kudengari satu persatu.. menusuk timpa jauh menyusuri.. hanyut.. di dasar hati.. terhampar di situ.. mata mulai berkaca meruntun airmata.. jiwa mulai basah.. jasad mulai dingin.. karam.. di situ kutemui lagi.. diriMu.

Saturday, August 22, 2015

Jiwa jiwa yang tenang...



"...Wahai jiwa yang tenang..." seruan Allah kepada manusia yang telah mendapat ketenangan bersama-sama rahmat dan redha-Nya.

Ayat di atas adalah surah Al-Fajr.
Pada ayat 27 surah ini, membawa maksud : (Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): "Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya!"

Bermakna dengan tetap memiliki kepercayaan dan iman yang teguh kepada Allah, kepada akhirat, yang sentiasa mengingat Allah, serta memiliki hati yang baik, hati yang tunduk tawaduq tanpa riak dan ujub adalah orang yang dijanjikan Allah sebagai pemilik jiwa yang tenang.

Tanpa sedikit pun berkeluh kesah...
MasyaaAllah...





Friday, August 21, 2015

Rindu ku....




Menyusuri perjalanan pada sebuah pencarian
Jiwa meruntun rindu untuk segera mendapatkan
Hati berhiba merayu agar bisa mengenalkan
Sebuah percintaan abadi lewat penghidupan.

Melalui sebuah hakikat penyerahan
Dalam keyakinan bulat tanpa keraguan
Kepada pemilik cinta kasih sejati
Diri ini, hidup ini, dan segala peminjaman.

Melalui tempo masa pembaringan diri
Lalu mengenal erti penyerahan terperi
Jasad pulas kaku, roh di awangan
Sampai waktu keduanya kan bertautan.

Melalui saat kembali jiwa dan jasad
Tika menyahut seruan balik malak Izrail
Namun yang balik tak pernah pulang
Untuk berkisah indahnya sebuah pertemuan.

Melalui tilik menilik diri sendiri
Akan kelihatan lah si Pemilik Hakiki
Namun tidak semudah untuk difahami
Bagaimana kenal diri boleh ku kenal pencinta sejati.

Mengenal Yang Satu melalui Yang Satu
Harus ku kenal diri sendiri terdahulu
Mati kan diri ku binasa segala zahir itu
Yang tinggal kini hanyalah wajah Mu.

Lewat penyerahan ini ku peroleh cinta-Mu
Aku mengenal-Mu di dalam Aku.




Thursday, August 20, 2015

5 cara 5 langkah...

Lima cara lima langkah mengenal Allah:

1. Mengenal Allah melalui Allah

Bagaimana mahu mengenal Allah melalui Allah. Tentu agak sukar kan. Maka kita cuba kenal Allah melalui diri. Melihat dan menilik diri.

2. Mengenal Allah melalui Diri

Atau kita sebut mengenal diri. Untuk mengenal Allah harus kenal diri dahulu. Pun kita tak tau bagaimana caranya. Macamana nak tilik diri. Memandang diri atau wajah di cermin, apa yang akan kita nampak?

3. Mengenal Allah melalui Mati

Ini lagilah susah. Sebab kita tak pernah mati. Dan orang mati pun tak pernah ada yang bangkit keluar dari kubur bercerita apa-apa.

4. Mengenal Allah melalui Tidur

Tidur. Semua orang tau tidur. Semua orang pernah tidur. Semasa tidur kita 'belajar' menyerahkan segalanya kepada Allah. Diri kita, anak-anak, harta benda, rumah, wang ringgit kita tinggalkan 'sekejap' untuk berehat. Kot masa tidur ada pencuri masuk atau perompak rodok pisau pun kita tak tau. Semua kita serah kepada Allah. Ada pepatah mengatakan, tidur itu kembarnya mati.

6. Mengenal Allah melalui penyerahan diri.

Bila kita tau menyerahkan segala-galanya kepada Allah... pada aturan-Nya, kepada pentadbiran-Nya, qada dan qadar-Nya maka kenal lah kita akan Allah. Semuanya Allah, hanya Allah, dari Allah, kepada Allah.

Umpama syahadah nafi dengan isbat.




Tuesday, August 18, 2015

Sihat...

Mungkin kerana faktor usia maka kini beberapa jenis makanan sudah tidak boleh saya nikmati. Kalau dulu pantang jumpa. Kini pantang makan.

Kerana sebelum ini tiada makanan yang saya tak boleh makan, semua saya makan. Tolak batu dengan kayu sahaja. Ais batu saya minum, ubi kayu saya bedal. Maka itu kadang-kadang terlupa. Sudah dimakan baru ingat. Bila badan jadi tak selesa, perut buat hal, kepala berat baru saya ingat, "Lhaa... aku kan tak boleh makan..."

Ada orang kata, "Makan jer. Jangan banyak sangat bersyarat. Jangan tetapkan keputusan sebelum bermula..." Ataupun nak senang kata, "Jangan berprasangka buruk dahulu" Tetapi kalau kita dah memang maklum, dah tahu, selalu alami, dari pengalaman bahawa makanan sekian-sekian ini kalau dimakan jadi sakit, jadi macam-macam, tak kan kita masih nak makan, itu namanya cari penyakit. Ya tak? Umpama tak sayang badan pun ya jugak, kan.

Alhamdulillah, pengalaman hidup di perantauan, jauh dari keluarga, dan lebih 'hiba' sebab merantau di negara yang sedikit kurang maju berbanding negara sendiri... (waktu itu...) maka saya banyak belajar hidup susah. Makan apa yang ada. Makan apa adanya. Hidup serba sederhana. Di sana saya belajar makan nasi dengan hanya berlauk kan keropok sahaja; belajar menikmati ikan sungai, ikan darat terutama ikan keli, ikan sepat; belajar makan segala jenis daun ulam-ulaman; dan belajar memaksimumkan penggunaan apa jua bahan makanan yang boleh dijadikan lauk. Kalau nak cerita di sini, detail sangat pulak. Tetapi begitulah... bila hidup serba kekurangan, apa yang ada di sekeliling rumah semua boleh jadi lauk. Mereka harus rajin berbudi kepada tanah, harus mahu giat berusaha menternak sekurang-kurangnya ikan sekolam, atau ayam sereban. Kalau tidak, nak makan telur ayam pun susah, nak jumpa ikan jugak payah.

Okay lah... bukan tujuan semula saya nak berkisah tentang makan, cuma sebagai intro kepada entry tentang produk makanan tambahan dan amalan menggunakan bahan herba sebagai vitamin atau gizi tambahan bagi tubuh badan untuk kekal sihat dan cergas, supaya boleh berperanan di atas dunia ini. 

Ya lah kan... kita selalu dengar bahawa penyakit bermula dari makan. Jarang kita dengar kes orang mati sebab tak makan tetapi ramai orang 'mati sebab makan', berpunca dari makanan- amalan pemakanan yang salah.

Dulu-dulu saya dan batuk macam kembar. Kalau bunyi batuk tu tanda saya ada, kalau saya ada maka berbunyi lah batuk!... Hihi... begitulah kira-kiranya. 

Dan selalunya saya batuk hingga berbulan-bulan. Sikit-sikit batuk. Silap makan sikit, batuk. Namun alhamdulillah. Disebut ikhtiar... tapi pun dengan izin dan kehendak Allah jua yang menggerakkan, sebagai asbab dan musabab Sebenarnya saya tak ingat bagaimana saya mengetahui tentang cuka kurma. Namun sejak mengamalkan minum cuka kurma dan madu, sudah hampir 2 tahun lebih... dengan izin Allah, saya bebas daripada "sikit-sikit batuk, silap sikit, batuk!" Bukan sahaja batuk, malahan selsama juga. Ujian kolesterol jahat (bad cholesterol - LDL) dalam darah saya juga menurun. Syukur sangat-sangat. Terima kasih ya Allah.

Cuka kurma adalah makanan sunnah yang mengikut pesan Rasulullah SAW bahawa sebaik-baik hidangan makanan ialah Khal (cuka). Ya Allah berkatilah pada Khal, sesungguhnya Khal adalah makanan nabi-nabi terdahulu sebelum aku dan jangan terputus Khal dalam suatu rumah.” (Hadis riwayat Muslim 2052, Ibnu Majah 3318)

Sementara madu sudah jelas disebut dalam al-Quran sebagai penawar untuk segala jenis penyakit. Hanya saja di sini, untuk mendapatkan madu asli, pure honey agak susah. Risiko juga kepada saya yang punya jalur keturunan pengidap diabetis. Kalau sehari dua sudu madu tiruan... (sekali pagi sekali malam) bermakna dua sudu pekat gula yang masuk ke badan. Maka kalau ada yang tau di mana terdapat madu asli, benar-benar asli, tak ada campuran gula (lebah diberi makan gula... itu saya rasa memang ada..) pass lah info kepada saya. Ya.


Kini, saya tambah, dalam campuran madu dan cuka kurma, dengan sesudu minyak zaiton pula. Minyak zaiton juga makanan sunnah yang baik untuk kulit, pencernaan dan rambut. InshaaAllah... kita bertawakkal kepada segala perancangan Allah, dengan redha dan yakin yang dituruti dengan ikhtiar serta usaha atas izin-Nya, bahawa Allah Maha Pengasih Maha Penyayang. Yakin dan keyakinan itu harus dipegang kuat. Bahawa segalanya sudah diatur, dengan sangat cantik. Supaya kita ini dapat senantiasa berlapang dada.

Bila sebut "berlapang dada" saya nak cerita pula kebaikan mengamalkan minum Jus Lega atau apa jua jenama yang ada, antaranya jus Herba Madu. Kedua-dua ini adalah minuman atau pemakanan tambahan yang sama kandungannya dan dikatakan baik untuk melegakan dada pesakit jantung, kolesterol dan diabetic. Terdiri daripada gabungan cuka epal, madu, halia, lemon dan bawang putih. Kalau rajin buat lah sendiri. Lagi baik dan terjamin keasliannya. Tapi kalau tak rajin... (bukan malas ya...) cuma tak berapa nak rajin, sebab kesibukan bekerja... macam saya, maka belilah yang dah siap. Sedia untuk diminum. InshaaAllah... banyak testimoni orang-orang yang mengamalkannya, alhamdulillah. Ada kesan dan perubahan. Kalau berminat, cari di fb, "Jus Lega" atau "Herba Madu" dan kalau terlebih rajin, nak adun sendiri rujuk sini.

Dan saya juga nak perkenalkan kepada makanan tambahan berasaskan susu kuda. Ikut makluman kawan-kawan saya yang punya kedai farmasi, produk berasaskan susu kuda dah lama ada di pasaran, tetapi lebih kepada meningkatkan tenaga seksual lelaki. Namun kini dengan kemajuan sains dan teknologi farmakologi, maka khasiat susu kuda ini ditemui sebagai pemakanan tambahan yang baik untuk pelbagai penyakit antaranya adalah denggi. Ia dapat membantu mempercepat platlet darah pesakit denggi. Produk Niemans Feramilch Capsule. Boleh tengok di fb produk ini untuk dapatkan maklumat lanjut.

Namun kalau hendak yang lebih baik dan terjamin, tiada bahan-bahan kimia atau pengawet, amalkan mengambil bahan-bahan herba dari tumbuhan segar. 

Kawan saya amalkan minum air pandan, yang direbus beberapa jam dengan akar-akarnya sekali, dan titiskan madu sebagai pemanis. Katanya, dengan amalan meminum secawan setiap hari, badan terasa ringan. Dan tentu badan berbau wangi, ya tak.

Baru-baru ini melalui fb saya dapat petua menurunkan kolesterol dengan mengamalkan meminum air rebusan serai. Dicampur sedikit madu, dan titisan lemon. Pada saya, ini ubat sedap. Diminum sebagai 'ubat' tetapi rasanya sedap. Begitu juga meminum lemon yang dicampakkan beberapa biji asam boi. Juga 'ubat tekak' yang sedap, selain memberi kesegaran.

Sementara daun betik yang diblend dan ditapis untuk airnya, terbukti kalau diminum dan diamalkan boleh juga membantu meningkatkan platlet darah pesakit demam denggi. Namun sebagai peminat makan ulam pucuk betik, saya sudah terbayang dan terasa-rasa akan kepahitannya. Subhanallah... memang pahit giler. Mungkin kurang sesuai untuk diberi kepada kanak-kanak. Mau muntah hijau budak dibuatnya. 

So untuk kanak-kanak, satu petua yang saya dapat daripada sebuah drama Korea. Tajuk tak ingat dah...sekitar tahun 2005 kalau tak silap, mengisahkan si hero demam dan badannya keluar bintik-bintik. Lalu si ibu memasakkan anaknya sup ketam. Disuapkan kepada anak bujangnya sup atau kuah ketam panas-panas setiap hari hingga bintik-bintik hilang. Lalu saya pun mencari maklumat tambahan di google. 

Memang benar. Amalan orang Korea, meminum sup ketam yang ditambah dengan sejenis daun.. saya tak pasti daun apa sebagai makanan tambahan ketika diserang demam dan badan keluar bintik-bintik merah. Atau sekarang ni lebih mudah dan ringkas, banyak yang mengamalkan meminum air 100Plus... pun ubat sedap. Untuk kanak-kanak memang sangat sesuai, tetapi tidak untuk pengidap diabetic, kerana kandungan gulanya agak tinggi.

Ternyata memang banyak cara lain yang boleh diikhtiarkan, selain bergantung kepada ubat-ubat doktor dan hospital. Hanya saja keyakinan kita di mana? Kalau kita sangat yakin dengan hikmah ayat-ayat Allah, cukup dengan "Bismillahi Rahmaani Rahiim" atau dengan "Bismillah" sahaja, sudah boleh menjadi penawar kepada pelbagai penyakit... inshaaAllah.

Pengalaman ibu kepada ustaz ngaji anak-anak saya yang telah hampir 20 tahun mengidap barah tulang. Kini beliau semakin sihat. Ibu ustaz berhenti mengambil ubat-ubat hospital yang banyak menimbulkan kesan sampingan, dan kini beralih kepada amalan-amalan ruhani antaranya istiqomah dalam tahajjud. 

Untuk mengubat penyakit zahir, maka ubati dulu hati dan jiwa. Kerana sebenarnya jiwa dan 'hati nurani' kita ini lebih kuat berbanding 'jasad keras' zahir iaitu tubuh badan. Jiwa dan nurani yang kuat boleh mengatasi unsur-unsur negatif dan melawan fikiran-fikiran tidak baik yang ada dalam diri kita. Ini kerana penyakit itu juga sebahagian daripada makhluk. Ia boleh 'dihalau' keluar dari berdiam dalam badan, dengan kekuatan jiwa (psikologi melawan penyakit), sentiasa berbaik sangka dengan Allah, serta keyakinan, dan tentunya kekuatan itu adalah daripada Allah jua... yang boleh dibina melalui amalan-amalan batin, antaranya dengan banyak berzikir dan mengingati Allah.

Sama seperti amalan syariat, tidak sah tanpa terlebih dahulu memegang 'hakikat tentang Allah', keyakinan kepada Allah. Syariat- ibadah zahir... solat, puasa, haji dan ibadah lain tidak sah, tidak sempurna tanpa terlebih dahulu mengenal Allah, mencapai khusyuk dan mengenal akan kita pada setiap roh ibadah itu terlebih dahulu. Apa yang penting adalah keyakinan kita bahawa segala-galanya Allah. Semata-mata Allah yang mentadbir setiap perkara dan kejadian... tiada lain selain Allah, baik di dalam maupun di luar. Maka setiap perkara yang berlaku adalah baik- sebagai bekal tawakkal kepada-Nya. Lalu bila kita berusaha berubat, apa pun jua hasilnya dapat diterima dengan ikhlas dan redha.

Tiada daya upaya kita selain dengan izin dan kehendak Allah jua.
... kita hanya berikhtiar... 





Monday, August 17, 2015

Tiada hijab Dia...

Daripada hikmah Hikam.

Ibn 'Atailah menerangkan banyak dalil menunjukkan bahawa Allah bersifat wajib al-wujud yang tak mungkin dihijabkan oleh sesuatupun kerana semua ialah makhluk-Nya. Begitu juga Allah menciptakan makhluk sebagai dalil untuk makrifah-Nya.

Pengarang menjelaskan beberapa dalil yang menunjukkan bahawa Allah tidak mungkin dihijabkan oleh mana-mana makhluk atau alam, lalu dinyatakan ketidakmunasabahannya pada akal dengan mengemukakan persoalan-persoalan. 


"Bagaimana mungkin dibayangkan bahawa Allah dapat dihijab oleh sesuatu, 
padahal Dia lah yang menzahirkan (menampakkan) segala-galanya?"

"Bagaimana mungkin Allah dihijab oleh sesuatu, 
padahal Dialah yang nampak nyata bersama segala-galanya?"

"Bagaimana mungkin Allah dihijab oleh sesuatu, 
padahal Dialah yang terlihat pada tiap sesuatu?"

"Bagaimana mungkin Allah akan ditutupi oleh sesuatu, 
padahal Dialah yang tersedia nyata oleh sesuatu?"

"Bagaimana mungkin Allah dihijab oleh sesuatu, 
padahal Dialah yang lebih nyata sebelum wujud tiap sesuatu?"

"Bagaimana mungkin Allah dihijab oleh sesuatu, 
padahal Dialah yang Maha Esa yang tidak ada sesuatu pun di samping-Nya?"

"Bagaimana mungkin Allah akan dihijab oleh sesuatu, 
padahal tanpa-Nya, nescaya tidak akan wujud segala-galanya"


"Bagaimana mungkin Allah akan dihijab oleh sesuatu, 
padahal Dia lah yang lebih dekat berbanding urat darah di batang leher"


Alangkah ajaibnya, bagaimana tampak wujud di dalam 'adam (tiada).
Atau bagaimana sabit sesuatu yang baharu di samping zat yang bersifat qidam (sedia ada)...?"

Dikaitkan dengan ilmu mengenal Allah Melalui Ihsan, bahawa Allah itu tiada hijab, melalui sebuah hadis:

"Maka beritahukan kepadaku tentang ihsan. Nabi menjawab, ihsan ialah bahawasanya engkau memperhambakan diri kepada Allah seakan-akan engkau melihat Allah, meskipun engkau tidak melihat Allah maka sesungguhnya Allah melihat engkau"

Hadis lain:

"Hendaklah menyembah Allah seolah-olah kamu nyata Allah (kamu melihat Allah). Kiranya kamu tidak nyata Allah (tidak melihat Allah), sesungguhnya Allah itu nyata atas kamu (Allah melihat kamu)"







Sunday, August 16, 2015

Cinta... untuk dicintai-Nya

Saya share…

Tentang “Mengenal Allah”

Yang dikasihi dan dicintai Allah, saudara saudariku, dapatkah kita menjelaskan siapa Allah?

Kalau kita merujuk kepada Al-Quran, banyak ayat yang menjelaskan tentang Allah tetapi setelah kita teliti, penjelasan melalui ayat-ayat tersebut hanya setakat menerangkan tentang sifat-sifat Allah sahaja.

Ternyata Allah tak dapat untuk dijelaskan dengan kata-kata karena kata-kata adalah terbatas pada menjelaskan sesuatu kewujudan yang berada pada ruang dan waktu, boleh ‘dipegang’ dan nampak dipandang mata. Sedangkan Allah melampaui ruang dan waktu.

Ini sama seperti menjelaskan bagaimana rasanya jatuh cinta atau fall in love. Tidak ada kata-kata yang dapat menggambarkan “rasa” ketika kita sedang berada dalam keadaan tersebut tetapi “rasa” tersebut boleh kita rasakan.

Sama halnya dengan Allah. Tidak ada kata-kata yang dapat menggambarkan Allah tetapi Allah itu boleh kita rasakan di dalam hati kita... dengan rasa.

Hati kita adalah jambatan menuju Allah.
Melalui hati, kita mendekatkan diri kepada Allah.
Melalui hati kita menuju cahaya agung Ilahiah.

Sebagaimana yang disebutkan dengan penuh cinta dan kasih sayang di dalam hadis Qudsi:

“Aku adalah khazanah yang terpendam. Aku rindu ingin dikenali. Untuk itu Aku menciptakan makhluk”.

Mari kita menggapai khazanah Allah melalui hati yang suci. Hati yang diredhai Allah.

Kisah-kisah di bawah ini dapat menggambarkan keadaan di atas, di mana kita ingin belajar mencintai Allah dengan sepenuh hati yang ikhlas dan tulus, tetapi tak tau nak mula macamana, dari mana. Ada juga yang ingin dekat kepada Allah tetapi tak pernah sekalipun menghayun langkah kaki untuk memulakan perjalanan menuju Allah.

Moga kita dapat ambil hikmah daripada kisah-kisah di bawah… inshaaAllah


Awal Dari Sebuah Perjalanan

Seseorang bertanya kepada Yusuf bin al-Husain, “Apakah yang harus aku lakukan agar aku boleh dekat kepada Allah?”

Jawab Husain, “Ceritakan rahasiamu kepada Allah, dan jangan sampai ada orang lain di dunia ini yang mengetahuinya. Melalui hal itu, sebuah tali keimanan akan terbina antara kamu dengan Allah.

Orang itu melanjutkan pertanyaannya, “Hanya itukah yang akan membantuku dekat kepada Allah?”

Tambah Husain, “Dirikan hubungan yang teguh di awal perjalanan mu. Beribadahlah. Memiliki niat dan harapan yang kuat juga penting. Dan jika memungkinkan, nikmati kesunyian. Itu akan lebih baik.”

Tambah orang itu, “Tetapi bagaimana aku hendak mencapai tahap di mana aku boleh berkata-kata dengan Allah?”

Jawab Husain, “Aku telah menjelaskan apa yang engkau perlu tahu, tetapi engkau ingin mencapai sebuah akhir sebelum engkau memulakannya, dan itu adalah tak mungkin”


Mencintai Allah

Seorang pengembara tiba pada sebuah kampung di mana Abu Yazid al-Bisthami tinggal. Pengembara bertemu kepada al-Bisthami kemudian bertanya.

“Ajarkan aku cara yang paling cepat menuju Allah”

Bisthami menjawab, “Cintai Allah dengan seluruh kekuatanmu.”

“Itu sudah kulakukan”, Kata pengembara.

“Lalu kau perlu dicintai oleh orang lain.” Jawab Bisthami.

“Tetapi mengapa?” tanyanya kembali.

“Karena Allah melihat hati setiap manusia. Ketika Allah mengetahui dan melihat cinta yang kau miliki untuk-Nya, Dia akan bahagia. Bagaimanapun, jika Dia juga menemukan namamu tertulis dengan penuh cinta di hati orang lain, Dia pasti akan jauh lebih memperhatikanmu.”


Mengharap Jalan Pintas

“Mengapa kau habiskan banyak waktu mu demi mencari Allah kalau kau dah mengenal-Nya dengan baik?”, tanya para murid Hasan al-Basri. “

Tentu engkau boleh menjelaskan kepada kami seperti apakah Allah itu” Tambah mereka.

Jawab Hasan al-Basri, “Benar, tetapi ini berlaku karena satu hari ketika aku sedang berdiri di depan sebuah sungai, aku nampak seorang lelaki yang bersiap sedia untuk menyeberanginya.  Lalu aku pun berkata kepadanya, hati-hati di sana, kamu boleh tergelincir di batu itu dan jatuh lalu basah kuyup”

Lelaki itu menjawab, “Jika itu berlaku, hanya aku yang akan kotor.”

Jadi Hasan, jika kau tergelincir dan jatuh di jalan yang sedang engkau lalui ini, maka seluruh muridmu akan ikut tergelincir dan jatuh bersamamu

Lalu pada saat itu aku mengerti bahawa mencari Allah adalah suatu pencarian peribadi atas diri masing-masing manusia. Setiap orang akan bertanggungjawab atas pencariannya. Seorang guru boleh berbahagi pengalamannya, tetapi tidak dapat berkongsi hasilnya.

------------------------

Yusuf bin al-Husain meninggal tahun 304 H/916 M.
Abu Yazid Thaifur bin ‘Isa bin Surusyan al-Bisthami lahir di Bustham yang terletak di Timur Laut Parsi. Meninggal sekitar tahun 261 H/874 M – 264 H/877 M.
Hasan bin Abil Hasan al-Basri lahir di kota Madinah pada tahun 21 H/642 M. Ia adalah anak dari seorang hamba yang ditangkap di Maisan, kemudian menjadi pekerja dengan pembantu Nabi Muhammad SAW, Zaid bin Tsabit. Karena dibesarkan di Basrah dia dapat bertemu dengan ramai sahabat Nabi. Hasan meninggal di kota Basrah pada tahun 110 H/728 M.

Mereka semua adalah guru sufi yang memperkaya khazanah “para pencari Tuhan”.
Informasi biografi diambil dari buku “Warisan Para Auliya” karya Farid al-Din Attar.