bunyinya hampir-hampir sama, yang tersangat lah ke Indonesiaan nya.

Kawan-kawan saya ni berasal dari seluruh daerah di Indonesia seperti Jakarta, Bandung, Surabaya, Bali, Padang, Medan, Palembang, Kalimantan, Sulawesi, Nusa Tenggara, Batam, Acheh dan lain-lain lagi, dan pastinya bahasa mereka juga pelbagai. Tetapi dalam WA group ni, mereka menggunakan bahasa Jawa instead of bahasa Indonesia, kerana majoriti mereka boleh berbahasa Jawa setelah lama menetap dan bergaul dengan masyarakat Jawa ketika studi di UGM dulu.

Maka saya terfikir... rugi pulak saya sebab saya tak berusaha untuk boleh berbahasa Jawa, sedangkan arwah ayah saya ada darah keturunan Jawa, dan boleh bercakap Jawa dengan baik.  

Dan lebih menjadi fikiran di benak saya ini, mereka iaitu kawan-kawan saya ini, punya latar belakang yang saling berbeza, bahasa pertuturan yang berlainan, dari keturunan atau suku yang pelbagai, agama mereka juga saling berbeza, bukan semua nya Muslim dan beragama Islam, tetapi mereka sangat kompak (sepakat) bila memperkatakan tentang negara, kedaulatan bangsa dan toleransi agama. Mereka masing-masing saling mengingatkan pada tanggungjawab seorang penganut kepada agama yang dianutinya, agar sentiasa mengingat Tuhan. Saling mengingatkan agar hadir ke majlis pengajian mengikut kepercayaan dan agama masing-masing. 

Kalau saya lah, rasa macam tak terkeluar suara nak berkata, "Jangan tidur lewat. Nanti bisa telat (lambat) ke gereja". Sedangkan yang mengingatkan itu seorang kawan yang pegangan agama Islamnya kuat. Tetapi pada mereka, yang penting "percaya kepada Tuhan" kerana konsep percaya kepada Tuhan, pasti membawa kebaikan. Orang yang punya agama, punya Tuhan, pasti menjadi manusia atau orang yang baik. Segi syariat- kehidupan atas dunia, orang baik, manusia yang baik disayangi ramai. Walau nama bunyi Islamik.. ada "Mohd" atau "Umi" kat depan, beragama Islam jugak tapi kalau perangai tak elok, buruk, suka menipu orang, menipu rakyat, dah tentu orang tak suka, ramai orang benci. Menjatuhkan imej negara dan agama Islam pun ya jugak.. kan.

Tiada agama di dunia... agama-agama asal lah seperti Kristian, Hindu, Buddha, Sikh yang mengajak penganutnya kepada perbuatan mungkar seperti membunuh, merompak. Semua agama mengajar pengikutnya agar saling berkasih sayang, amanah dalam bekerja, bekerjasama, bertanggungjawab dan yang penting, menjadi manusia yang baik. Dan semua agama ini juga menuju kepada Tuhan yang sama iaitu "Allah" namun dengan cara yang berbeza-beza. 

Di sinilah letaknya perbezaan antara agama Islam dan bukan Islam, bahawa Islam agama yang jelas. Tiada pengantara antara penganut dan Tuhannya. Seorang yang beragama Islam boleh langsung berkata-kata kepada Tuhannya iaitu Allah. Kerana kita percaya dengan yakin bahawa Allah itu Maha segalanya. Allah Maha Mendengar, Allah Maha Penunai, Allah Maha Mengetahui, Allah Maha Melihat, Allah juga lah yang menetapkan segala kejadian dan peristiwa. Setiap gerakkan adalah gerakkan Allah, setiap pandangan adalah pandangan Allah, setiap pendengaran adalah pendengaran Allah. KIta ini hanya mengikut sahaja.

Dan hakikat nya, semua yang berlaku adalah baik mengikut perancangan dan pentadbiran Allah jua. Maka tiada apa yang mahu dikesal dan disesalkan...