kudengari satu persatu.. menusuk timpa jauh menyusuri.. hanyut.. di dasar hati.. terhampar di situ.. mata mulai berkaca meruntun airmata.. jiwa mulai basah.. jasad mulai dingin.. karam.. di situ kutemui lagi.. diriMu.

Monday, December 29, 2014

....Komunikasi Lewat Alam...


Bahawa langit yang membiru itu komunikasi,
Bahawa laut yang hijau kebiruan itu juga komunikasi,
Bahawa hutan belantara itu turut komunikasi,
Bahawa awan gemawan yang kadang putih kala kelabu itu juga sedang komunikasi,
Apatah lagi gunung bukit bukau dan sungai,
Semuanya sedang komunikasi.

Bahawa tika ini Aku sedang mempamerkan kekuatan Ku,
Bahawa saat ini Aku sedang menunjukkan kehebatan Ku,
Bahawa sekarang Aku sedang mempersembahkan kasih sayang Ku kepada hamba2Ku yang terang mata hatinya,
Dan bahawa kini Aku sedang berkomunikasi dengan hamba2 Ku,
Lewat alam!

Oleh awan yang lelah menakung air,
Oleh hujan yang patuh turun melaju,
Oleh sungai yang sarat menggandar beban,
Oleh bumi yang tepu dek lebihan muatan,
Oleh prahara manusia yang lupa daratan.

Maka...
Berkomunikasi lah wahai manusia,
dengan Dia si pencipta alam.


Berkomunikasi lah wahai manusia,
lewat doa yang tulus meminta.

Berkomunikasi lah wahai manusia,
atas taubat dan penyesalan yang sebenar-benarnya,
Bermuhasabah diri!

Pada kerakusan sikap,
Pada kezaliman perbuatan,
Pada kebodohan keputusan,
Pada kealpaan mengaut keuntungan.

Atau mungkin...
Ini cara Dia untuk mengangkat derajat mu di sana?
Ini teguran Dia supaya kedudukan mu tinggi di mata Pencipta?
Dan ini adalah bentuk penghargaan-Nya terhadap manusia, hamba-hamba pilihan-Nya?


Berkomunikasi lah...
Dan akui...
Bahawa segalanya milik Tuhan,
Maka kembali lah kepada Tuhan.


Bah, 2014 Disember

Sunday, December 21, 2014

Info....

BIODATA RINGKAS NABI MUHAMMAD S.A.W
Nama penuh: Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim
Nama bapa: ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim
Nama ibu: Aminah binti Wahab bin ‘Abdul Manaf
Nama datuk: Syaibah bin Hâsyim dikenal dengan nama ‘Abdul Muttalib

Bapa-bapa saudara:
• Al-Harith bin Abdul Muthalib
• Muqawwam bin Abdul Muthalib
• Zubair bin Abdul Muthalib
• Hamzah bin Abdul Muthalib
• Al-Abbas bin Abdul Muthalib
• Abu Thalib bin Abdul Muthalib
• Abu Lahab bin Abdul Muthalib
• Abdul Kaabah bin Abdul Muthalib
• Hijl bin Abdul Muthalib
• Dzirar bin Abdul Muthalib
• Ghaidaq bin Abdul Muthalib
Nama Ibu susuan Rasulullah:
- Ibu susuan pertama Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab)
- Ibu susuan kedua Halimah binti Abu Zuaib As-Sa‘diah (lebih dikenali Halimah As-Sa‘diah. Suaminya bernama Abu Kabsyah)
Nama isteri pertama dan usia baginda berkahwin:
Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah pada 25 tahun
Nama isteri-isteri Rasulullah:
1. Khadijah bt. Khuwailid al-Asadiyah r.a
2. Saudah bt. Zam’ah al-Amiriyah al Quraisiyah r.a
3. Aisyah bt Abi Bakr r.a (anak Saidina Abu Bakar)
4. Hafsah bt. Umar bin al-Khattab r.a (anak Saidina ‘Umar bin Al-Khattab
5. Ummu Salamah Hindun bt. Abi Umaiyah r.a (digelar Ummi Salamah)
6. Ummu Habibah Ramlah bt. Abi sufian r.a
7. Juwairiyah ( Barrah ) bt. Harith
8. Safiyah bt. Huyay
9. Zainab bt. Jansyin
10. Asma’ bt. al-Nu’man al-Kindiyah
11. Umrah bt. Yazid al-Kilabiyah
12. Zainab bin Khuzaimah (digelar ‘Ummu Al-Masakin’; Ibu Orang Miskin)
Nama anak-anak Rasulullah:
1. Qasim
2. Abdullah
3. Ibrahim
4. Zainab
5. Ruqaiyah
6. Ummi Kalthum
7. Fatimah Al-Zahra’
8. Halah bin Hind bin Habbasy bin Zurarah al-Tamimi (anak kepada Saidatina Khadijah bersama Hind bin Habbasy.
Pengalaman bekerja Rasulullah:
* Semenjak kecil lagi, baginda telah menternak kambing dan berniaga membantu bapa saudaranya.
* Abu Talib telah membawa baginda ke Syam (Syria) bagi membantunya berniaga.
* Apabila baginda telah agak dewasa, baginda telah mula menjalankan perdagangan baginda sendiri secara kecil-kecilan dan menjalankan perniagaan dengan menggunakan modal orang lain kerana baginda sedar bapa saudaranya bukanlah terdiri daripada orang yang berada dan beliau terpaksa menyara sebuah keluarga yang besar.
* Ketika baginda berusia dua puluh lima tahun, baginda telah pergi ke Syam untuk kali kedua bagi menjalankan perniagaan Sayidatina Khadijah. Bukti Rasulullah adalah seorang ketua keluarga yang patut dicontohi: Rasulullah merupakan seorang yang pengasih.
* Sebagai seorang suami, baginda sering membantu isteri menjalankan urusan rumah seperti memasak, menampal pakaian yang koyak, memmbersih rumah dan menjaga anak.
* Sebagai seorang bapa, baginda memberi pendidikan agama yang secukupnya dan menjadi seorang contoh yang baik kepada anak-anak.
Gelaran Al-Amin: Baginda merupakan seorang yang jujur, amanah dan budi pekerti. Perkataan dan perbuatan baginda sentiasa dipercayai sehingga baginda diberi gelaran al-Amin oleh masyarakat Arab Quraisy.

----------------------------------------------------------------
30 ORANG YANG PERTAMA DALAM ISLAM


1. Orang yang pertama menulis Bismillah : Nabi Sulaiman AS.
2. Orang yang pertama minum air zamzam : Nabi Ismail AS.
3. Orang yang pertama berkhatan : Nabi Ibrahim AS
4. Orang yang pertama diberikan pakaian pada hari qiamat : Nabi Ibrahim AS.
5. Orang yang pertama dipanggil oleh Allah pada hari qiamat : Nabi Adam AS.
6. Orang yang pertama mengerjakan saie antara Safa & Marwah : Sayyidatina Hajar
7. Orang yang pertama dibangkitkan pada hari qiamat : Nabi Muhammad SAW.
8. Orang yang pertama menjadi khalifah Islam : Abu Bakar As Siddiq RA.
9. Orang yang pertama menggunakan tarikh hijrah : Umar bin Al-Khattab
10. Orang yang pertama meletakkan jawatan khalifah dalam Islam : Al-Hasan bin Ali RA.
11. Orang yang pertama menyusukan Nabi Muhammad SAW : Thuwaibah RA.
12. Orang yang pertama syahid dalam Islam dari kalangan lelaki : Al-Harith bin Abi Halah
13. Orang yang pertama syahid dalam Islam dari kalangan wanita : Sumayyah binti Khabbat
14. Orang yang pertama menulis hadis di dalam kitab / lembaran : Abdullah bin Amru bin Al-Ash
15. Orang yang pertama memanah dalam perjuangan fisabilillah : Saad bin Abi Waqqas
16. Orang yang pertama menjadi muazzin dan melaungkan adzan: Bilal bin Rabah
17. Orang yang pertama sembahyang dengan Rasulullah SAW : Ali bin Abi Tholib
18. Orang yang pertama membuat minbar masjid Nabi SAW : Tamim Ad-dary
19. Orang yang pertama menghunus pedang dalam perjuangan fisabilillah : Az-Zubair bin Al-Awwam
20. Orang yang pertama menulis sirah Nabi Muhammad SAW : Ibban bin Othman bin Affan
21. Orang yang pertama beriman dengan Nabi SAW : Khadijah bt Khuwailid.
22. Orang yang pertama mengasaskan usul fiqh : Imam Syafei RH.
23. Orang yang pertama membina penjara dalam Islam: Ali bin Abi Tholib
24. Orang yang pertama menjadi raja dalam Islam : Muawiyah bin Abi Sufyan
25. Orang yang pertama membuat perpustakaan awam Harun Ar-Rasyid
26. Orang yang pertama mengadakan baitulmal : Umar Al-Khattab
27. Orang yang pertama menghafal Al-Qur'an selepas Rasulullah SAW : Ali bn Abi Tholib
28. Orang yang pertama membina menara di Masjidil Haram Mekah: Khalifah Abu Ja'far Al-Mansur
29. Orang yang pertama digelar Al-Muqry : Mus'ab bin Umair 

30. Orang yang pertama masuk ke dalam syurga : Nabi Muhammad SAW.

Saturday, December 20, 2014

....ilham rasa....

Bismillahi Rahmaani Raahim
Surah al-Munafiqun:10 "Dan belanjakanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu; lalu ia berkata: "Ya Rabb-Ku, kenapa Engkau tidak menangguhkan (kematian) ku sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang saleh?"

SEDEKAH itu...

Ia bisa jadi penawar
Bagi penyakit yang hinggap di badan.

Ia adalah pemberat
Bagi timbangan amal yang tak cukup kiraan.


Ia seperti penyuluh
Bagi pencinta ilmu yang dalam kegelapan.

Ia seumpama Waqiah
Bagi yang berat memikirkan kehidupan.

Ia kekuatan al-Kahfi
Bagi janji keselamatan diri.

Ia bak penyeri
Bagi wajah yang menanggung fikiran.

Ia bagai dhuha
Bagi meluaskan sumber pendapatan

Ia umpama jaminan
Bagi yang tak punya apa namun berjiwa ihsan.

Bahawa Allah suka kpd orang kaya yang pemurah...
Tetapi Dia lebih cinta kpd si miskin yang pemurah...
Itulah janji Allah...
Kepada yang suka bersedekah...

----------------
Satu catatan dinihari buat si pecinta
Di mata dan di hatinya sentiasa ada Dia...


" PAPAN ANJAL "

Dalam gelora menuju Dia
Capai makam iman yang paling tinggi
Lonjakkan matlamat yang paling agong
Tujahan ehsan tingkat teratas
Meraih bintang hati yang tersenyum
Diterangi cahaya nun jauh dari sana

Harus ada syaratnya

Diri ini harus mau turun ke dasar
Diri ini harus rela terperuk diuji
Diri ini harus redha diinjak asbab
Diri ini harus pasrah dihenyak qada
Diri ini harus sabar diduga nasib

Untuk nantinya bisa melantun tinggi
Untuk nantinya bisa melontar jauh
Untuk nantinya bisa melayang bebas
Untuk nantinya bisa temu cinta di puncak sana

Dari yang Maha Sayang antara yang penyayang
Dari yang Maha Kasih antara yang pengasih
Dari yang Maha 'Murah' antara yang pemurah
Dari yang Maha Kuasa antara yang berkuasa
Dari yang Maha Cinta antara si pecinta.

Umpama PAPAN ANJAL...

Yang harus bisa turun serendahnya
Bukan untuk mengalah.

Yang harus dihenyak berulang kali
Bukan untuk menyerah.

Yang harus rela diinjak-injak kaki
Bukan juga untuk ditangisi.

Tetapi untuk kemudiannya
Bisa melantun melonjak setinggi langit
Diterima dalam kedudukan terbaik.

WALAU...
Dalam pandangan hina manusia
Dalam tanggapan tak punya apa
Dalam hati ada senyuman bahagia
Dalam rahmat dan redha Allah SWT.

-----------------

aku si "PAPAN PUTIH"... itu...

Si papan putih...
Yang hari-harinya
Ditulis oleh tangan yang ikhlas
Mencatat dan mencatit
Menelurkan segala ilham
Atas kalam hebat dari-Nya.

Si papan putih
Yang terkadangnya
Diconteng dengan sedikit rakus
Oleh tangan yang lihai sejenak
Dek keinginan memuncak
Mencapai Allah... semata2 Dia.

Si papan putih
Yang rutinnya
Dilukis dengan tinta biru
Merah dan hijau pelbagai warna
Oleh tangan yang penuh kasih
Umpama melakar pelangi
Mengagungkan mahabbah Ilahi.

Namun kini...

Si papan putih
Yang adanya kini
Umpama tiada mendapat ganti
Tangan yang menulis
Mencatat dan menconteng
Mengalirkan ilmu dan ilham
Membesarkan Ilahirobbi.

Dan kini...

Si papan putih
Teresak sedih ditinggal pergi
Umpama pohon kayu tamar
Yang menjadi mimbar Baginda Nabi
Tatkala menyampaikan khutbah berdiri
Kini semakin dilupai.

Sekarang ini...

Si papan putih
Hanya mampu mengenang
Mengingat dan memaparkan kembali
Tulisan lukisan dan juga goresan
Segala ilham dan kalam.

Menggenggam erat doa dan pesan
Agar tulisan lukisan dan goresan
Di papan putih...
Tiada tangan yang memadam
Tiada tangan yang menghapus
Tiada tangan yang menyapu hilang
Tinggal kekal atas papan nan putih.

Untuk diamalkan
Untuk dilaksanakan
Untuk direalisasikan
Untuk diberi roh kehidupan.

Catatan di atas papan putih
Bukan ia semata-mata
Tulisan, lukisan, dan goresan 
Kaku di atas papan...!




Sunday, November 9, 2014

Kesederhanaan mu....

pantas aku berlari mengejar dunia,
menyusun langkah agar bisa sama rata,
duduk sama rendah berdiri sama tingginya,
dengan manusia segolongan mereka,
yang kononnya si pemilik segala benda.

tatkala digoda dengan nikmat,
tatkala berdepan manusia hebat,
aku kehilangan punca di dalam terang,
aku mencari-cari haluan di dalam gelap,
aku meraba impian dalam silauan kilat.

aku jadi lupa pada fitrah kejadian,
sesekala alpa pada akurjanji dengan Pencipta,
hidup ini untuk apa?
hidup ini untuk siapa?
hidup ini harus bagaimana?

sedangkan Nabi berdoa berhajat,
agar tak diduga dengan harta dunia,
agar tak diduga dengan nikmat di mata,
mahu hidup di dalam sederhana,
serba tiada walau nyata berada.

perut Baginda tak pernah kenyang,
tidurnya Baginda umpama jaga,
walau terpelihara Baginda tetap berjuang,
munajat berdoa memohon keampunan,
tak pernah lewa dalam rahmat dan kemuliaan.


syukurku atas jentikkan itu,
membuang khayal dalam sandiwara,
melenyap fatamorgana muncul nyata,
bersimpuh berteleku bermunajat jiwa,
mengukir senyum walau tak punya apa-apa,
fakir di mata manusia itu tak mengapa.

ingin ku hidup mencontohi mu,
ingin ku bernafas dalam kesederhanaan mu,
mendukung sunnah dalam bertingkah,
merujuk sirah dalam melangkah,
menggapai Syafaat di hujung kisah,
menjadi golongan umat sang kekasih Allah.

Salawat buat mu.. ya Rasulullah!

Saturday, November 8, 2014

Suara itu....

setelah sekian lama lena,
setelah sekian malam beradu,
tanpa ada mimpi,
tanpa ada sangsi,
kini kutemui kembali,
fitrah hidayah Ilahi,

dalam lelap yang syahdu,
dalam sendu beradu,
dalam zikir bertalu,
ku dapat petunjuk dari-Mu.

antara tidur dan jaga,
antara sedar dan lena,
ku dengar ia berkata,
pegang Allah selalu!
pegang Allah bersamamu!
bawa Dia ke mana jua!
bawa Dia untuk apa saja!

kini bibir mengukir senyum,
dalam hati melakar taman,
dengan santun dan kasih,
dengan sayang yang terpelihara,
Kau memandangku,
Kau menuntunku,
lewat suara-suara itu. 


Menuju Mu....



Saturday, October 18, 2014

Senangkan lah hati....




Kalau engkau dicintai orang dan mencintai, senangkanlah hatimu. 
Tandanya hidupmu telah berharga, 
Tandanya engkau telah didaftar anak bumi yang terpilih.

Tuhan telah memperlihatkan belas Kasih-Nya kepadamu lantaran pergaduhan hati sesama makhluk. Dan jiwa di seberang masyrik dan maghrib telah terkongkong di bawah satu perasaan di dalam lindungan Tuhan. Di sanalah waktunya engkau mengetahui rahsia perjalanan matahari di dalam falak, ketika fajarnya dan terbenamnya...

Tandanya Tuhan telah membisikkan ke telingamu nyanyian alam ini. 
Lantaran yang demikian, dua jiwa berenang di langit khayal, di waktu orang lain terbenam, keduanya berdiam di dalam kesukaan dan ketenteraman, bersenda gurau di waktu bersungguh-sungguh.

Dan jika engkau mencintai tetapi cintamu tak terbalas, senangkan jugalah hatimu. 

Kerana sesungguhnya orang yang mengusir akan jatuh kasihan dan ingin kembali kepada orang yang diusirnya itu setelah dia jatuh dari matanya, 

Dia akan cinta, cinta yang lebih tinggi darjatnya daripada cinta lantaran hawa. 
Terpencil jauh membawa keuntungan insaf, kebencian meruncingkan cita-cita dan membersihkan perbuatan. 

Dengan sebab itu, engkau akan beroleh juga kelak tempat merupakan cinta itu, kalau tak ada pada insan, ada pada yang lebih kekal daripada insan. Bersedialah menerima dan menyuburkan cinta, walau bagaimana besarnya tanggunganmu, 

Kerana cinta memberi dan menerima, cinta itu gelisah tetapi membawa tenteram. Cinta mesti lalu di hadapanmu, sayang engkau tak tahu bila lalunya.

Hendaklah engkau menjadi orang yang besar, yang sanggup memikul cinta yang besar. Kalau tak begitu, engkau akan beroleh cinta yang rendah dan murah, 

Engkau menjadi pencium bumi, engkau akan jatuh ke bawah, 

Tak jadi naik ke dalam benteng yang kuat dan teguh, benteng yang gagah perkasa yang sukar ditempuh oleh manusia biasa. Kerana tugu cita-cita hidup itu berdiri di seberang kekuasaan dan kemelaratan yang diletakkan oleh kerinduan itu sendiri.

Cinta yang sejati adalah cinta di antara dua hamba Allah yang dipaterikan oleh cinta kepada Allah.

Janganlah kita berkhayal kerana iblis suka meracuni jiwa yang lalai.
 
 
"Haji Abdul Malik Karim Amrullah"



Zikir (2).....

Petikan dari fb "Jalan Sufi Ahli Sunnah Waljamaah"


Diriwayatkan bahawa Nabi Musa 'Alaihi salam pernah berkata,  
" Wahai Rabb Ku Yang Maha Mulia, Bagaimana aku dapat membezakan antara orang yang ENGKAU CINTAI dengan orang yang ENGKAU BENCI?"
Allah Subhanahu wa ta'ala berfirman, 

"Wahai Musa, sesungguhnya jika Aku mencintai seorang hamba, maka Aku akan menjadikan dua tanda kepadanya"
Nabi Musa as bertanya, 

"Wahai Rabb, apa kedua tanda itu?"
Allah swt berfirman, 

"Aku akan mengilhamkannya agar dia berdzikir kepada Ku, agar aku dapat menyebutnya di kerajaan langit dan Aku akan menahannya dari lautan murka Ku, agar dia tidak terjerumus dalam azab dan siksaKu."
----------------------

Zikir - salah satu syarat... (ada pendapat yang mengatakan tidak perlu apa-apa syarat... bila-bila masa dan di mana sahaja...) Syarat menyediakan seseorang untuk berzikir ialah berada di dalam keadaan berwuduk, dan bersih tubuh badan. 'Kosongkan' hati dari hal-hal dunia. Pada peringkat permulaan, supaya zikir itu berkesan, perlulah disebut kuat-kuat akan perkataan dan ayat yang dijadikan zikir – kalimah tauhid, sifat-sifat Allah. 

Aku diajarkan menyebut; 
"Subhanallah (maha suci Allah), 
Walhamdulillah (segala puji hanya untuk Allah) 
Walaaillahi illallah (tiada Tuhan selain Allah) 
Allahu akhbar (Allah maha besar). 

Bila perkataan tersebut diucapkan, usahakan agar berada di dalam kesedaran... (tidak lalai). Dengan cara ini hati mendengar ucapan zikir dan diterangi oleh apa yang dizikirkan. Ia menerima tenaga dan menjadi hidup – bukan sahaja hidup di dunia ini bahkan juga hidup abadi di akhirat.
“Mereka tidak akan merasa padanya kematian, hanya kematian pertama, dan Dia pelihara mereka daripada azab jahanam”. (Surah Dukhaan, ayat 56).

Nabi saw menceritakan keadaan orang mukmin yang mencapai 'yang hak' melalui zikir,

“Orang mukmin tidak mati. Mereka hanya meninggalkan hidup yang sementara ini dan pergi kepada kehidupan abadi”. Dan mereka lakukan di sana apa yang mereka lakukan dalam dunia. Nabi saw bersabda, "Nabi-nabi dan orang-orang yang hampir dengan Allah terus beribadat di dalam kubur seperti yang mereka lakukan di dalam rumah mereka”.  

Ibadat yang dimaksudkan itu adalah penyerahan dan merendahkan diri rohani kepada Allah bukan solat yang lima waktu sehari. Tawaduk yang di dalam diri, dengan diam, adalah nilai utama yang menunjukkan iman yang sejati.

Makrifat tidak dicapai oleh manusia dengan usaha tetapi ia adalah anugerah dari Allah. Setelah dinaikkan kepada makam tersebut, orang arif menjadi akrab dengan rahsia-rahsia Allah. Allah membawa seseorang kepada rahsia-rahsia-Nya apabila hati orang itu hidup dan sedar dengan zikir atau ingatan kepada-Nya, dan jika hati yang sedar itu bersedia menerima yang hak. Nabi saw bersabda, “Mataku tidur tetapi hatiku jaga”.

Pentingnya memperolehi makrifat dan hakikat diterangkan oleh Nabi saw, “Jika seseorang berniat mempelajari dan beramal menurut keinginannya itu tetapi mati sebelum mencapai tujuannya, Allah melantik dua orang malaikat sebagai guru yang mengajarnya ilmu dan makrifat sampai ke hari kiamat. Orang itu dibangkitkan dari kuburnya sebagai orang arif yang telah memperolehi hakikat”. 


Nabi saw bersabda, “Setiap amal bergantung pada niat. Niat dan tujuan orang beriman lebih baik dan bernilai pada pandangan Allah daripada amalannya. Niat orang yang tidak beriman lebih buruk daripada apa yang nyata dengan amalannya”.  

Zikir Meliputi Perkataan, Perbuatan dan Perasaan

"Sesungguhnya Aku adalah Allah! Tidak ada Tuhan melainkan Aku! Dan dirikanlah solat bagi mengingati Aku!"  (Ayat 14 : Surah Taha )

Solat mengandungi perbuatan anggota zahir, perkataan yang dilafazkan dan penyertaan hati yang benar menghadap kepada Allah swt dengan sepenuh jiwa raga. Mengingati Allah swt melalui solat merupakan zikir yang paling sempurna


Perbuatan menjadi zikir, perkataan menjadi zikir dan perasaan menjadi zikir. Sekalian maujud berada dalam suasana zikir. 

Zikir dalam solat menggabungkan pengakuan bahawa yang diingatkan itu adalah Allah swt; bahawa Allah swt yang diingati itu adalah Tuhan; bahawa tiada Tuhan melainkan Dia; bahawa Allah adalah Tuhan yang disembah; bahawa menyembah Allah swt adalah dengan perkataan, perbuatan dan perasaan; bahawa apa sahaja yang dilakukan adalah kerana mentaati-Nya dan kerana ingat kepada-Nya.

Zikir yang di dalam solat menjadi induk kepada zikir-zikir di luar solat. 

Menyebut nama-nama Allah swt di dalam solat itu adalah zikir. 
Perkataan yang baik-baik diucapkan kerana Allah swt adalah zikir. 
Nasihat menasihati kerana Allah swt adalah zikir. 
Menyeru manusia ke jalan Allah swt adalah zikir. Semua itu merupakan zikir perkataan.

Zikir perbuatan pula meliputi segala bentuk amalan dan kelakukan yang sesuai dengan syarak demi mencari keredaan Allah swt. 

Berdiri, rukuk dan sujud dalam solat adalah zikir. 
Melakukan pekerjaan yang halal kerana Allah swt, kerana mematuhi peraturan yang Allah swt turunkan, adalah zikir. 
Mengalihkan duri dari jalan kerana Allah swt adalah zikir. 
Apa juga perbuatan yang tidak menyalahi peraturan syariat jika dibuat kerana Allah swt maka ia menjadi zikir. 
Tidak melakukan apa-apa pun boleh menjadi zikir. 
Orang yang menahan anggota lidahnya dan hatinya daripada menyertai perbuatan maksiat sebenarnya melakukan zikir jika dia berbuat demikian kerana Allah s.w.t. 
Semua itu menjadi zikir jika dibuat kerana Allah swt, kerana mematuhi perintah-Nya, kerana mencari keredaan-Nya dan kerana ingat kepada-Nya.

Jadi, perbuatan dan perkataan terikat dengan amalan hati untuk menjadikannya zikir. Ia hanya dikira sebagai zikir jika ada zikir hati iaitu hati ingat kepada Allah swt, ikhlas dalam melakukan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya

Tanpa zikir hati tidak ada zikir-zikir yang lain, kerana setiap amalan digantungkan kepada niat yang lahir dalam hati.

Zikir adalah mengingati Allah swt sebaik dan seikhlas mungkin.
Mengingati nama-nama dan sifat-sifat-Nya adalah zikir. 



Menghargai alam iaitu dengan melihat matahari, bulan dan bintang di langit sambil mengenang kebijaksanaan Allah swt merupakan zikir.
Melihat kilat memancar dan mendengar guruh berdentum sambil mengenangkan keperkasaan Allah swt adalah zikir.
Melihat fajar subuh, melihat dan mencium bunga yang indah lagi harum sambil mengenang keelokan Allah swt adalah zikir juga namanya.

Jadi, zikir adalah pekerjaan sepanjang masa, setiap ketika, semua suasana, pada setiap sedutan dan hembusan nafas dan pada setiap denyutan nadi.

Kehidupan ini merupakan zikir daim (zikir berkekalan) jika mata hati sentiasa memerhatikan sesuatu tentang Allah swt.

Misalkan seorang sedang melakukan zikir hati dan perkataan; menyebut dan mengingati nama-nama dan sifat-sifat Allah swt. Tiba-tiba datang seorang kanak-kanak di hadapannya. Anak kecil itu memegang sebotol racun. Anak kecil mahu meminum racun tersebut. Pada ketika itu ahli zikir tadi berkewajipan meninggalkan pekerjaan zikir yang sedang dilakukannya dan berpindah kepada zikir menyelamatkan anak kecil yang mahu meminum racun itu. Perpindahan perbuatan tidak memutuskan zikir atau ingatannya kepada Allah swt. Dia menyebut nama Tuhan kerana ingat kepada Tuhan. Dia menyelamatkan anak kecil itu kerana mentaati perintah Tuhan. Tuhan yang mentakdirkan anak kecil itu mahu meminum racun di hadapannya. Tuhan juga mengadakan syariat yang mewajibkan membuang kemudaratan. Taat kepada perintah Tuhan dan reda dengan takdir Tuhan yang datang serta bertindak menurut peraturan syariat Tuhan merupakan zikir yang sangat mulia pada sisi Tuhan. Zikir yang begini termasuk di dalam golongan zikir yang berkekalan atau zikir daim.

Zikir daim sukar diperolehi. Kebanyakan manusia melakukan pekerjaan yang baik-baik yang seharusnya menjadi zikir tetapi dilakukan tanpa ingatan kepada Allah swt... (niat kerana Allah swt) dan bukan dengan penghayatan mematuhi syariat-Nya. Kekuatan dalaman perlu ditambah bagi memperolehi zikir daim.

Bagi tujuan tersebut perlulah dilakukan zikir sebutan iaitu zikir nafi-isbat (ucapan kalimah “La ilaha illa Llah ”) dan zikir nama-nama serta sifat-sifat-Nya. Zikir yang seperti ini memberi kesan kepada menguatkan rasa kecintaan dan ingatan kepada Allah swt. Ia membuka kesedaran-kesedaran dalaman seperti yang telah dinyatakan pada tajuk yang membicarakan perjalanan Latifah Rabbaniah.

Kekuatan kesedaran dalaman mendorong seseorang melakukan sesuatu dengan ikhlas kerana Allah swt yang dicintainya, yang hampir dengannya. Zikir nafi-isbat dan sebutan nama-nama serta sifat-sifat-Nya menjadi jalan kepada zikir dalam bentuk mentaati peraturan-Nya tanpa lupa kepada-Nya. 


Jadi, perlu dilakukan zikir secara sebutan untuk memudahkan zikir secara amalan atau perbuatan dan kelakuan. Mudah-mudahan terhasillah zikir yang berkekalan.

Zikir atau mengingati Allah swt haruslah dilakukan menurut kadar kemampuan masing-masing.

Zikir yang paling baik diucapkan adalah seperti yang diajarkan oleh Rasulullah saw dengan sabda Baginda saw yang bermaksud: “Ucapan zikir yang paling baik adalah yang aku dan sekalian nabi-nabi bawa. Itulah ucapan kalimah ‘La ilaha illallah ’ .”

Orang yang masih mempunyai kesedaran perlu memaksakan dirinya untuk berzikir, sekalipun hanya berzikir dengan lidah sedangkan hatinya masih lalai dengan berbagai-bagai ingatan yang selain Allah swt. Pada tahap pemaksaan diri ini, lidah menyebut Nama Allah swt tetapi hati dan ingatan mungkin tertuju kepada pekerjaan, harta, anak-anak, hiburan dan lain-lain. Beginilah tahap orang Islam biasa. 


Orang yang berada pada tahap ini perlu meneruskan zikirnya kerana jika dia tidak berzikir dia kan lebih mudah dihanyutkan di dalam kelalaian. Tanpa ucapan zikir, syaitan akan lebih mudah memancarkan gambar-gambar tipuan kepada cermin hatinya dan dunia akan lebih kuat menutupinya. Zikir pada peringkat ini berperanan sebagai juru ingat. Sebutan lidah menjadi sahabat yang memperingatkan hati yang lalai. Berlakulah pertembungan di antara tenaga zikir dengan tenaga syaitan yang menutupi hati. 

Tenaga syaitan akan mencuba untuk menghalang tenaga zikir daripada memasuki hati. Tindakan syaitan itu membuatkan orang yang ingin berzikir itu menjadi malas dan mengantuk. 

Oleh yang demikian perlulah dilakukan mujahadah, memerangi syaitan yang menghalang lidah daripada berzikir itu. Zikir yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh akan berjaya melepasi benteng yang didirikan oleh syaitan. Tenaga zikir yang berjaya memasuki hati akan bertindak sebagai pencuci, menyucikan karat-karat yang ada pada dinding hati. Pada peringkat permulaannya zikir masuk ke dalam hati sebagai Nama-nama dan Sifat-sifat Tuhan yang diucapkan. 

Apabila karat pada dinding hati sudah berkurangan ucapan zikir akan disertai oleh rasa kelazatan. Hati yang sudah merasai nikmat zikir itu tidak perlu kepada paksaan lagi. Lidah tidak perlu lagi berzikir. Zikir sudah hidup dalam hati secara diam, jelira dan melazatkan. Perhatian bukan sekadar kepada nama-nama dan sifat-sifat yang diingatkan malah ia lebih tertuju kepada Yang Empunya nama dan sifat. Inilah kedudukan orang yang beriman.

Zikir yang lebih mendalam membawa hati berhadap kepada Hadrat Tuhan, menyaksikan Tuhan pada setiap masa dan suasana. Apa sahaja yang dilihat dan dibuat memperingatkannya kepada Tuhan. Inilah peringkat zikir daim yang dikurniakan kepada mereka yang beriman dan bersungguh-sungguh mengabdikan diri kepada Allah swt. Kehidupan mereka dipenuhi oleh zikir sepanjang masa. Tidur mereka juga menjadi zikir.

Zikir yang diucapkan dengan perkataan membantu hati mengingati Tuhan. Bagi sebahagian manusia, berzikir secara kuat lebih memberi kesan daripada berzikir secara perlahan, terutamanya bagi mereka yang baharu memulakan amalan zikir. Zikir secara senyap di dalam hati adalah pergerakan perasaan. Hati menghayati apa yang dizikirkan dan terbentuklah alunan perasaan sesuai dengan apa yang dihayati. Pada tahap yang lebih mendalam, zikir bukan lagi sebutan atau ingatan kepada Nama, tetapi hati menyaksikan Keperkasaan dan Keelokan Tuhan.

Bila hati sudah boleh menyaksikan Keelokan dan Keperkasaan Tuhan, itu tandanya seseorang itu sudah ada hubungan semula dengan roh suci yang mengenal Tuhan. Pancaran cahaya makrifat daripada roh suci membuat hati dapat melihat kenyataan sifat-sifat Tuhan.

Pada tahap kesedaran yang lebih mendalam, ucapan serta ingatan dan perhatian yang berhubung dengan Tuhan menimbulkan keghairahan atau zauk.
Zauk itu terjadi kerana kuatnya tarikan Hadrat Tuhan kepada hati. Ingatan dan penyaksian terhadap Hadrat Tuhan akan memberi kesan yang sangat kuat kepada hati.

Hati yang menyaksikan Hadrat Tuhan Yang Maha Perkasa boleh menyebabkan seseorang itu menjadi pengsan kerana takutnya hati kepada keperkasaan Allah swt.
Hati yang menyaksikan Hadrat Tuhan Yang Maha Lemah-lembut akan mengalami rasa kenikmatan dan kebahagiaan yang amat sangat.

Pada tahap kesedaran yang lebih mendalam, hati diperkuatkan lagi supaya mampu menerima ‘sentuhan’ Hadrat Tuhan itu. Penyaksian terhadap Hadrat Tuhan tidak lagi melahirkan keghairahan atau zauk atau kegoncangan kepada hati. Hati mengalami suasana Hadrat Tuhan dalam keadaan damai dan sejahtera.

Pada tahap ini hati akan mengenali Tuhan sebagai Raja Yang Maha Berkuasa. Berada pada sisi Raja tersebut membuat hati merasakan kesejahteraan dan keselamatan yang tidak terhingga, hilang rasa takut dan dukacita.

Pada tahap kesedaran yang paling dalam, hati berhadap kepada Hadrat Tuhan yang bernama Allah swt, yang menguasai semua Hadrat, yang melampaui segala nama dan sifat, segala kenyataan dan ibarat. Apa sahaja yang terbentuk, tergambar, terfikir, yang disaksikan dengan mata luar dan juga mata dalam dan segala-galanya tersungkur di hadapan Hadrat Allah swt, yang tiada Tuhan melainkan Dia, Maha Perkasa.

Sesungguhnya tidak ada sesuatu yang menyamai Allah swt, Dia Maha Esa. Hati yang berhadapan dengan Hadrat Allah swt benar-benar mengalami dan mengenali maksud keesaan Allah swt. Hati pun tunduk, menyerah sepenuhnya kepada Allah swt, Tuhan Maha Mencipta. Baharulah sempurna penyerahannya, baharulah lengkap perjalanan Islamnya.

Setelah itu rohnya menjadi seakan-akan roh yang baharu, seumpama baharu lahir. Roh yang baharu itu adalah Roh Islam yang telah mengenal Allah swt yang melampaui segala sesuatu tetapi memiliki Hadrat-Nya, Nama-nama-Nya dan Sifat-sifat-Nya, menyata kepada Roh Islam, iaitu Roh yang lebih tulen dan seni daripada semua roh-roh yang lain. Itulah roh yang telah menemui Kebenaran Hakiki.

Pada roh tersebut bercantum tahu dengan tidak tahu, kenal dengan tidak kenal, nafi dengan isbat. Roh Islam itulah yang benar-benar mengerti maksud nafi dan isbat pada Kalimah Tauhid: “La ilaha illa Llah”.
Roh Islam yang paling sempurna adalah roh Nabi Muhammad saw. Baginda saw merupakan contoh tauladan Islam yang paling sempurna, paling baik.
Zikir memainkan peranan yang penting dalam melahirkan Roh Islam.
"Yang mengingati Allah sambil berdiri dan sambil duduk dan sambil berbaring, dan memikirkan tentang kejadian langit-langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Engkau tidak jadikan (semua) ini dengan sia-sia! Maha Suci Engkau. Lantaran itu peliharakanlah kami daripada seksa neraka”. (Ayat 191 : Surah a-Li ‘Imran )

Maka jika aku Muslim maka seharusnya aku mencari kehidupan berzikir! Zikir ku sambil duduk dan sambil berbaring;
Zikir ku ketika sedang bekerja;
Zikir ku ketika berehat; dan
Zikir ku ketika tidur.
 

Lidah berzikir, anggota tubuh berzikir dan hati berzikir.
Tentera Islam yang sedang berperang dengan musuh pun dituntut berzikir, apa lagi kaum Muslimin yang berada dalam suasana aman.
Muslim sejati sentiasa berzikir, mengingat dan mentaati-Nya.

 

sumber: http://ibnuhussain.wordpress.com

Tuesday, October 7, 2014

Menyantuni alam...

Melihat kepada alam untuk membesarkan Dia... si pemilik alam itu.

Qaf:7..."Dan juga (keadaan) bumi ini, (bagaimana) Kami bentangkan ia sebagai hamparan dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang terdiri kukuh, serta Kami tumbuhkan padanya pelbagai jenis tanaman yang indah subur..."

Peluang berada di daerah pantai ini adalah saat yang sangat kunantikan. Selain memenuhi tuntutan tanggungjawab terhadap tugas... peluang berada di luar kota, terutama di daerah yang sangat mesra alam seperti di sini merupakan satu ruang dan peluang untuk aku boleh 'memandang' tepat kepada-Nya... Kerana aku yakin dengan melihat alam, menikmati pemandangannya, boleh membuka pintu hati ku, hati insan / manusia yang sangat halus dan sensitif ini untuk semakin dekat kepada Dia...si pemilik alam.

Bagaimana dengan mengamati kejadian alam... melihat panorama laut, pantai, ombak, matahari, bulan, sungai, tumbuh-tumbuhan, gunung-ganang, burung, serangga dan sebagainya mampu mengusik rasa manusia... menjentik naluri dalam diri, jauh di dasar hati tentang kebesaran-Nya... sebagai pemilik dan tentunya pencipta alam ini...



Memang benar, dari yang sekecil kecil makhluk ciptaan-Nya hingga yang sebesar-besar makhluk semuanya bertasbih memuji Allah, berzikir kepada-Nya... rerumput, kerikil, udara, angin, pokok, hinggalah kepada bukit bukau, sungai, gunung ganang semuanya bertasbih memuji Allah... maka mengapa tidak aku... manusia yang punya akal fikiran dan merupakan kejadian atau makhluk ciptaan-Nya yang paling sempurna... Allahu akhbar!

Dan jika ditanya, apa keindahan alam yang paling mempesonakan? Maka sudah tentu akan ku jawab bahawa ketika melihat matahari terbit di tepi pantai... munculnya sang mentari seolah tersenyum kepada ku pada saat itu... yang menimbulkan pelbagai rasa... kagum, taajub, syahdu, sayu, hiba... segala rasa ini tidak dapat ku ucapkan dengan kata-kata yang jelas. Aku cuba merenung, menghayati dan lalu ku pejamkan mata... membawa keindahan jauh ke dalam, ke dasar hati yang paling dalam. Mentafsirkannya sebagai kejadian indah ciptaan-Nya yang pasti punya hikmah dan kelebihan... kepada manusia, kepada makhluk hidupan lain... Lantas hanya satu perkataan yang dapat ku ucap, “Syukur alhamdulillah kepada Mu ya Allah, yang telah menganugerahkan alam yang sangat indah ini untuk dapat aku nikmati... aku rasai, aku hayati dengan pandangan mata zahir dan mata hati....”

Dengan putaran tabie terbit dan tenggelamnya matahari dan bulan, sesungguhnya aku melihat kuasa Allah ke atas diriku dan alam semesta ini. Bulan dan matahari taat melaksanakan tanggungjwab mereka, silih berganti muncul 'di hadapan' manusia dengan membawa seribu rahmat seribu berkat bagi aku dan manusia yang mahu berfikir dan mengambil pengajaran iktibar... Seperti mana firman Allah dalam surah An-Nahl:12, "Dan Dia memudahkan bagi kamu malam dan siang, dan matahari serta bulan; dan bintang-bintang dimudahkan dengan perintahNya untuk keperluan-keperluan kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi kaum yang mahu memahaminya.

 


Dan Allah juga berfirman dalam surah al-Isra': 12, “Dan Kami jadikan malam dan siang itu dua tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami), maka Kami hapuskan tanda malam itu (sehingga menjadi gelap-gelita), dan Kami jadikan tanda siang itu terang benderang supaya kamu mudah mencari rezeki dari limpah kurnia Tuhan kamu, dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan hitungan hisab (bulan dan hari)....”

Walau realitinya aku keseorangan tika di pantai fajar itu... lelah menguntai kesyahduan di relung hati... namun saat si mentari muncul di ufuk timur, memantulkan bayang-bayangnya di wajah air, hati yang syahdu serasa umpama dipujuk, dihiburkan... seolah-olah ada suara yang berkata, “Sudah lah. Hentikan hibaan mu. Dakaplah kehangatan cahaya-Ku melalui si mentari ciptaan-Ku ini. 'Cahaya'-Ku untuk menyinari hari-hari mu, sehangat 'kasih' dan 'sayang'-Ku... Aku lah Tuhan mu yang memiliki segala sifat ar-Rahmaan dan ar-Rahiim yang maha sempurna. Yakinlah... dan bergantunglah semata-mata kepada-Ku dengan sepenuh hati mu...”... subhanallah! Setitis demi setitis air mata ku jatuh menimpa pasir yang memutih...

Sekilas ku akuri firman-Nya melalui surah Al-Baqarah ayat 216 yang berbunyi, "...Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."

Dan aku juga jadi ingat kepada kata-kata pesanan Sayidina Ali ra... “Wahai anakku! dunia ini bagaikan samudera tempat banyak ciptaan-ciptaan-Nya yang tenggelam. Maka jelajahilah dunia ini dengan menyebut nama Allah. Jadikan ketakutanmu pada Allah sebagai 'kapal-kapal' yang menyelamatkanmu, kembangkanlah keimanan sebagai 'layar'mu, logika sebagai 'pendayung kapal' mu, ilmu pengetahuan sebagai 'nakhoda perjalanan' dan sabar sebagai 'sauh' dalam setiap badai dan cubaan”

Sembari itu aku perhatikan juga 'kegagahan' dan keindahan bukit bukau yang merentang, sama indahnya dengan keajaiban sebuah impian dan cita ku. Walau belum banyak bukti nyata yang boleh dipecahkan oleh ilmu pengetahuan tentang bagaimana keajaiban sebuah impian dan cita dapat mengubah kehidupan manusia. Hanya mimpi dan keyakinan ku yang boleh membuat kan aku berbeza daripada makhluk lain... dan juga membuat aku menjadi sangat istimewa di hadapan Allah SWT. Dan, yang boleh dilakukan seorang manusia terhadap mimpi-mimpi dan keyakinan hanya mempercayai kuasa-Nya dengan sepenuh hati seumpama kukuhnya pasak gunung dan bukit bukau memegang bumi.

Dan setelah itu yang aku perlukan hanyalah sepasang kaki yang akan berjalan lebih jauh dari biasanya, mata yang akan menatap lebih lama dari selalunya, leher yang akan perlu sering melihat ke atas mencari kekuatan dan sesekali menunduk menghitung nikmat-Nya, lapisan tekad yang seribu kali lebih keras dari besi, dan hati yang akan berzikir lebih kuat dari amalannya, serta mulut yang senantiasa berdoa... memohon dan mengharap kepada-Nya.

Kesendirian ku di daerah ini, menikmati alam... memerhatikan manusia yang cekal hatinya. Yakin dan percaya bahawa tiap manusia sudah ditentukan rezekinya, ajal dan maut oleh Dia. Tidak pernah dipertikai walau sedikit pun... aku diberi peluang memerhatikan insan nelayan yang gigih menebar jala di tepian pantai... membaca riak-riak ikan dengan firasat dan mata zahir. Manusia ini meletakkan seluruh hidupnya kepada perancangan Ilahi... redha, pasrah, ikhlas... bahawa hari ini rezeki untuk nya pasti ada... pasti ada!




Maka benarlah firman Allah dalam surah An-Nahl 14 bahawa tidak sia-sia Dia menciptakan seluruh alam ini.. “Dan Dialah yang memudahkan laut, supaya kamu dapat makan daripadanya daging yang lembut hidup-hidup, dan dapat pula mengeluarkan daripadanya benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya dan (selain itu) engkau melihat pula kapal-kapal belayar padanya; dan lagi supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya; dan supaya kamu bersyukur.”

Dengan 'membaca' alam dan manusia, hati insan kerdil ini menjadi peka, lebih mudah tersentuh terhadap diri sendiri... betapa aku ini sangat beruntung, punya segala yang namanya 'nikmat dunia'... harus aku syukuri... alhamdulillah.

Sunday, September 21, 2014

Zikir... Zat Nurani


Bismillahir-Rahmaanir-Rahim ...

Allah SWT berfirman, “Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku.” Qs. al-Baqarah:152

Zikir adalah tali hubungan antara Allah dengan seorang hamba. Orang yang mengingat Allah, maka Allah akan mengingatnya. Dan yang melupakan Allah, maka Allah juga akan melupakan dan membiarkannya larut, hanyut dan tenggelam dalam kealpaan yang panjang. Larut dalam gelita hati dan kekeruhan rohani. Hanyut dalam kekerasan hati dan ketulian kalbu... waiyyanauzubillahiminzalik

Kita perlu mengingat Allah, karena kita memang memerlukannya. Sementara Allah tak perlu kita mengingat-Nya, namun kitalah yang menghajatkan zat-Nya. Mengingat Allah adalah pernyataan rasa syukur kita, sedangkan melupakan-Nya adalah ungkapan nyata kekufuran... [lihat Qs. Âli ‘Imrân [3]: 135].

Setiap manusia pasti pernah alpa dan lalai. Namun sebaik-baik manusia yang berbuat salah adalah yang segera kembali kepada penciptaannya, fitrah manusia yang melekat pada dirinya. Ia akan segera berzikir dan ingat kepada Allah, memohon ampunan-Nya, mengemis belas kasih-Nya di hadapan kasih sayang-Nya. Kerana dia sedar hanya Allah yang Maha Luas rahmat-Nya dan Maha Kasih, daripada murka-Nya, [Qs. Âli ‘Imrân [3]: 191]

Orang-orang yang berakal akan senantiasa mengingat Allah, merapatkan diri ke hadrat-Nya, merindukan-Nya, dan asyik mahsyuk bersama-Nya. Ia akan senantiasa ingat dan zikir kepada Allah dalam segala keadaan, hal, dan waktu.

Saat berdiri, duduk, atau berbaring dia ingat Allah. Ia dekat kepada Allah dengan semua asma`-Nya, kekuasaan-Nya, kehendak dan iradat-Nya. Bagi dirinya, Allah adalah segalanya, di atas segala cintanya, termasuk diri sendiri.

Hal sebaliknya pula yang terjadi kepada orang-orang munafik [Qs. an-Nisâ` [4]: 142]. Mereka hanya mengingat Allah dengan kadar yang sangat sedikit. Kalaupun dia ingat, itupun dilakukan saat berada di tengah orang ramai kerana ingin mendapat pujian dan diakui alim warak.

Namun sesungguhnya hati dan nuraninya kosong dari zikir hakiki.
Berdirinya adalah kemalasan mengingat Allah, solatnya dilakukan dengan lewa dan berat hati. Dia bukan ingin dikasihi Allah, tapi dari pandangan dan kasih manusia. Riya menjadi selimut jiwanya, sehingga manusia pun merasakannya.


Radar keimanan orang yang bertakwa akan senantiasa bergetar keras ketika datang bisikan jahat yang akan menghancurkan diri dan menenggelamkannya dalam maksiat kepada Allah.

Radar keimanannya begitu aktif melawan virus-virus jahat yang mungkin menjangkiti dirinya. Radar keimanannya menyala tatkala ada serbuk dosa ditebarkan untuk meracuni [Qs. al-A’râf [7]: 201]

Ketenangan hati mampu menyingkap kesalahan yang dilakukannya saat itu, kekeliruan yang sedang mengintai, dan kejahatan yang tengah membidik dirinya. Nuraninya tajam berkat zikir [Qs. al-A’râf [7]: 205]

Manusia bertakwa akan senantiasa berzikir dalam hatinya dengan perasaan rendah diri, tak berdaya di hadapan Allah. Perasaan takut menyelimuti jiwanya. Suaranya rendah dalam nyala kobaran zikir dalam hatinya di pagi dan petang hari, di ubun-ubun siang dan jantung malam.

Kobaran zikirnya menyentuh ‘Arasy Allah yang Maha Rahman. Suara sunyinya demikian gemuruh di tengah para malaikat, melengking di tengah gemuruh tasbih malaikat yang mengelilingi Baitul Makmûr [Qs. al-Anfâl [8]: 2]

Hati mereka akan gemetar ketika nama Allah disebut, zikir pun akan segera meluncur dari mulut, membasahi lidah, dan memenuhi dadanya. Iman mereka melonjak tatkala ayat-ayat Allah dikumandangkan dan dialunkan. Tawakal menjadi hiasan hidupnya, dan memagari setiap geraknya [Qs. ar-Ra’d [13]: 27]

Dalam zikir mereka ada taubat. Hati mereka merasa damai, tenteram dan lembut dalam derasnya zikir yang mengalir dari samudera keimanan. Ketenteraman menghiasi hidupnya, melingkupi ruang jiwa, dan memadati kekosongan hatinya. Ia damai dalam zikir. Tenteram saat mengingat Allah.

Banyak orang sering berpaling kepada dunia, dan mabuk di dalamnya. Ia hanyut di arus dunia, karena zikir tidak mengalir deras dari hati melalui gelombang lisannya. Ia akan silau dengan dunia [Qs. al-Kahfi [18]: 28]

Sementara orang yang suka berzikir tak akan pernah lalai oleh urusan dunia, pekerjaan atau tugas-tugas negara, berniaga, anak, dan harta benda. Kerana mereka telah mengingatkan diri dengan langit, menyambungkan jiwa meraka dengan Penguasa langit dan bumi [Qs. an-Nûr [24]: 37]

Jiwa mereka akan sentiasa mempersiapkan diri untuk semua “pertemuan akbar” di Padang Mahsyar kelak, tatkala semua perbuatan ditanyakan, semua ucapan dipersoalkan, dan semua tindakan diminta tanggungjawabnya. Saat hati mengalami kegoncangan besar, saat jiwa dirasuki ketakutan.

Orang yang suka berzikir akan mampu mencontohi Rasulullah dalam semua tingkah laku, semua derap langkah, dan semua paradigma fikirannya. Rasulullah menjadi idola, kiblat perilaku moralnya [Qs. al-Ahzâb [33]: 21]

Ini kerana zikir berkobar menyala di jantung hatinya, dia akan sentiasa ingat kepada firman Allah, “Wahai orang-orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya.” [Qs. al-Ahzâb [33]: 41] Ia sentiasa akan mampu memperbesar gelombang zikirnya dalam sepi dan ramai, suka dan duka, susah dan senang.

Kulit orang yang zikir akan bergetar manakala ayat-ayat Allah yang mulia dikumandangkan, dialunkan dan dilantunkan. Mereka akan tenang saat mengingat Allah mendengar Kitab Allah yang melahirkan damai, ketenangan, kesejukan jiwa, dan ubat bagi para pembacanya [Qs. az-Zumar [39]: 23]

Kerugian akan menimpa orang-orang yang lupa kepada Allah karena anak-anak mereka, dan tidak menjadikan zikir sebagai agenda hidupnya [Qs. al-Munâfiqûn [63]: 9]

Allah memperingatkan orang-orang beriman agar tak lupa kepada Allah kerana anak, apatah lagi kerana limpahan harta. Allah mengingatkan bahwa harta sering menarik kepada tindakan melupakan Allah, dan anak-anak akan melalaikan kita kepada-Nya.

“Sebutlah nama Tuhanmu, dan beribadahlah kepada-Nya dengan penuh ketekunan.” [Qs. Al-Muzammil [73]: 8] “Dan sebutlah nama Tuhanmu pada (waktu) pagi dan petang.” [Qs. al-Insân [76]: 29]

Mari kita lantunkan zikir dalam nafas subuh, ubun-ubun siang, remang senja dan di jantung malam. Sebab, sangat banyak manfaat amalan zikir antaranya:

Pertama, mengusir, menangkal dan menghancurkan syaitan. Membuat Allah redha dan syaitan murka. Zikir akan menghilangkan resah, gelisah, dan gundah, lalu menghadirkankan ketenangan.

Kedua, segala keburukan menjadi sirna, kalbu menjadi kuat, badan menjadi sihat, memperbaiki yang lahir dan batin. Wajah terang dan bersinar, rezeki menjadi murah, ada wibawa dalam diri, dan ketenangan menjalar di segala arah.

Ketiga, istiqamah akan kukuh, kebenaran akan menghampiri, murâqabah akan tinggi, ehsân akan terangkul kuat, iman akan meneguh, taubat terus merambat, inâbah akan merayap, taqarrub menjadi mudah, ma’rifat menjadi terbuka, dan khâsyiyah akan berkilauan.

Keempat, zikir adalah makanan rohani, zat bagi tubuh. Ia adalah pembersih jiwa, pembening hati, pengusir lalai, dan penakluk syahwat. Kelalaian lenyap bersamanya. Ia adalah lentera penerang bagi gelitanya jiwa, pelebur dosa, dan pelenyap nestapa.

Kelima, mendatangkan sakinah, malaikat akan menaungi dengan sayap-sayap yang terbentang. Zikir akan menghambarkan lisan untuk mengumbar ghibah, melempar dusta dan berlaku zalim. Membuat teman duduknya tenteram. Dan zikir adalah tanaman surga yang akan dipetik oleh orang yang rajin menyiraminya.

Keenam, mencegah pikun atau nyanyuk, dan mengatasi kelalaian. Hati penzikir akan senantiasa menatap akhirat dan mengabaikan dunia. Karena zikir adalah asas dan puncak rasa syukur.

Ketujuh, zikir adalah api yang aktif bekerja menyirnakan sisa-sisa dosa, dan menghilangkan noda-noda kejahatan kita. Gunung, langit, bumi dan semesta, selain syaitan durjana, bangga dengan zikir-zikir manusia.

Kelapan yang akhir, dalam lantunan zikir, ada kelazatan yang luar biasa, dan kenikmatan tiada tara. Kobaran zikir yang terus menyala akan menjadi saksi bahwa kita benar-benar mencintai Yang Maha Kuasa. Dalam lantunannya, kita masuk dengan damai dan tenteram bersama Allah.

kopipes fb


Hakikat Cinta Kepada-Nya

Mengenai hakikat cinta kepada Allah SWT menurut pandangan hakikat hikmah Tauhid dan Tasawuf, sebagaimana telah diungkapkan oleh Maulana Imam Ibnu Athaillah Askandary dalam Kalam Hikmah beliau sebagai berikut:


"Orang yang begitu sangat cintanya bukanlah orang yang mengharapkan balasan sesuatu dari pihak yang dicintainya atau dia menuntut sesuatu maksud dari pihak yang ia cintai, karena orang yang begitu sangat cintanya itu ialah orang yang memberi buat anda, bukanlah orang yang begitu sangat cintanya itu merupakan orang di mana anda memberi buatnya."

Kalam hikmah ini, sepintas lalu sulit juga menangkapnya, apabila tidak kita berikan penjelasan sebagai berikut:

Apabila cinta dapat dilukiskan melalui huruf, tulisan dan maksud-maksud tertentu, pada hakikatnya itu tidak dapat dikatakan cinta atau mahabbah. Karena cinta yang demikian, adalah cinta yang dapat dibuat, demi untuk sampai kepada tujuan yang dikehendaki. Kerana itu, sesiapa yang mencintai seseorang supaya seseorang itu memberikan sesuatu kepadanya, bererti orang yang mencintai itu sebenarnya adalah mencintai dirinya sendiri, bukan mencintai orang yang dicintai. Ini kerana, jika sesuatu yang ditujukan untuk dirinya sendiri tidak ada, maka pastilah dia tidak akan mencintai orang yang dicintainya itu.

Kerana itulah, hakikat cinta pada orang yang mencintai, adalah memberikan keseluruhan yang ada pada dirinya demi untuk mendapatkan kerelaan daripada pihak yang dicintainya. Tanpa ada sesuatu yang ingin dicapai- berupa sesuatu yang sifatnya lahiriah dari pihak yang dia cintai. Sehingga tidak ada apa-apa lagi yang dimiliki olehnya, selain semuanya itu ia serahkan kepada pihak yang ia cintai. Atau boleh dikatakan, bahwa yang mencintai adalah dibunuh oleh kecintaannya itu, sehingga tidak ada tujuannya selain daripada kerelaan dari pihak yang dicintai. Misalnya saja seperti yang diungkapkan oleh pengarang Iqazul Himam fi Syarhil Hikam, tentang contoh seorang lelaki mencintai seorang wanita.

Lelaki itu berkata: "Aku betul-betul cinta padamu." Wanita itu menjawab: "Betapa anda cinta kepada saya, padahal yang duduk di belakang anda itu adalah lebih baik."

Mendengar itu, si lelaki tadi memalingkan mukanya melihat wanita yang ada di belakangnya, maka setelah wanita itu melihat bahwa lelaki itu memalingkan mukanya melihat wanita yang ada di belakangnya, dia berkata: "Anda ini adalah manusia yang tidak baik. Anda mengatakan begitu cinta kepadaku, tetapi anda palingkan muka anda melihat kepada selainku."

Itulah sebuah contoh dan apabila contoh ini kita kiaskan kepada hubungan cinta kita selaku hamba Allah kepada Tuhan Pencipta alam, Allah SWT. juga demikian. Kita mengatakan kepada diri kita dan kepada orang lain bahawa kita cinta kepada Allah, tetapi kita palingkan hati kita kepada sesuatu yang selainNya, atau merasakan sesuatu selain Allah, yang mempengaruhi hati kita. Maka ini menunjukkan cinta kita kepada Allah tidak kukuh, ia tidak lebih daripada dakwaan semata-mata.

Selanjutnya apabila kita begitu mencintai sesuatu, maka hendaklah jiwa raga kita itu, kita berikan buat sesuatu itu. Demikian pula, kecintaan seseorang kepada orang yang dia cintai, dia harus memberikan segala-galanya kepada pihak yang dia cintai.

Demikianlah kecintaan kita kepada Allah SWT, tidak boleh dipalingkan kepada selainNya. Kerana itu, apabila kita beribadah karena mengharapkan syurga-Nya maka itu bererti kita mencintai Syurga. Dan bukan mencintai Allah. Sebab hakikat cinta kepada Allah, hanya tertuju semata-mata kepada Allah dan kita lupa kepada hal-hal yang lain selain dariNya. Apakah itu merupakan keuntungan kita yang berupa pahala dari Allah, atau ganjaran dan sebagainya, yang merupakan hajat-hajat kita kepadaNya.

Ada sebuah contoh kejadian, yang telah terjadi pada seorang Waliyullah bernama Ibrahim bin Adham. Beliau berkata, Pada suatu hari, saya bermohon kepada Allah, seraya saya mengucapkan "Wahai Tuhanku, jika Engkau telah memberikan kepada seseorang dari orang-orang yang cinta kepadaMu ketenteraman hati sebelum bertemu denganMu, maka Engkau berikanlah pula kepadaku yang demikian. Karena hatiku resah sedemikian rupa, demi cintaku kepadaMu."

Ibrahim bin Adham meneruskan katanya, setelah sering aku berdoa demikian aku bermimpi, seolah-olah aku diperintahkan Allah berdiri di hadapanNya, dan Dia 'berkata' kepadaku, Wahai Ibrahim (bin Adham), tidaklah engkau malu kepadaKu, bahwa engkau memohon kepadaKu, supaya hatimu tenteram sebelum bertemu denganKu. Apakah begitu orang yang sangat rindu hatinya akan dapat tenteram, kalau tidak bertemu dengan yang dicintainya.

Apakah orang yang begitu cinta hatinya akan dapat tenang, tanpa bertemu dengan yang ia rindukan? Ibrahim (bin Adham) menjawab, "Wahai Tuhanku, aku bingung, dalam cinta terhadapMu. Maka aku tidak tahu, apa yang aku katakan, karena itu Engkau ampunkan dosaku, Engkau ajarlah aku ya Allah, apa yang seharusnya aku mesti katakan." 


Tuhan menjawab, "Katakanlah olehmu, Wahai Tuhan, Engkau redhailah aku dengan keputusan-keputusanMu, Engkau sabarlah aku atas cubaan-cubaanMu, Engkau ilhamkanlah kepadaku kalimah-kalimahMu, untuk aku mensyukuri segala nikmat-nikmatMu."
 
Demikianlah, kejadian mengenai cinta antara hamba dengan Tuhannya, bagi diri Ibrahim bin Adham.


ilham rasa: makrifatullah hakikat cinta