Mungkin kerana faktor usia maka kini beberapa jenis makanan sudah tidak boleh saya nikmati. Kalau dulu pantang jumpa. Kini pantang makan.
Kerana sebelum ini tiada makanan yang saya tak boleh makan, semua saya makan. Tolak batu dengan kayu sahaja. Ais batu saya minum, ubi kayu saya bedal. Maka itu kadang-kadang terlupa. Sudah dimakan baru ingat. Bila badan jadi tak selesa, perut buat hal, kepala berat baru saya ingat, "Lhaa... aku kan tak boleh makan..."
Ada orang kata, "Makan jer. Jangan banyak sangat bersyarat. Jangan tetapkan keputusan sebelum bermula..." Ataupun nak senang kata, "Jangan berprasangka buruk dahulu" Tetapi kalau kita dah memang maklum, dah tahu, selalu alami, dari pengalaman bahawa makanan sekian-sekian ini kalau dimakan jadi sakit, jadi macam-macam, tak kan kita masih nak makan, itu namanya cari penyakit. Ya tak? Umpama tak sayang badan pun ya jugak, kan.
Alhamdulillah, pengalaman hidup di perantauan, jauh dari keluarga, dan lebih 'hiba' sebab merantau di negara yang sedikit kurang maju berbanding negara sendiri... (waktu itu...) maka saya banyak belajar hidup susah. Makan apa yang ada. Makan apa adanya. Hidup serba sederhana. Di sana saya belajar makan nasi dengan hanya berlauk kan keropok sahaja; belajar menikmati ikan sungai, ikan darat terutama ikan keli, ikan sepat; belajar makan segala jenis daun ulam-ulaman; dan belajar memaksimumkan penggunaan apa jua bahan makanan yang boleh dijadikan lauk. Kalau nak cerita di sini, detail sangat pulak. Tetapi begitulah... bila hidup serba kekurangan, apa yang ada di sekeliling rumah semua boleh jadi lauk. Mereka harus rajin berbudi kepada tanah, harus mahu giat berusaha menternak sekurang-kurangnya ikan sekolam, atau ayam sereban. Kalau tidak, nak makan telur ayam pun susah, nak jumpa ikan jugak payah.
Okay lah... bukan tujuan semula saya nak berkisah tentang makan, cuma sebagai intro kepada entry tentang produk makanan tambahan dan amalan menggunakan bahan herba sebagai vitamin atau gizi tambahan bagi tubuh badan untuk kekal sihat dan cergas, supaya boleh berperanan di atas dunia ini.
Ya lah kan... kita selalu dengar bahawa penyakit bermula dari makan. Jarang kita dengar kes orang mati sebab tak makan tetapi ramai orang 'mati sebab makan', berpunca dari makanan- amalan pemakanan yang salah.
Dulu-dulu saya dan batuk macam kembar. Kalau bunyi batuk tu tanda saya ada, kalau saya ada maka berbunyi lah batuk!... Hihi... begitulah kira-kiranya.
Dan selalunya saya batuk hingga berbulan-bulan. Sikit-sikit batuk. Silap makan sikit, batuk. Namun alhamdulillah. Disebut ikhtiar... tapi pun dengan izin dan kehendak Allah jua yang menggerakkan, sebagai asbab dan musabab Sebenarnya saya tak ingat bagaimana saya mengetahui tentang cuka kurma. Namun sejak mengamalkan minum cuka kurma dan madu, sudah hampir 2 tahun lebih... dengan izin Allah, saya bebas daripada "sikit-sikit batuk, silap sikit, batuk!" Bukan sahaja batuk, malahan selsama juga. Ujian kolesterol jahat (bad cholesterol - LDL) dalam darah saya juga menurun. Syukur sangat-sangat. Terima kasih ya Allah.
Cuka kurma adalah makanan sunnah yang mengikut pesan Rasulullah SAW bahawa sebaik-baik hidangan makanan ialah Khal (cuka). Ya Allah berkatilah pada Khal, sesungguhnya Khal adalah makanan nabi-nabi terdahulu sebelum aku dan jangan terputus Khal dalam suatu rumah.” (Hadis riwayat Muslim 2052, Ibnu Majah 3318)
Sementara madu sudah jelas disebut dalam al-Quran sebagai penawar untuk segala jenis penyakit. Hanya saja di sini, untuk mendapatkan madu asli, pure honey agak susah. Risiko juga kepada saya yang punya jalur keturunan pengidap diabetis. Kalau sehari dua sudu madu tiruan... (sekali pagi sekali malam) bermakna dua sudu pekat gula yang masuk ke badan. Maka kalau ada yang tau di mana terdapat madu asli, benar-benar asli, tak ada campuran gula (lebah diberi makan gula... itu saya rasa memang ada..) pass lah info kepada saya. Ya.
Kini, saya tambah, dalam campuran madu dan cuka kurma, dengan sesudu minyak zaiton pula. Minyak zaiton juga makanan sunnah yang baik untuk kulit, pencernaan dan rambut. InshaaAllah... kita bertawakkal kepada segala perancangan Allah, dengan redha dan yakin yang dituruti dengan ikhtiar serta usaha atas izin-Nya, bahawa Allah Maha Pengasih Maha Penyayang. Yakin dan keyakinan itu harus dipegang kuat. Bahawa segalanya sudah diatur, dengan sangat cantik. Supaya kita ini dapat senantiasa berlapang dada.
Bila sebut "berlapang dada" saya nak cerita pula kebaikan mengamalkan minum Jus Lega atau apa jua jenama yang ada, antaranya jus Herba Madu. Kedua-dua ini adalah minuman atau pemakanan tambahan yang sama kandungannya dan dikatakan baik untuk melegakan dada pesakit jantung, kolesterol dan diabetic. Terdiri daripada gabungan cuka epal, madu, halia, lemon dan bawang putih. Kalau rajin buat lah sendiri. Lagi baik dan terjamin keasliannya. Tapi kalau tak rajin... (bukan malas ya...) cuma tak berapa nak rajin, sebab kesibukan bekerja... macam saya, maka belilah yang dah siap. Sedia untuk diminum. InshaaAllah... banyak testimoni orang-orang yang mengamalkannya, alhamdulillah. Ada kesan dan perubahan. Kalau berminat, cari di fb, "Jus Lega" atau "Herba Madu" dan kalau terlebih rajin, nak adun sendiri rujuk sini.
Dan saya juga nak perkenalkan kepada makanan tambahan berasaskan susu kuda. Ikut makluman kawan-kawan saya yang punya kedai farmasi, produk berasaskan susu kuda dah lama ada di pasaran, tetapi lebih kepada meningkatkan tenaga seksual lelaki. Namun kini dengan kemajuan sains dan teknologi farmakologi, maka khasiat susu kuda ini ditemui sebagai pemakanan tambahan yang baik untuk pelbagai penyakit antaranya adalah denggi. Ia dapat membantu mempercepat platlet darah pesakit denggi. Produk Niemans Feramilch Capsule. Boleh tengok di fb produk ini untuk dapatkan maklumat lanjut.
Namun kalau hendak yang lebih baik dan terjamin, tiada bahan-bahan kimia atau pengawet, amalkan mengambil bahan-bahan herba dari tumbuhan segar.
Kawan saya amalkan minum air pandan, yang direbus beberapa jam dengan akar-akarnya sekali, dan titiskan madu sebagai pemanis. Katanya, dengan amalan meminum secawan setiap hari, badan terasa ringan. Dan tentu badan berbau wangi, ya tak.
Baru-baru ini melalui fb saya dapat petua menurunkan kolesterol dengan mengamalkan meminum air rebusan serai. Dicampur sedikit madu, dan titisan lemon. Pada saya, ini ubat sedap. Diminum sebagai 'ubat' tetapi rasanya sedap. Begitu juga meminum lemon yang dicampakkan beberapa biji asam boi. Juga 'ubat tekak' yang sedap, selain memberi kesegaran.
Sementara daun betik yang diblend dan ditapis untuk airnya, terbukti kalau diminum dan diamalkan boleh juga membantu meningkatkan platlet darah pesakit demam denggi. Namun sebagai peminat makan ulam pucuk betik, saya sudah terbayang dan terasa-rasa akan kepahitannya. Subhanallah... memang pahit giler. Mungkin kurang sesuai untuk diberi kepada kanak-kanak. Mau muntah hijau budak dibuatnya.
So untuk kanak-kanak, satu petua yang saya dapat daripada sebuah drama Korea. Tajuk tak ingat dah...sekitar tahun 2005 kalau tak silap, mengisahkan si hero demam dan badannya keluar bintik-bintik. Lalu si ibu memasakkan anaknya sup ketam. Disuapkan kepada anak bujangnya sup atau kuah ketam panas-panas setiap hari hingga bintik-bintik hilang. Lalu saya pun mencari maklumat tambahan di google.
Memang benar. Amalan orang Korea, meminum sup ketam yang ditambah dengan sejenis daun.. saya tak pasti daun apa sebagai makanan tambahan ketika diserang demam dan badan keluar bintik-bintik merah. Atau sekarang ni lebih mudah dan ringkas, banyak yang mengamalkan meminum air 100Plus... pun ubat sedap. Untuk kanak-kanak memang sangat sesuai, tetapi tidak untuk pengidap diabetic, kerana kandungan gulanya agak tinggi.
Ternyata memang banyak cara lain yang boleh diikhtiarkan, selain bergantung kepada ubat-ubat doktor dan hospital. Hanya saja keyakinan kita di mana? Kalau kita sangat yakin dengan hikmah ayat-ayat Allah, cukup dengan "Bismillahi Rahmaani Rahiim" atau dengan "Bismillah" sahaja, sudah boleh menjadi penawar kepada pelbagai penyakit... inshaaAllah.
Pengalaman ibu kepada ustaz ngaji anak-anak saya yang telah hampir 20 tahun mengidap barah tulang. Kini beliau semakin sihat. Ibu ustaz berhenti mengambil ubat-ubat hospital yang banyak menimbulkan kesan sampingan, dan kini beralih kepada amalan-amalan ruhani antaranya istiqomah dalam tahajjud.
Untuk mengubat penyakit zahir, maka ubati dulu hati dan jiwa. Kerana sebenarnya jiwa dan 'hati nurani' kita ini lebih kuat berbanding 'jasad keras' zahir iaitu tubuh badan. Jiwa dan nurani yang kuat boleh mengatasi unsur-unsur negatif dan melawan fikiran-fikiran tidak baik yang ada dalam diri kita. Ini kerana penyakit itu juga sebahagian daripada makhluk. Ia boleh 'dihalau' keluar dari berdiam dalam badan, dengan kekuatan jiwa (psikologi melawan penyakit), sentiasa berbaik sangka dengan Allah, serta keyakinan, dan tentunya kekuatan itu adalah daripada Allah jua... yang boleh dibina melalui amalan-amalan batin, antaranya dengan banyak berzikir dan mengingati Allah.
Sama seperti amalan syariat, tidak sah tanpa terlebih dahulu memegang 'hakikat tentang Allah', keyakinan kepada Allah. Syariat- ibadah zahir... solat, puasa, haji dan ibadah lain tidak sah, tidak sempurna tanpa terlebih dahulu mengenal Allah, mencapai khusyuk dan mengenal akan kita pada setiap roh ibadah itu terlebih dahulu. Apa yang penting adalah keyakinan kita bahawa segala-galanya Allah. Semata-mata Allah yang mentadbir setiap perkara dan kejadian... tiada lain selain Allah, baik di dalam maupun di luar. Maka setiap perkara yang berlaku adalah baik- sebagai bekal tawakkal kepada-Nya. Lalu bila kita berusaha berubat, apa pun jua hasilnya dapat diterima dengan ikhlas dan redha.
Tiada daya upaya kita selain dengan izin dan kehendak Allah jua.
... kita hanya berikhtiar...
No comments:
Post a Comment