Assalamualaikum wbt.
Saya ingin kongsi secebis kisah benar.
Perbualan antara seorang menantu dengan ayah mertua.
Si ayah seorang pesara sebuah institusi kewangan. Punya
kedudukan yang agak tinggi semasa bekerja dan cukup dihormati di kalangan
keluarga. Sementara menantu seorang
jurutera lulusan luar negara. Kini tiada pekerjaan tetap... dan aktif mengikuti pergerakan dakwah, tabligh,
hingga ke luar negara. Isteri tidak bekerja. Duduk di rumah menguruskan
anak-anak yang masih kecil seramai lima orang.
Satu hari ketika sedang duduk bersarapan pagi, menantu
berkata, membandingkan dirinya yang hidup serba sederhana tetapi aktif
berdakwah dan beribadah berbanding ayah mertua yang lebih banyak menghabiskan
masa dengan urusan bisnes, sedangkan sudah pencen dan semakin tua.
Lalu si ayah mertua berkata, “Ayah tak pandai berdakwah dan
ayah juga tak punya masa luang yang banyak untuk duduk lama di atas tikar
sejadah… solat dan sebagainya seperti kamu. Dan ayah juga tak punya kekuatan hati
seperti kamu yang mampu berlama-lama meninggalkan anak-anak dan isteri,
berbulan-bulan untuk berdakwah. Tetapi ayah punya kemahiran berniaga. Ayah buka
kilang, usahakan cari orang untuk bertanam kelapa sawit di tanah keluarga ayah yang kosong, beli bot laut dalam, semuanya adalah untuk bagi peluang kepada adik beradik
ayah, anak-anak buah ayah mencari rezeki halal membesarkan anak-anak dorang. Sekurang-kurangnya ayah juga dapat bagi peluang kerja kepada ramai orang, terutama kepada budak-budak Melayu
kita yang kurang pendidikan, yang sekolahnya tak tinggi…. Itu sahaja yang ayah boleh
buat sebab itulah kemahiran ayah…”
Anak menantu masih tersenyum sinis dengan kata-kata ayah
mertuanya. Masih tidak berpuas hati dengan alasan si ayah yang dilihatnya
sangat keduniaan.
Lalu si ayah menambah, “Dan ayah harus gigih mencari rezeki
untuk dapat menyekolahkan anak-anak ayah, termasuk isteri kamu dulu, dan
adik-adiknya sekarang ini sebab anak-anak ayah semua tak layak dapat pinjaman pelajaran…
dan sekarang alhamdulillah, dengan berkat bisnes ayah, ayah juga dapat membantu
kamu sekeluarga, memberi makan, tempat tinggal dan bantu persekolahan anak-anak
kamu semasa kamu keluar berdakwah berbulan-bulan…" Hanya itulah perjuangan dan ibadah ayah di dunia ini.
...Moga ayahandaku kini tenang dan damai bersama-Nya di sana... al-Fatihah
15 Januari 1997 bersamaan 4 Ramadhan 1417