kudengari satu persatu.. menusuk timpa jauh menyusuri.. hanyut.. di dasar hati.. terhampar di situ.. mata mulai berkaca meruntun airmata.. jiwa mulai basah.. jasad mulai dingin.. karam.. di situ kutemui lagi.. diriMu.

Wednesday, August 13, 2014

Cintaku...

Dari Anta...
[catatan dari Penulisnya mahu tidak dikenali]

Hakikat hubungan Manusia dengan Allah
Jika kita perhatikan hubungan hakikat Manusia dan hakikat ALLAH, ia suatu hubungan yang sangat erat dan amat mesra, seolah-olah dua nama bagi menunjukkan satu wujud

Hubungan yang amat erat itu, umpama hubungan yang terjalin antara Ruh dan Jasad, sangat erat dan tidak dapat dipisahkan. Kerana eratnya hubungan itu, kewujudan ALLAH tidak akan diketahui tanpa wujudnya manusia, dan manusia tidak akan ada jikalau tidak wujud ALLAH. Manusia adalah maujud (yang menunjukkan) kepada yang wujud.

Dengan itu kewujudan manusia adalah bagi menunjukkan kewujudan ALLAH, dan ALLAH menjadikan manusia untuk menunjukkan Keadaan-Nya dan dan Kekuasaan-Nya.

Persoalannya, mengapa ALLAH yang menjadi Tuhan, dan Nur Muhammad (Ruh) menjadi hamba? Ini kerana ia telah termaktub di dalam perjanjian yang telah dibuat antara ALLAH dan Nur Muhammad, yang mewakili sekelian Ruh.

Perjanjian itu yang dibuat di Alam Ruh, ia adalah bersifat kekal dan tidak boleh ditukar-tukar lagi. Semasa di Alam Ruh, Ruh telah berjanji dengan ALLAH, atau perjanjian antara Nur ALLAH dan Nur Muhammad, atau perjanjian antara Zat dengan Sifat. 

Dalam perjanjian itu Nur Muhammad telah memperakui Zat sebagai Tuhan dan Nur Muhammad sendiri sebagai hamba. Perjanjian itu dalam Quran Surah Al A’raf 7:172: “Bukankah Aku ini Tuhanmu? …Ya, kami menjadi saksi...”

Apabila Nur Muhammad memperakui Zat adalah Tuhannya, maka secara semula jadi Ruh perlu mengingati (berzikir) kepada ALLAH.

Itulah sebabnya Ruh diberi jasad supaya dapat menzahirkan diri Rahsia Zat, diri yang sebenar-benar diri, iaitu diri batin kepada Manusia. 

Pentingnya perjanjian itu adalah, tanpa perjanjian itu Ruh tidak akan mempunyai jasad dan Zat Allah tidak akan wujud dalam ingatan (zikir).

Oleh itu Ruh perlu mengingat Zat, yang Zahir memuji yang ghaib (Batin). Jikalau manusia tidak berzikir atau mengingati ALLAH, maka kewujudan ALLAH tidak akan nyata, Zat akan ‘hilang’ dalam keghaiban dengan begitu sahaja.

ALLAH berfirman Quran Surah Al Baqarah 2:152: “Ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku ingat kepada mu… berterima kasihlah kepada-Ku dan jangan kamu mengkufuri nikmat-Ku...”

Ya..., tujuan Allah memberikan jasad kepada Ruh adalah untuk mengingatkan manusia tentang Zat-Nya, iaitu Tuhan semesta alam. Dan untuk mengingatkan bahawa setiap yang wujud di dunia ini adalah berasal daripada Zat Allah.

Tanpa adanya Diri Rahsia ALLAH... (…maka Ku tiupkan Ruh-Ku) pada manusia, adalah mustahil manusia wujud seperti yang ada sekarang ini.

Kesimpulannya kita beribadah dan berzikir... (mengingati ALLAH) adalah untuk mengingatkan diri kita sendiri... (Manusia) bahawa Ruh kita ini sebenarnya berasal dari Zat ALLAH, dan dengan itu perlu mengingati Zat ALLAH, iaitu Diri yang sebenar-benar Diri.

Menarik pembacaan dari buku Ana Al-Haq, dikatakan Zat itu ternyata dengan dua kesempurnaan-Nya, iaitu Zat ternampak pada anda (Manusia...) dengan Keindahan-Nya dan Keagungan-Nya. Jika Ia tidak menampakkan diri-Nya pada anda iaitu Manusia..., di mana lagi Ia akan menampakkan diri-Nya? 

Maulana berkata: 

                         “Jika berkehendakkan bayangan-Nya, lihatlah muka manusia.
                           Lihat di situ Zat Allah, dengan terang dalam senyumannya”


Kisah Sufi Abu bin 'Azhim












Hubungan manusia dengan Allah sangat erat... ibarat Ruh dan Jasad.
Seolah-olah dua nama bagi menunjukkan satu wujud..., sangat erat dan tidak dapat dipisahkan. Kerana eratnya hubungan itu, kewujudan ALLAH tidak akan diketahui tanpa wujudnya Manusia, dan Manusia tidak akan ada jikalau tidak wujud ALLAH. Manusia adalah maujud... (yang menunjukkan) kepada yang wujud, iaitu ALLAH... sebagai penampakan Dia

Dalam 'kembarahakikat' ku menuju cinta ALLAH, jika namaku belum 'didaftarkan' sebagai pencinta ALLAH maka aku harus berusaha mencintai manusia... (yang maujud...) dan mencintai makhluk-makhluk ciptaan-Nya jua.

Dari kisah Sufi di atas, malaikat berkata, “....bahawa engkau tidak akan pernah bisa mencintai Tuhan sebelum kamu mencintai sesama manusia...”  

Maka aku ingin mencintai Manusia yang sangat mencintai ALLAH itu... (...yang berupa penampakkan ALLAH jua)... mencintainya dengan seikhlas hatiku... agar suatu hari nanti namaku bisa didaftar sebagai pencinta ALLAH jua... 

 

Tuesday, August 12, 2014

Nafi dan Isbat

Nafi dan isbat hendaklah disandingkan
dalam setiap nafasmu
dalam setiap langkahmu

Nafi dan Isbat
adalah kalimah yang paling utama
adalah kalimah pembuka
rahsia sang hamba dengan Tuhan-Nya

Nafi dan isbat
menafikan wujud yang lain
hanya isbat pada wujud Allah yang hakiki
wujud yang lain hanyalah bayang yang menunjukkan wujud-Nya
maka wajib bagi dirimu
memandang wujudmu adalah menunjukkan kepada wujud-Nya
jika kamu memandang wujudmu
tanpa kamu nafikan tiada akan wujudmu
dan tiada mengisbatkan wujud Allah yang mewujudkanmu
maka kufurlah iktikadmu, hancurlah amal Islammu

Nafi dan Isbat
menafikan akan segala sifat ketuhanan yang ada padamu
melihat, mendengar, berkalam, berilmu, berkudrat, beriradah dan hayat
hanya diisbatkan segala sifat itu hak Allah jua
maka padamu segala sifat kehambaan dan kekurangan
buta, tuli, bisu, jahil, lemah, tiada kehendak dan mati
maka jika kamu iktikaqkan segala sifat tersebut
tanpa kamu nafikan milikmu, dan tiada kamu isbatkan adalah hak Allah
maka kufurlah kamu, maka binasalah segala amalmu

Nafi dan Isbat
menafikan akan segala Asma’ yang ada
hanya Allah pemilik segala Asma’ yang indah dan hebat
tiada yang memberi rezeki, tiada yang menyembuhkan, tiada yang hebat,
tiada yang mudharatkan, tiada yang memiliki kemuliaan dan pelbagai namanya
melainkan hanya diisbatkan pada Allah sahaja yang memilkinya
jika engkau tiada mengiktikadkan di sebalik kehidupan mu
bahawa nama nama Allah yang mengaturmu untuk mengujimu
dalam pelbagai bentuk dan wajah
maka zindiklah kamu dan tiada manfaat akan segala ibadahmu

Nafi dan Isbat
menafikan segala apa jua perbuatan yang ada
walaupun satu zarah debu yang berterbangan
dalam segala gerak dan diam
melainkan diisbatkan hanya Allah yang memilkinya
jika engkau tiada nafikan segala perbuatan itu
adalah milik kekuasaan dirimu dan makhluk
maka binasalah tauhidmu dan batal segala agamamu

Maka dalamilah akan pelajaran Nafi dan Isbat
dengan para murabbi tareqah sufiah yang haq
sebagai pintu utama kebenaranmu dengan Tuhan
sebagai pintu utama kebenaranmu dengan Rasul
tanpa pintu kebenaran ini
maka amalmu penuh kerosakkan
kelakuan Islammu penuh kemunafikan…
engkau hanya Islam di sisi manusia…
tapi Islammu belum benar di sisi Allah…


dari sini
Jazakallahu khairan kathira

DariNya... tentu baik!

Rasa dan kenal Allah [menggunakan bahasa mudah... bahasa biasa]
 

Satu soalan... dapatkah Allah dikenal dengan nyata dan terang?
Jikalau boleh bagaimanakah caranya? 


Ya, inilah yang perlu jelas bagi para pencari Tuhannya. Al-Quran telah memberikan panduan kepada kita tentang Tuhan Semesta Alam, bahawa Allah tidak dapat dijangkau akal fikiran, tidak dapat dibayangkan dan tiada suatupun yang menyerupainya, di samping itu Allah juga Maha Meliputi. 


Dan di sinilah banyak salik... (orang yang sedang menjalani latihan ruhani...) yang keliru?
Mereka beranggapan Allah itu tidak dapat dilihat? 


Ini adalah persoalan yang rumit, kalau kita hanya memakai akal fikiran, sedangkan Al-Quran sendiri telah menyatakan, Allah itu tidak dapat dijangkau dengan akal fikiran, bagi aku kalau mahu mengenal Nya, janganlah pakai akal fikiran, kerana ia tidak akan menyampaikan kita kepadaNya. 


Baik kita kembali kepada persoalan asal, dapatkah Dia dilihat dengan nyata dan terang?


Bagi aku, sudah pasti boleh! 

Ini kerana sufi terkenal Hassan al Banna pun telah menyatakan, “Aku tidak menyembah Tuhan yang tidak aku kenal”. 

Ini bermakna beliau kenal kepada Tuhannya, kalau kenal pasti beliau melihatnya, kerana kenal dengan melihat itu pasti seiringan. 

Perlu aku nyatakan, memang benar Allah tidak dapat dilihat dengan mata zahir, tetapi melihat Allah adalah dengan mata hati, bukankah kita ini “dua dalam satu”, (zahir dan batin), yang zahir tidak dapat melihat, tapi yang batin dapat melihatNya.... ada juga yang mengatakan 1 ke 1000... 1000 ke 1.. yang satu itu adalah Dia... Allah!


Jadi apabila ada orang menyatakan, "Dia tidak dapat dilihat." Ini bermakna mereka hanya kenal diri yang zahir sahaja, tetapi tidak mengenal diri mereka yang batin, alangkah rugi.


Allah dapat dikenal dengan mata hati, dan dengan mempelajari sifat-sifatNya. Hanya dengan jalan inilah kita dapat mengenal dan melihat Allah dengan nyata dan terang, iaitu dengan pandangan mata hati. 


Kalau ada orang kata ada jalan lain yang dapat mengenalkan Dia dengan sebenar-benar perkenalan, itu aku tak berani nak sokong, dan mereka sendiri aku pasti, mereka juga belum melihatNya dengan nyata dan terang. 


MelihatNya dengan nyata dan terang adalah dengan merasakan kehadiranNYa, tanpa syak wasangka lagi. 


Inilah yang dikatakan ilmu rasa,
Hanya yang merasa yang mengenal.
Dan melihatNya dengan nyata dan terang.


Bila sudah mengenal dan merasa akan Dia... semua yang dipandang indah, baik, dan menyenangkan hati... kerana yang kita pandang itu adalah penampakkan Dia. Kadang orang ini masih boleh senyum bila tengok suatu keadaan yang menyakitkan hati kita. Kenapa macam tu? Sebab dalam hati orang itu sudah tak ada lain... semata-mata yang dilihat Dia... Allah! Yang maha sempurna, maha cantik, maha pengasih dan maha penyayang... tanpa amarah! Kita tengok seoalah-olah dia tak ada perasaan sebab cool semacam. Sebenarnya dia sangat redha dan berserah secara total kepada pemilik manusia. Kerana dia kenal Allah... dia tau kuasa Allah dalam menentukan kehidupan seseorang... tanpa daya manusia mengubahnya... dia teguh berhakikat bahawa, semua yang berlaku adalah dari Dia semata. Tentu baik!

Layang-layang...

Layang-layang,
Gahnya bersandar pada angin,
Tanpa angin,
Hakikatnya ia bukan layang-layang,
Hanya sekeping kertas berupa.

Layang-layang ditarik naik,
Tinggi ke awan,
Bisa mengukir senyum di wajah,
Pada pencintanya.

Keteguhannya bergantung pada tali,
Kuat simpulan,
Ditarik-tarik dilepas lagi,
Berulang-ulang kali,
Tetap dalam pegangan kejap,
Pada jari yang menggenggam,
Tidak untuk dilepaskan sama sekali.

Layang-layang naik kian tinggi.

Angin, lelayang, dan tali,
Jisim yang saling melengkapi.

Layang-layang,
Tiupan angin sentiasa didambanya,
Ibarat udara dalam nafas,
Umpama diri di dalam jasad.

Layang-layang,
Tanpa tali,
Melayang hilang haluan,
Atau akhirnya jatuh menyembah bumi,
Rosak tidak berupa.

Antara tali, lelayang, dan angin,
Sesungguhnya saling memerlukan.

Tali harus kukuh,
Memegang kuat layang-layang,
Untuk bisa terbang tinggi,
Hanya dengan wujudnya angin.

Layang-layang,
Tika wujud sebagai diri,
Ibarat pengembara di angkasa luas,
Mengharap angin umpama redha-Nya,
Memegang kuat pada tali,
Sekukuh iman dan taqwa,
Untuk sampai ke matlamat layangan,
Waktu mendongak ke langit,
Mencipta keindahan pandangan,
Melihat dengan mata hati,
Tatkala menemukan-Nya,
Dalam segenap ruang angkasa.