kudengari satu persatu.. menusuk timpa jauh menyusuri.. hanyut.. di dasar hati.. terhampar di situ.. mata mulai berkaca meruntun airmata.. jiwa mulai basah.. jasad mulai dingin.. karam.. di situ kutemui lagi.. diriMu.

Saturday, August 8, 2015

Hakikat penyerahan...

Subhanallah....
Maha suci Allah... suci dari segala sesuatu yang tidak baik.

Terima kasih Allah... pagi ini bangun dengan lebih ceria. Bukan apa sebab hari ini boleh releks dan beraktiviti dengan agak santai. Tidak seperti biasa. Yang serba serbi harus cepat dan segera.

Apa yang paling saya suka sebab hari ini dan seperti hari-hari tak bekerja yang lain, saya boleh mengadap pokok-pokok, berada di bawah pancaran matahari pagi yang menyehatkan. Rasa tenang dan damai.

Kini saya punya hobi baru, menanam pokok bunga ros jepun. Suatu ketika dulu, zaman saya remaja, emak pernah menanam pokok bunga ini. Namun yang saya ingat rupa dan warnanya agak terhad. Hanya dua tiga spesies sahaja, tidak seperti sekarang. Terdapat hampir berpuluh jenis dengan kombinasi warna yang sangat cantik. Subhanallah.


Dulu tak ada rose jepun dengan warna seperti ini.

Dan dulu-dulu juga tak ada rose jepun yang kelopaknya seperti ini.
Ini hobi lama yang masih berterusan. Menanam sayur yang biasa digunakan dalam masakkan. Tapi ini benih cili kulai (atau dikenal juga dengan nama cili panjang...) yang baru juga ada dalam pasaran. Memang seronok bila tengok pokok-pokok menjadi. 

Sebenarnya saya punya cita-cita, satu hari nanti punya kebun sendiri. Bukanlah kebun buah-buahan yang setaraf dusun, atau kebun sayur yang setaraf Cameron Hihglands, tapi cukuplah sebatas dua pokok-pokok sayur yang ditanam sendiri serta sepasu dua pokok-pokok bunga sebagai memenuhi masa. Tapi dengan cara yang betul... bukan asal-asalan. Asal ada! 

Kalau ikut-ikutkan hati pulak, ingin sekali punya ladang nursery pokok dan landskap. Tentu best kan. Bergelumang dengan tanah, air dan pokok-pokok. Berkreativiti dengan alam semulajadi. Dan tentunya minat seperti ini akan lebih bermakna jika orang sebelah juga punya kecenderungan yang sama... kan!  Tapi apa pun jua, semua tu bukanlah halangan untuk merealisasikan cita-cita dan harapan... ya tak..?

Kepada sesiapa yang pernah menatap majalah Laman, atau pernah ke pusat nursery pokok dan lanskap yang terkenal di Sungai Buluh tentu faham... keseronokan dan kepuasan yang boleh dirasai bila melihat pokok-pokok tumbuh subur, daun yang menghijau segar, bunga-bunya yang mekar pelbagai warna... mashaAllah. Cuba kita fikir-fikirkan betapa hebat kuasa Allah SWT.

Dengan tanah yang sama, baja yang sama, air yang sama, tangan yang menyemai membaja juga sama boleh tumbuh pokok yang berlainan rupa, bentuk, kuntuman bunga yang pelbagai warna, serta buah yang berjenis-jenis dengan rasa yang berbeza-beza. Ini saja sudah cukup membuatkan kita manusia mengakui kebesaran dan kekuasaan Allah. 

Dan saya solute pada mereka yang mahu terjun sepenuh masa bekerja bercucuk tanam, berladang, bersawah sebagai sumber nafkah seharian. Bayangkan.... tentu dengan cekal dan tawakkal yang bulat, mereka menyerahkan segala-galanya kepada ketentuan Allah. Petani, pekebun, pesawah ini menyemai benih pokok. Sedangkan mereka langsung tidak punya jaminan bahawa benih yang disemai itu pasti hidup, pasti membesar dengan subur, pasti berbuah. Segala-galanya diserahkan ke 'tangan' Allah yang memegang ayat ajaib "kun fayaakun", maka jadi, jadilah! 

Sungguh mantop sifat berserah dan tawakkal mereka kepada Allah. Tawakkal mereka sebelum memulakan kerja bercucuk tanam, dan bukan sebaliknya selepas pokok membesar subur berbuah, atau tika sebaliknya yang berlaku, maka menganggap Allah tidak mengizinkan. 

Tawakkal beginilah yang membuatkan mereka tidak pernah berputus asa, sentiasa subur harapan terhadap rahmat dan kasih sayang Allah.

Ya Allah, ya Rahmaan ya Rahiim...






Friday, August 7, 2015

Harus bagaimana...?

Alhamdulillah...
Sudah hari Jumaat lagi. Syukur kerana masih diberi usia dan kesihatan.

Hari ini saya memulakan perjalanan ke tempat kerja sepagi yang boleh. Sebab ikut maklumat yang saya dapat, Bandaraya KL akan mengadakan KL City GrandPrix. Jadinya beberapa jalan utama yang berada di Lembah Segi Tiga Emas Kuala Lumpur akan ditutup untuk laluan kereta-kereta berlumba. Secara persis memang laluan saya tak terlibat sama sekali. Hanya saja sedikit kebimbangan jika mereka-mereka yang terlibat langsung laluannya ini akan keluar lebih awal sebelum 7.30 pagi.

Namun alhamdulillah... puji syukur Allah, Perjalanan saya sama seperti hari-hari yang lain. Tiada perbezaan. Kereta tidak terlalu banyak dan tidak juga berkurang. Dan saya dapat sampai ke pejabat mengikut tempoh masa yang sama seperti mana biasa.

Sepanjang perjalanan saya memikir-mikir... (memang itu 'hobi' saya kini... memikir!) Apa faedahnya diadakan event seperti ini, sebab nak tarik pelancong? Ada banyak cara lain boleh diusahakan dan boleh dilakukan oleh DBKL kalau tujuannya nak tarik pelancong. Atau nak ikut negara jiran, buat perlumbaan kereta dalam bandar? Sebab tak mau kalah dengan negara jiran yang satu itu?... Ah, itu sebab mereka tak ada litar perlumbaan. Sedangkan kita punya Litar F1 yang cukup canggih... mengikut pandangan saya, orang yang tak berapa cerdik nih.

http://m.utusan.com.my/rencana/bermulanya-acara-sukan-tidak-berfaedah-menyusahkan-rakyat-1.121953

Lantas tak habis memikir saya dibuatnya. Dan tambah semerawut fikiran saya sebab bukan kah sekarang negara sedang dalam 'nestapa', agak 'haru-biru' kerana menanggung hutang 1MDB yang berbilion Ringgit... kenapa buat pula event seperti ini...? Memang pelik.

Tah, kepada siapa soalan ni nak saya tujukan.. saya pun tak tau!.

Kalau dari segi infra, pembangunan fizikal saya melihat negara ini sudah sangat maju. Terutama di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Penang, Johor Baharu, Melaka, Kota Kinabalu. Hanya di beberapa negeri mungkin masih memerlukan pembangunan projek-projek perumahan, ruang pejabat, sekolah, universiti dan beberapa infrasturtur asas seperti  jalan raya, pengangkutan awam, kemudahan air bersih dan bekalan elektrik. Rakyat negara ini juga sudah cukup dengan segala macam tempat hiburan dan liburan.

Pada saya yang perlu diberi perhatian kini adalah pada pembangunan ruhani, dan mentally, yang berbentuk pengisian jiwa- akhlak dan iman, kemajuan fikiran, sikap dan rasa kasih sayang. Dan tak berlebihan juga kalau saya katakan, rakyat sebenarnya dahagakan ketenangan, keselesaan kehidupan, kesejahteraan lingkungan dan juga jaminan dari segi keselamatan dan mendapat kepimpinan yang baik, bukan sahaja di peringkat tertinggi... (itu sudah pasti) tetapi juga pemimpin dari peringkat paling asas- di rumah, di pejabat, dalam masyarakat, jabatan dan agensi kerajaan serta swasta. Pokoknya, kita inginkan masyarakat yang terpimpin akhlaknya, lalu boleh memimpin terutama memimpin diri sendiri (terlebih dahulu).

Kalau dulu kita lebih banyak memikir, di mana nak sekolahkan anak, bagaimana nak cari duit lebih, di mana nak beli rumah tapi sekarang kita, rakyat lebih banyak memikirkan, bagaimana masa depan negara ini, bagaimana kehidupan anak-anak kita nantinya. Atau dengan kata lain, dengan keadaan negara yang sebegini, ada kebimbangan bagaimana rakyat generasi seterusnya hendak meneruskan kehidupan. Bukan sahaja dari segi ekonomi yang sangat tidak meyakinkan, dari segi kuasa dan kepimpinan bangsa yang berlandaskan agama juga kini sangat-sangat disangsikan.

Simpulannya, actually saya tak mahu berhujah banyak tentang kefahaman kita pada asas penciptaan manusia, dari sudut agama. Cukuplah kita renung sejenak terciptanya kita manusia ini dari sudut kemanusiaan itu sendiri. 

Dengan menilik pada zahir jasad kita sendiri sepatutnya dah cukup menginsafkan. Serba serbi lemah. Umur hidup pun paling-paling lama 60 tahun 70 tahun atas dunia. Kalau dapat lebih sampai 80 tahun 90 tahun itu kira bonus. Tapi pun selalunya di usia sebegitu boleh dibilang berapa jer yang masih siuman, tak nyanyuk pelupa. Kalau Allah tak bagi kekuatan tenaga, nak angkat tangan garu kepala pun tak daya. Maka berusahalah kenal diri, kenal siapa kita, supaya kita boleh kenal sang pencipta kita, kenal Allah. Orang yang kenal Allah... inshaaAllah akan terpelihara. Jauh dari perbuatan dan perkara-perkara yang merusakkan diri sendiri dan orang lain. Apa yang penting punya rasa ehsan, rasa diri ini hina, tak ada yang lebih berkuasa- selain Allah, jadi manusia yang bertimbang rasa, mengasihi sesama manusia, tidak tamak haloba, memikirkan kebajikan orang lain dan yang penting berkasih sayang. 

Mungkin 'bunyi'nya terlalu sempurna... tetapi itulah hakikat. 
Bila manusia kenal dirinya secara rata, lalu dia akan mengenal Allah secara nyata!



Thursday, August 6, 2015

Anak...

Assalamualaikum wbt.

Sebenarnya hari ini saya kurang bersemangat untuk mencatat di blog ini. Mungkin kerana penat melayan urusan sekolah anak-anak. Ya begitulah, kan. Orang ada anak sibuk melayan anak-anak. Orang yang tak punya anak, sibuk pula berikhtiar untuk mendapatkan anak, dapat zuriat. Sanggup belanja puluhan ribu ringgit untuk berubat dan mencuba pelbagai cara. Sebab tak mau berbeza daripada pasangan lain dan tak mau kurang dari orang lain.

Kita boleh berikhtiar dan berusaha. Hanya saja di mana kita halakan keyakinan dan meletak penyerahan? Kepada doktor yang punya gelaran "Pakar", atau kepada Allah. Ikhtiar lah apa cara pun juga, tapi jangan sekali-kali lari dari menyerahkan sepenuhnya kepada Allah. Bergantung harus semata-mata kepada Allah, bukan ubat, bukan doktor, bukan duit, bukan manusia.

Samalah seperti kita bangun pagi, celik mata terus fikir kan task atau jadual harian yang sudah kita buat untuk hari ini dari pagi hingga ke malam. Kita anggap dengan jadual yang dah diatur rapi kerja kita pasti beres. Ya kah?... Di mana Allah kita letakkan tatkala itu?

Selalu jadi bila satu-satu ikhtiar kita gagal, satu-satu usaha kita tak berjaya baru kita ingat Allah, kita kata, "Allah tak izin. Tak ada rezeki saya". Tapi bila berjaya, "Saya dapat lakukannya dengan baik." "Doktor tu hebat..." dan sebagainya.

Jadi bila berikhtiar... harus Allah di depan. Allah didahulukan. Orang kata usaha dulu baru tawakkal. Sebenarnya tawakkal lah dulu... serah dulu pada Allah untuk apa pun jua aturan dan congakkan-Nya untuk setiap hari-hari yang kita lalui. Sentiasa ingat Allah yang mengatur segala. Kita hanya mengikut sahaja. Kan kita digalakkan selalu sebut, "Laahaulawala quwataillabillah.." Apa maknanya, "Tiada daya upaya manusia malainkan dengan izin dan kehendak Allah jua" dalam semua perkara, tanpa kecuali.

InshaAllah, jika kegagalan yang kita dapat, ketidakberjayaan itu boleh kita terima dengan sangat redha dan ikhlas. Kesedihan dan keperitan jadi nikmat. Malahan kesakitan dianggap sebagai satu rahmat....

Khas buat adik-adik ku,

Anak bukanlah segala-galanya kerana ia hanya sebahagian dari perhiasan dunia... Cuba perhatikan keliling kita. Ada orang cacat, tanpa kaki dan tangan kawin, dapat anak. Ada orang sakit, buat dialysis 3 kali sehari, boleh mengandung dapat zuriat, dan pelbagai macam keadaan orang yang kita tengok tak sempurna, bila kawin boleh dapat anak. Sedangkan kita sempurna, sihat tak dapat zuriat. Kenapa?

Satu sahaja jawapannya. Sebab Allah memang tak mahu beri kita zuriat. Jangan tanya sebab kenapa. Jangan bersoal jawab dengan Allah. Jangan kata, sebab aku sihatlah maka aku sepatutnya ada anak, atau terfikir, sedangkan dia cacat boleh ada anak, takkan aku yang sihat tak boleh mengandung. Siapa kita nak berkata begitu terhadap Allah. Dijauhkan sekali-kali terdetik dalam hati kenyataan-kenyataan seperti itu.

Tentu punya hikmah yang sangat besar pada setiap yang Dia atur untuk kita. Berusahalah untuk redha dan ikhlas.

Wallahuaklambissawab...




Wednesday, August 5, 2015

Bonus extra...

Bismillahi Rahmaani Rahiim.

Segala puji teruntuk kepada Allah SWT.
Alhamdulillah... kuriaan Allah yang melimpah ruah.

Dalam perjalanan ke pejabat tadi saya sangat mengantuk. Pasti kalau duduk di sebelah driver saya akan tertidur pulas. Tapi apakan daya... sayalah driver. Jadi harus menahan mata daripada terlelap. Bahaya kan kalau sampai terlelap walau cuma sedetik.

Nak hilangkan ngantuk saya raba-raba poket handbag. Dapat gula-gila Hacks. Dalam hati berkata, apa ker jadahnya pagi-pagi buta makan Hacks. Tapi cuma itulah yang ada. Yang penting ikhtiar... maka gula Hacks itulah rezeki saya pagi ini. Hacks masih dalam mulut, ngantuk saya tak juga surut. Allahuakhbar... macamana ni? Kenderaan di jalan raya pula semakin banyak bila semakin hampir dengan Bandaraya KL. Pemanduan yang agak tersekat-sekat ni menyebabkan ngantuk saya makin menjadi-jadi.

Apa ikhtiar lain, saya on radio pula. Dah lama saya tak usik tombol radio kereta. Kebelakangan ni, sudah beberapa bulan juga lah, saya lebih gemar berfikir ketika memandu. Bukan lah bermakna di waktu lain saya tidak berfikir dan memikir tapi sendirian di dalam kereta, memandu dalam jangka masa yang agak lama, pergi dan balik pejabat, merupakan bonus extra untuk saya menyelami hakikat kehidupan...tentang manusia, makluk dan Allah.

Bila radio saya on, terdengar intro lagu Sufi.. tapi saya tak pasti siapa penyanyinya. Lagu yang cukup popular suatu ketika dulu di zaman saya sekolah menengah dan ketika saya studi. Serta merta bibir saya mengukir senyum kerana lagu ini sangat saya minati dari dulu hingga kini dan punya kisah tersendiri. Baru lah hilang ngantuk saya... alhamdulillah.

Lirik lagu "Sufi"

Sufi selangkah,
Tirai kasihmu kubuka
Engkau serahkan cinta
Hingga dirimu tiada

Kasih Sufi
Kau rela
Pilih derita di dunia
Biar rebah dihina
Kau tak berubah

Kau menguasai selautan
Yang tersembunyi digenggaman
Nafi dan Isbat kau sandingkan
Sebagai satu pegangan

Sufi kau hilang dipandangan
Ada di dalam kenikmatan
Engkau dan Dia
Pasti tidak akan terpisah

Andai tertutup tirai Sufi
Yang terang tidak nampak terang
Inilah seksa menyakitkan sepanjang zaman

Inginku tempoh titian mu
Dari kekasih ke kekasih
Pengabdian ku
Bersama Mu kasih

Biar rebah dihina
Kau tak berubah

Dulu-dulu zaman sekolah, masa belajar, saya suka dengar lagu ini tetapi kurang mengerti maksudnya, tapi kini saya lebih faham apa yang tersirat pada liriknya. Indah bahasa dan perkataan yang digunakan. Kelebihan yang diberi kepada orang-orang yang hatinya ikhlas dan tulus cintanya terhadap Allah.

"... Sufi
Kusebarkan kisah hijab mu
Hingga hilangnya wujud diri [jangan sampai terlihat adanya diri]
Memilih jalan kehidupan zuhud
Tidak kisah walau dipandang hina [tak punya apa-apa]

Langkah mu melangkau alam [dunia]
Mengetahui rahsia luh mahfuz [alam ghaib/khasyaf]
Tawakal yang hakiki hanya kepada Allah
Menjadi prinsip pegangan hidup mu

Kau hilang, ghaib tanpa kesan [mengasingkan diri dari dunia]
Kau tenggelam dalam keasyikan [mencintai/mengenal Allah]
Sentiasa menikmati ba'qo bersamaNya [berterusan dengan Allah]

Jika terhalang hijab [terlalai/terleka/lupa]
Maka tiada lagi kenikmatan
Rasa derita bagai ditinggalkan [kekasih hati]

Ingin ku ikuti jejak mu [bersama-sama mu menyusuri jalan]
Untuk berguru menuju kepadaNya [ilmu mengenal diri/mengenal Allah]
Menyendiri mencari petunjukNya [mohon hidayah]
Tak kisah walau dipandang hina [tidak punya apa-apa]
Namun tetap dengan keyakinan teguh [semata-mata/segalanya Allah]..."

Tabarakallahufiq...

Terima kasih Allah


Assalamualaikum wbt.

Subhanallah. Tabarakallah... cantik kan pengantin Turki dalam gambar ni. Hidung tercatuk. Nampak wajah pun senyum jer. Orang cantik mudah pula senyum, jadi bertambah manis. Lengkap pakej pada sifatNya dan wajahNya sebagai manusia, sebaik-baik makhluk ciptaan Allah.

Namun yang nak saya 'usik' di sini bukan pada cantik jasad zahir... tapi kepada kecantikan hati. Sifat ehsan dan berkasih sayang sesama manusia dan juga terhadap diri sendiri. Seperti yang ditunjukkan oleh gambar di atas. Pengantin ini sedang melayan makan para pelarian Syiria melebihi layanan kepada tetamu majlisnya. 

Kita ni tiap hari tak kurang 17 kali menyebut perkataan "ar-Rahmaan ar-Rahiim", lewat surah Al-Fatihah, ketika solat. Bermakna tak kurang 17 kali tu lah kita sebut sifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang nya Allah. Bila kita sebut sebenarnya ia umpama kita minta kepada Allah, sebab solat itu kan sama seperti doa. 

Kalau setiap hari paling kurang 17 kali kita minta... saya pasti, tak banyak sikit Allah akan bagi sifat Dia itu kepada kita. Di'tumpangkan' pada kita untuk kita nampakkan sifat mulia Allah itu... pengasih dan penyayangNya, dan untuk kita salurkan pula kepada manusia-manusia dan makhluk lain yang ada di sekeliling kita. 

Manusia dan makhluk dicipta untuk Allah menzahirkan kekuasaanNya, menunjukkan kehebatanNya dan menampakkan sifat-sifatNya.

Dan terlebih baik pulak bila ada orang yang jadi amalannya.., nak pakai kasut sebut "Bismillahi Rahmaani Rahiim". Nak makan dah memang lah... seumpama 'wajib' bermula dengan "Bismillahi Rahmaani Rahiim". Masuk kereta, nak memandu, memulakan mesyuarat, belajar, membaca dan pelbagai macam pekerjaan atau aktiviti, dimulakan dengan "Bismillahi Rahmaani Rahiim" iaitu maksudnya, "Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Maha Penyayang." 

Seolah-olah kita 'minta' sifat Allah yang pengasih dan penyayang, yang ada pada diri kita... untuk kita realisasikan secara nyata. 

Tu yang jadi sangat sedih bila tengok ada manusia sekarang yang dah tak ada sifat penyayang hingga sanggup potong anak jadi 8 bahagian, kerat kaki kucing sebab selongkar lauk atas meja, gantung diri sendiri, dan macam-macam lagi tindakan di luar rasa kemanusiaan... tiada ehsan. 

Atau mungkin kerana sebutan "Bismillahi Rahmaani Rahiim" itu diucapkan tanpa roh ayat. Disebut-sebut tapi tak kenal yang empunya sifat yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang itu. Sedangkan jika dipegang kuat, diyakini dengan hakikat, perkataan "Bismillahi Rahmaani Rahiim" itu sahaja pun boleh jadi penawar kepada segala penyakit, pada pelbagai gangguan makhluk... kerana semuanya dari Allah jua... yakin.

Satu hadis Qudsi menyebutkan, Aku tidak akan meninggalkan sekejap mata pun sejak Bismillahi Rahmaani Rahiim diturunkan. Dan demi Allah dan keagunganNya, tidak lah Bismillahi Rahmaani Rahiim itu dibacakan kepada orang sakit melainkan menjadi ubat untuknya dan tidak lah Bismillahi Rahmaani Rahiim dibacakan di atas sesuatu melainkan Allah beri rahmat di atasnya.

Dalam tiap huruf Bismillahi Rahmaani Rahiim ada junnah (penjaga/khadam) hingga tiap huruf berkata, "Siapa yang membaca Bismillahi Rahmaani Raahiim maka kamilah kekuatannya dan kamilah kehebatannya..." subhanallah. Sesungguhnya tiap sesuatu adalah dengan kehendak dan izin Allah jua... kita harus meyakini hikmah dan kebesaran ayat-ayat Allah.

Dan berbalik kepada ayat "Bismillahi Rahmaani Rahiim" yang hari-hari kita sebut berbelas kali tu, moga-moga sifat pengasih penyayang Allah itu di'tumpangkan'Nya kepada kita, dan tentu akan lebih cantik bawaannya kalau disalurkan sifat ehsan berkasih sayang itu kepada mereka yang sebenar-benar layak menerimanya. 

Kalau buat open house di musim-musim raya ni, jangan lupakan mereka yang serba kekurangan terutama jiran tetangga yang hidupnya agak susah berbanding kita. Jangan lah semata-mata ingat memanggil kawan-kawan pejabat yang selalu kenyang, sendawa bersama kita, atau lebihkan kepada jemputan VIP sebab nak nampak hebat majlis kita.

Satu hari saya cerita pada anak-anak, ibu tak pernah berdoa pada Allah minta, "Ya Allah pandaikan anak-anakku berjalan", tapi cukup masanya anak ibu pandai berjalan. Ibu tak pernah berdoa minta Allah bagi anak-anak ibu pandai bercakap, tapi sampai ketikanya anak ibu pandai bercakap. Apa iktibarnya? Anak-anak terdiam. Mungkin faham tapi tak tau nak jawap apa. Lantas saya sambung, "Itu tanda Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Kita tak minta (berdoa) pun Allah bagi..." Jadinya kenalah selalu bersyukur... terima kasih Allah

Berkasih sayang lah sebagai bawaan orang-orang yang mengenal Allah.







Tuesday, August 4, 2015

Salam Aidilfitri...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh... 


Hari ini sudah Syawal ke 19. Tak terasa waktu berlalu meninggalkan kita. Serasa sangat deras ia pergi... dari sehari ke sehari.

Kiranya belum terlambat untuk saya mengucapkan "Selamat Hari Raya Aidilfitri". 

Syukur alhamdulillah jua kerana diberi peluang bertemu Ramadhan tahun ini hingga ke penghujungnya. 

Dan puji syukur yang tak terhingga kepada Allah SWT kepada yang 'mendapat malam LailatulQadar'... inshaaAllah. Malam yang dikatakan lebih baik berbanding 1000 bulan. 

Dan tentunya terbaik jika pada malam itulah seorang manusia yang sebelum ini tidak mengenal Allah, diberi hidayah petunjuk untuk dapat mengenal. 

Manusia yang sebelum ini jahil atau "Laila" menjadi alim, menjadi tahu, menjadi kenal kepada sang penciptanya.

Dan apabila tahu dan kenal Allah, wajib lah dia mengingatiNya... senantiasa. Sepanjang masa, selama hidupnya. Bukan di bulan Ramadhan sahaja tetapi berterusan sepanjang tahun, sepanjang usianya. Itulah kemenangan sejati seorang mukmin... capaian terbaik berbanding 1000 bulan, tahun dan hari, iaitu apabila manusia mengenal Tuhannya. 

Manusia yang solat, sujud itu mengenal siapa pemilik solat, sujud serta seluruh kehidupannya itu.

Minal aidil wal faaidzin....