kudengari satu persatu.. menusuk timpa jauh menyusuri.. hanyut.. di dasar hati.. terhampar di situ.. mata mulai berkaca meruntun airmata.. jiwa mulai basah.. jasad mulai dingin.. karam.. di situ kutemui lagi.. diriMu.

Friday, September 4, 2015

Mohon pamitan seketika...

Assalamualaikum wbt...

Alhamdulillah pujian syukur semata-mata untuk Allah.

Saya tak ada perkara untuk diperkatakan di sini, kali ini. Hanya ingin nyuwun pamit beberapa hari kerana akan mula bertugas di luar premis. 

Mungkin tak akan ada yang merasa 'kehilangan' dengan tulisan saya, tetapi sesungguhnya saya pasti akan merasa terkilan kerana tak dapat memperkatakan apa-apa, dan tak dapat berkongsi rasa. 

Mohon maaf jua andai ada perkataan yang kurang disenangi pembaca selama ini. Sesungguhnya tiada niat lain, hanya ingin mengajak pembaca berfikir dan memikir.

Untuk masa yang diberi kepada blog ini, tiada ucapan terbaik selain jazakallahu khairan khatira.

InshaaAllah, dengan izin dan kehendak-Nya jua, berkesempatan ruang dan masa, saya sambung kembali.

Wassalam.




Thursday, September 3, 2015

Perjalanan Ibrahim as...

Tak berapa lama lagi, Hari Raya Aidiladha akan tiba. Iaitu bersamaan dengan 10 Zulhijjah yang jatuh pada 24 September 2015, hari Khamis. Bertepatan pula ketika itu sekolah sedang bercuti panjang. Alhamdulillah...

Ini bermakna, anak-anak akan lebih ceria menyambut hari raya. Sepertinya dalam keluarga saya, hari raya korban atau juga disebut hari raya haji lebih meriah. Ini kerana di pagi hari raya, seusai solat sunat Aidiladha, acara menyembelih haiwan korban adalah satu acara yang senantiasa ditunggu-tunggu. Kanak-kanak dan saya kira termasuk juga orang dewasa akan beramai-ramai berkumpul di perkarangan masjid, surau atau balai-balai raya untuk sama-sama bergotong royong 'mengerjakan' binatang ternakan yang dikorbankan itu. Part ini lah yang menjadi tumpuan terutama kepada kanak-kanak... (yang berani) melihat haiwan-haiwan ini disembelih dan dilapah, peringkat demi peringkat hingga selesai.

Kalau dulu-dulu mengikut cerita arwah ayah saya, binatang korban hanyalah lembu. Tetapi kini, ada unta, kerbau dan juga kambing. Kerbau, lembu dan unta dibahagi kepada 7 bahagian (maksimum) tetapi kambing seekor adalah nisbah korban bagi 1 orang sahaja .

Ritual korban berawal dari sejarah Nabi Ibrahim as. bersama anaknya Nabi Ismail as. 
Nabi Ibrahim as merupakan antara manusia kesayangan Allah yang diangkat darjatnya menjadi Nabi. 

Dan dari segi syariat, bukan sahaja umat Islam menuruti amalan korban Nabi Ibrahim as, malah pembinaan Baitullah iaitu Kaabah serta perjalanan ibadah haji juga adalah bersumber dari sejarah hidup Nabi Ibrahim bersama isteri nya Siti Hajar dan anaknya Nabi Ismail as. yang kemudian disempurnakan tertib perbuatan syariat ibadah haji itu oleh Nabi Muhammad SAW.

Saya kira kisah sejarah bermulanya korban oleh Nabi Ibrahim ini semua sudah tahu. Begitu juga sejarah awal ritual pergerakan ibadah haji bermula daripada perlakuan tawaf, saie, melontar, tahallul dan sebagainya juga, kita telah sedia maklum dan arif. InshaaAllah.

Dan sesungguhnya keistimewaan manusia yang bernama Ibrahim ini jelas sekali hinggakan namanya disebut dan disalawatkan dalam bacaan tahiyatul akhir tiap solat. 

Oleh itu cuba kita baca sedikit sejarah perjalanan Nabi Ibrahim mencari Tuhan, dan mengapa beliau begitu istimewa di sisi Allah SWT.

Nabi Ibrahim as dilahirkan di tengah-tengah masyarakat yang jahil serta kufur. Pada waktu itu Raja Namrud yang memerintah selama empat ratus tahun di kerajaan Babylon. Namrud jadi sangat bimbang bila mendapat firasat bahawa akan lahir seorang lelaki yang dapat menggulingkan kerajaannya. Gentar firasat nya akan menjadi kenyataan, maka dikeluarkanlah satu undang-undang yang memerintahkan semua anak lelaki yang lahir dalam tahun ini mesti dibunuh.

Ayah Nabi Ibrahim iaitu Azar bin Nahur tak sampai hati membunuh anaknya, lalu dibuang anaknya ke hutan belantara agar si bayi mati kelaparan atau dimakan binatang buas tetapi Allah SWT merencanakan yang lain.

Dengan anugerah Allah SWT, jari tangan Nabi Ibrahim as mengeluarkan madu lalu dihisap sehingga Nabi Ibrahim as tidak kelaparan, dan membesar sihat. Terperanjat ayahnya si Azar dan ibunya, melihat anaknya selamat dan tidak mati. Setelah undang-undang membunuh bayi lelaki dimansuhkan maka orang tuanya membawa Nabi Ibrahim balik.

Nabi Ibrahim as bukan sahaja tumbuh membesar sihat jasmani, tetapi baginda juga memiliki otak yang cergas. Nabi Ibrahim as terus mencari jawapan tentang "Dari mana datangnya manusia, siapakah penciptanya...?" Nabi Ibrahim as tidak pernah berhenti mencari Tuhan nya.

Baginda mencari siapa yang mencipta alam dan seisinya. Awalnya dia menganggap bintang yang menerangi malam itulah Tuhannya, namun akhirnya beliau menafikan setelah bintang itu hilang cahaya saat muncul bulan yang lebih terang.

Dalam Al-Quran surah Al-An'am: 76, "Ketika malam telah menjadi gelap, dia (Nabi Ibrahim) melihat sebuah bintang bersinar-sinar terang (lalu) dia (Nabi Ibrahim) berkata: "Itulah Tuhan ku" tetapi tatkala bintang itu terbenam, dia (Nabi Ibrahim) berkata: "aku tidak suka kepada yang terbenam hilang"..."

Nabi Ibrahim as terus mencari siapakah Tuhan yang sebenarnya, hinggalah Baginda diperlihatkan pada keagungan dan kekuasaan Allah SWT. Dalam Al-Quran, surah Al-An'am: 75, "Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Ibrahim tanda-tanda keagungan (kami yang terdapat) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah dia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin."

Setelah beliau melihat kejadian bulan, bintang dan matahari, maka yakin lah dia bahawa itu semua bukan Tuhan. Lalu Nabi Ibrahim membuat kesimpulan bahawa tiada Tuhan selain Allah SWT yang memiliki seluruh alam dan makhluknya.

Dan apabila keyakinan  beliau benar-benar utuh dan teguh, beliau mula berdakwah- mengajak orang-orang di sekitarnya untuk meninggalkan tradisi menyembah berhala. Namun ajakan dan dakwah nya tidak endahkan. Beliau tidak pernah patah semangat, terus berdoa dan memohon.

Lalu dengan kehendak Allah jua, Nabi Ibrahim as. diberi ilham mengatur tindakan yang lebih praktikal dan bijaksana. Tatkala seluruh penduduk bersama Raja Namrud keluar memburu, Nabi Ibrahim as. masuk ke dalam kuil dan menghancurkan semua berhala menggunakan sebuah kapak besar. Semua berhala dihancurkan kecuali satu berhala paling besar, sengaja ditinggalkan, tidak diusik. Dan pada berhala besar itu, Nabi Ibrahim as. letakkan kapak yang digunakannya tadi.

Balik daripada memburu, Raja Namrud dan semua penduduk terkejut. Dengan sangat marah mereka mencari siapa yang berani menghancurkan tuhan-tuhan mereka. Nabi Ibrahim lantas dicurigai kerana beliau seorang sahaja yang tidak ikut memburu. Lalu Raja Namrud memerintahkan Nabi Ibrahim ditangkap. Di hadapan Raja Namrud, Ibrahim berdiri tegak dan tidak gentar sama sekali.

Lantas dia disoal, “Hai Ibrahim, apakah engkau yang menghancurkan berhala-berhala itu?”
Jawab Nabi Ibrahim,  “Tidak, saya tidak melakukannya,” 
“Jangan mengelak, wahai Ibrahim, bukankah kamu seorang yang tinggal ketika orang lain semua pergi memburu?” sergah Raja Namrud. 
"Tidak! Bukan aku yang melakukannya, melainkan berhala besar itu yang melakukannya,” jawab Nabi Ibrahim as. dengan tenang.

Mendengar kata-kata Nabi Ibrahim as, Raja Namrud marah lantas berkata, “Mana mungkin berhala yang tak boleh bergerak itu engkau tuduh menghancurkan berhala lainnya?” 
Mendengar kata-kata Raja Namrud, Ibrahim as. tersenyum lalu bertanya, mengapa masih disembah jika sudah tahu bahawa patung-patung berhala itu langsung tidak boleh bergerak untuk melakukan apa-apa sekalipun?

Kata-kata Nabi Ibrahim menyebabkan Namrud sangat marah, dan sebenarnya sedar tetapi kerana bodoh sombong, dia tak boleh terima kata-kata Nabi Ibrahim as. Lantas Nabi Ibrahim dijatuhkan hukuman dibakar hidup-hidup.

Atas kehendak Allah SWT jua- sebagai menunjukkan kekuasaan-Nya, api tidak membakar Nabi Ibrahim as. walau sedikit pun. Dengan penuh yakin Nabi Ibrahim as. memegang Allah. Dengan sepenuh hati- beliau 'mengingat' bahawa:

"Memadailah bagiku hanya Allah (sebagai Penolong) dan Dia sebaik-baik Pelindung." 

حَسْبِيَ اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ





Wednesday, September 2, 2015

Teladan... hati

Saya suka membaca kisah-kisah sufi seperti di bawah ini. 
Kisah-kisah ini merupakan cerita orang-orang 'suci' di masa silam. 

Orang "suci" di sini bolehlah diertikan sebagai "orang alim" atau "waraq". Ia mengisahkan tentang sebuah perjalanan ajaib mereka dalam menempuh hakikat menuju Tuhan yang tiada batas, dan melalui kisah kemanusiaan inilah perjalanan mereka dapat diketahui. Pahit manisnya perjalanan sekaligus sebagai tangga untuk mencapai cinta-Nya, disertai 'pesan-pesan langit' untuk penghuni bumi.



Tuhan Melihat Hatimu

Pada suatu hari, Hasan Al-Basri berkunjung ke rumah Habib Ajmi, yang juga seorang sufi besar, selain beliau sendiri. Pada waktu solat, Hasan mendengar Hbaib Ajmi banyak melafazkan bacaan solat yang salah. Lalu Hasan memutuskan untuk tidak ikut solat berjamaah dengan Habib Ajmi. Dia merasa kurang sesuai untuk solat bersama orang yang tak boleh melafazkan bacaan solat dengan betul.

Pada malam harinya, Hasan Al-Basri bermimpi. Dia mendengar satu suara... (Tuhan barangkali) berbicara kepadanya: 

“Hasan, jika saja kau berdiri di belakang Habib Ajmi dan menunaikan solatmu, kau akan mendapat keredhaan-Ku, dan solat mu itu akan memberimu manfaat yang jauh lebih besar daripada seluruh solat yang kau lakukan di dalam hidupmu. Kau mencuba mencari kesalahan dalam bacaan solatnya, tapi kau tak melihat kemurnian dan kesucian hatinya. Ketahuilah, Aku lebih menyukai hati yang tulus, dan ikhlas daripada pengucapan tajwid yang sempurna"


Ujian

Ucapan Syaqiq al-Balkh kepada murid-muridnya:

“Kupertaruhkan Imanku kepada Allah, dan pergi mengharungi hutan belantara dengan wang secukupnya di dalam poket. Aku pergi menunaikan haji dan pulang, dan wang kecil (syiling) ini masih ada.”

Salah seorang muridnya berdiri dan berkata:
“Jika anda memiliki wang kecil di dalam poket, lalu bagaimana anda dapat katakan bahwa anda menggantungkan segala sesuatu kepada yang lebih Tinggi?”


Syaqiq al-Balkh menjawab:
“Tidak ada lagi yang dapat kukatakan, anak muda ini benar. Ketika engkau menggantungkan segala sesuatu kepada Allah, maka tidak ada tempat lagi untuk apa pun, sekecil apa pun, sebagai bekalan!”


Orang Gila Yang Faham

Ada seorang gila yang tidak pernah ikut solat secara berjamaah. Di hari Jumaat, dengan segala susah payah, orang-orang memujuknya untuk hadir ke masjid. Maka dia pun hadir solat Jumaat bersama-sama untuk berjamaah.


Akan tetapi ketika Imam memulakan solat, orang gila tersebut justeru melenguh, membuat bunyian seperti bunyi seekor lembu jantan. Orang-orang menyangka bahawa penyakit gila orang itu datang lagi, dan pada saat yang sama mereka ingin membantunya. 

Selesai solat mereka menegurnya:
“Apakah engkau tidak berfikir tentang Allah, engkau bersuara seperti seekor binatang di tengah-tengah solat jamaah?”


Si orang gila menjawab:
“Aku hanya lakukan apa yang dikerjakan Imam. Ketika dia telah 'menekankan', dia membeli seekor lembu, maka aku pun bersuara lah seperti seekor lembu!”


Ketika jawapan pelik ini disampaikan kepada tuan Imam, malah tuan Imam mengakui:
“Ketika aku menyebut "Allahu Akbar", aku sedang memikirkan pertanianku. Dan ketika sampai pada "alhamdulillah", aku berfikir bahawa aku akan membeli seekor lembu. Pada saat itulah aku mendengar suara lenguhan.” ... seperti suara seekor lembu jantan!



Mari kita sama-sama mengambil iktibar dari setiap cerita yang dikisahkan ini. 

...pesanan untuk diri saya sendiri sesungguhnya....




Tuesday, September 1, 2015

40-an.....

Bismillahi Rahmaani Rahiim


حَتَّى إَذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِيْنَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِى أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِى أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِى فِى ذُرِّيَّتِى إِنِّى تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّى مِنَ الْمُسْلِمِيْنَ

“Apabila dia telah dewasa dan usianya sampai empat puluh tahun, ia berdoa, “Ya Tuhanku, tunjukkanlah aku jalan untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang engkau redhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang muslim.” (al-Ahqaf: 15)

Doa ini dianjurkan tatkala usia kita mencapai 40 tahun.

Ini kerana pada usia ini, fitrah manusia ingin kembali kepada kehidupan beragama. Ingin mendalami ilmu agama, mengenal Allah, agar dapat beramal dengan lebih sempurna. 

Dan pada usia 40-an juga, kepada yang masih memiliki orang tua, ayahibu tentu mereka sudah pun lanjut usianya. Maka kita memohon agar diberi hati yang baik, sabar dan sentiasa bersyukur agar boleh berbuat kebaikan dan beramal bakti kepada keduanya, dengan harapan kebaikan juga buat anak cucu kita nantinya. 

Dan tak kurang penting, kita mohon diberi hidayah petunjuk agar menjadi muslim yang sebenar-benarnya, yang beriman kepada Allah.

Sementara Imam Syafie pula ketika mencapai usia 40 tahun, beliau berjalan sambil memakai tongkat. Jika ditanya, jawabnya, “Agar aku ingat bahwa aku ini musafir. Demi Allah, aku melihat diriku kini seperti seekor burung yang terpenjara di dalam sangkar. Lalu burung itu lepas di udara, kecuali kakinya saja yang masih tertambat dalam sangkar. Komitmen aku sekarang seperti itu juga. Aku tidak memiliki keinginan untuk tinggal menetap di dunia. Aku tidak mahu sahabat-sahabatku memberiku sedikit pun sedekah daripada dunia. Aku juga tidak mahu mereka mengingatkan ku sedikit pun tentang kehidupan dunia, kecuali hal yang menjadi kebiasaan ku saja. Di antara aku dan dia, ada Allah.” Sentiasa Allah. Ingat Allah. Segalanya Allah.

Antara perkara yang baik dilakukan bila melewati usia 40-an selain banyakkan beramal, lakukan aktiviti secara alami seperti kerap berjalan kaki yang santai. Nak lari-lari sangat kan dah tak larat. Aktiviti sihat lain adalah bercucuk tanam. Ia bukan saja dapat mengeluarkan peluh, bahkan satu bentuk exercise dan terapi minda. 

Aktiviti bercucuk tanam melibatkan gerakan badan dan juga minda jadi aktif. Ini kerana semasa bercucuk tanam selain badan bergerak- bekerja, minda pula aktif berfikir. Pasti ketika menyemai benih pokok kita akan jadi ingat kepada Allah. Kita berserah sepenuhnya nasib kita dan benih yang disemai kepada Allah. Apabila benih pokok mula tumbuh, atau membesar subur, atau pokok berbunga, lalu berbuah tentu secara langsung kita merasa gembira dan bersyukur kepada Allah, kita memuji Allah dan mengakui kehebatan-Nya... yang menumbuhkan pokok dengan baik hingga berbunga dan berbuah. 

Memang secara zahir tangan 'kita' yang merumput, menyiram, membaja tetapi jika tidak dengan izin dan kehendak Allah, jangan berangan biji benih yang disemai akan tumbuh, elok subur hingga berbuah.

Pada pekerjaan bercucuk tanam, kita bukan sahaja dianggap "berbudi kepada tanah" tetapi juga mengajar diri meletakkan sepenuh-penuhnya Allah sebagai tempat pergantungan, tempat berserah dan menyerahkan untung nasib. Lalu bila berhasil kita belajar mensyukuri nikmat Allah itu.

Sementara bila benih yang disemai tak tumbuh, atau mati tanpa sempat berbunga dan berbuah, kita juga belajar redha dan menerima takdir. Kerana kita sudah berusaha menanam, menjaga, menyiram dan membaja, tetapi tanpa izin Allah, pokok akan mati dan tidak menjadi seperti mana yang diharapkan. Maka kita diajar bersabar.

 Markisa, naik subur memanjat 'langit'...

Seperti mana doa dalam ayat di atas, kita memohon agar diberi jalan untuk sentiasa mensyukuri nikmat Allah. Mensyukuri nikmat dengan sentiasa memanfaatkan usia yang masih ada, tenaga yang masih bersisa untuk kebaikan dan kebajikan orang lain. Dalam satu hadis, Nabi Muhammad SAW berpesan, “ Sekiranya berlaku kiamat sedangkan di tangan salah seorang kamu ada benih tamar dan dia berupaya menanamnya sebelum kiamat. Maka hendaklah dia menanamnya” (HR: Al-Bukhari)


 Bucinda putih. Dikenal 'pokok doa'.

Jika kita fikirkan, memang pelik hadis ni. Sudah mahu kiamat, tetapi kita masih disuruh menyemai benih pokok? Kiasannya- lakukan lah sesuatu yang terbaik, berusahalah, buatlah kebajikan walaupun sudah pasti, hasilnya bukan untuk diri sendiri. Bekerjalah selagi ada hayat, biar pun tahu nyawa hampir pergi.


Cili api bunga. Kecil cili padi, berapi.

Hasil tanaman depan rumah yang dapat dikongsikan bersama jiran-jiran sebaris. Bila tengok pokok-pokok ini naik membesar, berbunga dan kemudian berbuah, cukup mengembirakan hati. Sebagai menyatakan rasa gembira dan seronok, maka dikongsi-kongsikan lah.


Cili Jambak.  

Cantik bila masak serentak. Umpama bunga sejambak.

Mungkin ada yang pernah dengar orang kata, siapa yang rajin bercucuk tanam, selalu bercakap dengan pokok-pokok, usianya panjang. Sihat!

Logik juga. Sebab orang yang rajin bercucuk tanam bermakna dia melakukan aktiviti harian yang menyihatkan. Tidak duduk-duduk sahaja. Terutama untuk orang yang dah berusia 40-an. Kalau kurang bergerak, lebih banyak duduk, maka pelbagai penyakit mudah 'hinggap'. Lagi pun lebih logik akal nya sebab pokok mengeluarkan oksigen dan menyedut karbon diaoksida untuk membuat makanan. Sebaliknya kita manusia, mengeluarkan karbon diaoksida dan memerlukan oksigen. Makna kita manusia ni, dengan pokok adalah saling melengkapi. Maha Sempurna Ciptaan Allah... MaasyaAllah!

 Cili Kulai.

Bunga Kunyit. Ulam mentah untuk kesihatan.

Di usia 40-an, selain menitikberatkan pada peningkatan ruhani, jasmani jangan dilupakan. Ambil makanan yang baik dan menyihatkan. 

Saya nak share kisah seekor helang ketika memasuki usia 40 tahun.
Kisah helang yang memilih untuk hidup atau mati ketika berusia 40 tahun. 

Kisah seekor helang yang tinggal di Amerika Utara yang punya jangka hayat hingga 70 tahun, tetapi untuk mencapai umur itu, helang perlu membuat keputusan yang sangat berat. 

Tatkala umur helang mencapai 40 tahun, paruhnya semakin panjang dan membengkok hingga menyukarkan helang mematuk makanan. Paruh itu, malah amat menyakitkannya hingga meyukarkannya untuk makan. 

Manakala kuku kakinya yang selama ini digunakan untuk memegang sudah tidak boleh lagi digunakan untuk mencengkam. Kukunya sudah membengkok menjadikannya sukar untuk memegang mangsa dengan kuat. 

Dengan peningkatan usia itu, bulu sayapnya menjadi semakin lebat dan begitu juga bulu dibadannya semakin tebal, menjadikannya amat sukar untuk terbang dan melayang badan di udara. Bulu yang tebal itu amat berat hingga mennyusahkan helang untuk terbang tinggi. 

Helang hanya ada dua pilihan iaitu mati atau melalui proses perubahan yang amat menyakitkan- untuk terus hidup. Tak ada siapa yang boleh membantu, kecuali helang membuat pilihan yang tepat untuk terus hidup selama 30 tahun lagi. Lalu pilihannya untuk terus hidup.Jadi dengan pilihan itu banyak pengorbanan yang perlu dilaksanakan. 

Helang pun terbang jauh ke puncak gunung dan duduk di situ tanpa makan untuk memastikan dirinya lahir sebagai helang baru yang  jauh lebih hebat. 

Helang pun mula bertindak untuk mengubah dirinya bermula dengan paruhnya dahulu. Paruh yang bengkok itu diketuk-ketukan ke batu hingga tercabutlah paruh itu. Ia perlu menunggu hingga peruh baru tumbuh kemudian dangan paruh baru itulah ia mencabut kuku kakinya. Ia terpaksa menunggu lagi sehingga kukunya panjang. 

Kemudian helang mencabut pula bulunya yang cantik dan tebal hingga habis. Helang perlu menunggu lagi hingga bulunya tumbuh. Selepas 150 hari barulah semua proses itu lengkap. Maka jadilah seekor helang yang baru jauh lebih hebat walaupun telah berusia 40 tahun. Untuk 30 tahun akan datang helang itu telah dilahirkan semula sebagai helang baru yang lebih hebat. 


 

Actually ini sekadar kisah mitos masyarakat Orang Asli di Amerika Utara. Namun moral yang hendak disampaikan adalah tentang pentingnya perubahan di dalam hidup... bagi manusia yang mahu berfikir dan mengambil pengajaran.

Jadi pada usia 40-an, banyak kan membuat amal kebajikan sesama manusia, terutama kepada kedua ayah dan ibu; mohon dan berdoa supaya makin dekat pada Allah... diberi hidayah dan petunjuk untuk lebih kenal.

Aamiin.




Monday, August 31, 2015

Merdeka...

Merdeka....
Tahun ini negara menyambut usia kemerdekaan yang ke-58 tahun. Alhamdulillah.... 

Kalau manusia, pekerja di usia ke-58 biasa dah pencen. Sebab dulu-dulu pencen umur 55 tahun. Kalau pilih opsyen 60 tahun makna tinggal dua tahun lagi dah nak pencen. Di pejabat-pejabat kerajaan, kakitangan yang masuk usia ke-58 tahun dah diatur untuk ikut Kursus Persediaan Bersara.

Pengisiannya, supaya bila dah pencen tak stress, tak dapat penyakit. Diberi tips bagaimana nak isi masa apabila dah kena duduk rumah 24 jam.

Pencen... makna berhenti, cukup tempoh cukup masa, stop working makan gaji. Kalau usaha sendiri, usahawan mandiri... (usaha 'mandi sendiri'... hihi) tak ada istilah stop. Selagi mampu, ada kudrat boleh terus bekerja, berusaha. Tetapi untuk yang makan gaji, usia 60-an sudah dianggap tidak efektif alias tak efisien untuk bekerja, dan sudah tidak pantas untuk dibayar gaji bulan-bulan. 

Balik kepada sambutan kemerdekaan, maka setakat itu lah. Merdeka identik jalan tutup beberapa hari sebelum tanggal 31 Ogos, kerana ada latihan dan raptai hari kemerdekaan. Tak tau pasti dari mana asal mula aktiviti berarak ni. Asal merdeka berarak asal berarak merdeka!

Dan kalau nak bahas makna dan nilai kemerdekaan negara di usia ke-58 tahun ni seharusnya bagaimana, lalu akan panjang lebau lah entry saya ini... Tak daya saya. Masing-masing fikir la sendiri!

Tema sambutan Hari Merdeka tahun ni "Sehati Sejiwa". Entah macamana istilah sehati sejiwa tu nak diimplementasikan pun saya kira tah gimmana gitu. Kalau pada perkara-perkara baik, benar mungkin boleh lah disetujui dilaksanakan bersama-sama, sehati sejiwa sekepala seia sekata. Tapi kalau dah ada banyak isu yang saling bertentangan, tak sehaluan, atau dah sah-sah bersalahan, susah gak nak sehati sejiwa tu. Jangan tema ni syok sendiri jer dah lah.

Catatan sejarah kemerdekaan tahun ni saya kira jadi 'luar biasa' kerana ia bersamaan dengan himpunan Bersih 4.0. Jalan-jalan raya utama yang juga adalah laluan perarakkan kemerdekaan digunakan oleh para peserta Bersih untuk berkumpul, bagi menyatakan hasrat hati mereka, membawa luahan rasa majoriti rakyat sebenarnya... saya kira. Mereka kebanyakkan nya adalah golongan yang secara langsung menerima kesan terhadap keadaan ekonomi, dan politik negara. 

Saya tak kata tindakan ini baik, atau sebaliknya tidak baik. Pada saya ini adalah aturan dan susunan Allah... (... yang dah tentunya terbaik) kerana sesuatu yang kita suka belum tentu baik untuk kita, manakala sesuatu yang kita benci itu belum tentu tidak baik menurut pandangan Allah, sebagaimana Allah ta’ala berfirman dalam surah Al-Baqarah: 216

“Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” 

Mungkin ini sebagai asbab kepada menentukan corak masa depan negara dan rakyat. So, nantikan sahaja bagaimana aturan seterusnya.

Dan sama juga kiasan saya, "Kalau tak ada angin masakan pokok-pokok itu bergoyang"