ORANG LALAI (DARI PEGANGAN TAUHID), TATKALA DATANG WAKTU PAGI AKAN MEMIKIRKAN APA YANG HARUS DIKERJAKANNYA HARI INI. ORANG YANG BERAKAL (BERTAUHID) MENERIMA PEKERJAAN YANG DITAKDIRKAN ALLAH SWT UNTUKNYA HARI INI.
Manusia berada dalam salah satu dari dua keadaan.
Jika kuat satu keadaan lemahlah keadaan yang satu lagi.
Dua keadaan itu adalah pertama perhatian kepada dirinya sendiri; dan kedua adalah perhatian kepada Tuhannya.
Jika kita asyik kepada diri sendiri, maka lalailah kita kepada Tuhan. Jika kita asyik kepada Tuhan maka lalailah kita kepada diri sendiri.
Orang yang lemah pegangan Tauhid akan asyik kepada diri dan menjadi lalai daripada mengingati Tuhan, mengingat Allah.
Kita mungkin kuat mengerjakan amal ibadat dan berbuat kebaikan kepada sesama makhluk tetapi KEASYIKAN KEPADA DIRI SENDIRI membuatkan kita melihat amal dan perbuatan sebagai hasil yang keluar DARI diri kita sendiri; KERANA diri kita amal itu kita lakukan; dan KEMBALI kepada diri atau dengan kata lain, amal itu "dari AKU kerana AKU untuk AKU" - untuk dapat ganjaran dari Allah berupa pahala, dan seterusnya mendapat syurga yang dijamin.
Jika kita melihat Tuhan sekalipun, maka Tuhan dilihat telah memberi kita kebebasan untuk melakukan apa yang kita kehendaki. Dirasakan seolah-olah Tuhan tidak mengganggu (terlibat, berperanan) menentukan hasil usaha pekerjaan yang kita lakukan.
Kita berpegang kepada kenyataan bahawa, "Tuhan tidak mengubah nasib sesuatu kaum sebelum kaum itu mengubah nasibnya..." Oleh itu, nasib diri kita terletak dalam tangan kita sendiri.
Dan, Tuhan memberi nasib menurut usaha yang kita 'sumbangkan'.
Bagi menjamin dia mendapat nasib yang baik maka dia membuat perancangan yang rapi dan mengambil tindakan yang berkesan. Dia memulakan harinya dengan menyusun jadual yang wajib ditaatinya untuk hari itu. Untung malang nasibnya bergantung kepada kemampuannya untuk merialisasikan apa yang dirancangkannya.
Manusia yang berpegang kepada prinsip demikian adalah BENAR MENURUT ASPEK DIRINYA tetapi adalah orang yang LALAI MENURUT ASPEK KETUHANAN YANG MENGUASAI DIRINYA.
Pengagungan kekuatan diri sendiri akan memperkecilkan kekuatan MAHARAJA yang memerintah sekalian alam maya ini. Prinsip yang demikian menambahkan ego diri dan menjauhkan kita dari merendahkan diri kepada Tuhan, kepada Allah, walaupun banyak ibadat dan perbuatan baik yang kita lakukan. Amal yang banyak menyebabkan kita jadi ujub, riak dan sama’ah.
Amal yang demikian tatkala dibawa ke neraca hisab di akhirat kelak ia akan berterbangan seperti debu. Ia tidak dapat menolong tuannya kerana orang itu menjadikan dirinya sebagai tapak untuk meletakkan amalnya.
Di Padang Mahsyar, dirinya sendiri tidak berdaya berdiri di hadapan Hakim Yang Maha Perkasa. Bila dia rebah, rebah jugalah amalnya.
Sekiranya kita mahu amal dapat berdiri tegak binalah ia di atas tapak Tauhid. Pandangan Tauhid melihat apa yang dari Allah SWT, berdiri dengan Allah SWT dan kembali kepada Allah SWT.
Allah SWT yang memiliki dan menguasai sekalian alam serta isi dan kejadian yang berlaku di dalamnya.
Tidak bergerak walau sebesar zarah melainkan dengan izin-Nya.
Tidak terjadi sesuatu perkara melainkan dengan Kudrat dan Iradat-Nya.
Allah SWT telah menentukan Qadak sebelum Dia menzahirkan Qadar.
Setiap yang berlaku adalah menurut ketentuan Allah.
Orang yang berpegang pada prinsip ini menyambut kedatangan pagi dengan persiapan untuk menerima ketibaan takdir Ilahi. Dia tahu bahawa apa yang Allah SWT takdirkan untuknya hari itu pasti sampai kepadanya. Tidak ada sesiapa yang boleh mengubahnya. Bergeraklah dia dengan sepenuh tenaga mendukung takdir yang diamanatkan kepadanya.
Jangan menganggap orang yang bepegang kepada prinsip tauhid sebagai orang yang pasif, hanya berpeluk tubuh. Dia tetap aktif dengan berbagai-bagai aktiviti, melebihi orang yang berpegang kepada prinsip yang pertama. Perbezaan antara keduanya adalah DAYA RASA dan DAYA NILAI.
Pekerjaan dan perbuatannya adalah serupa.
Orang yang pertama merasakan dialah yang melahirkan amal. Dia melihat dirinya yang melakukan amal.
Orang kedua melihat dirinya adalah alat, dan Allah SWT adalah Pelaku yang menggunakan alat. Dia melihat dirinya dipilih oleh Allah SWT bagi menzahirkan sesuatu perbuatan. Manusia atau makluk adalah tempat Allah SWT menzahirkan keberadaanNya, wajahNya dan kekuasaanNya.
Oleh sebab perbuatan yang ditakdirkan untuknya itu menjadi amanat Allah SWT kepadanya maka dia melakukannya sebaik mungkin menurut kadar kemampuan yang Allah SWT kurniakan kepadanya dan dia mengharapkan perbuatan yang lahir dari dirinya itu diredai Allah SWT.
Orang seperti ini tidak panik menerima kedatangan peristiwa besar secara mendadak kerana dia melihat bahawa peristiwa tersebut adalah takdir Allah SWT yang sedang berjalan dan dia berada di tengah jalan laluan takdir itu, lalu dia menerimanya dengan senang hati. Dia yakin bahawa Allah SWT yang mendatangkan takdir dalam bentuk peristiwa maka Dia juga yang melahirkan kesan dari peristiwa berkenaan.
Apabila seseorang itu berfungsi mengikut urutan takdir maka dia dapat menerima akibat daripada takdir itu walaupun akibat itu tidak menguntungkannya. Jika akibat yang baik sampai kepadanya dia yakin bahawa Allah SWT akan memeliharanya agar tidak terjadi sia-sia kebaikan yang diterimanya dan dia bersyukur.
Jika akibat buruk yang sampai kepadanya dia yakin bahawa Allah SWT akan menguatkannya dengan kesabaran dan keredaan. Hati yang benar-benar bertauhid tidak dapat diganggu gugat oleh apa-apa pun.
Wallahuaklam...