kudengari satu persatu.. menusuk timpa jauh menyusuri.. hanyut.. di dasar hati.. terhampar di situ.. mata mulai berkaca meruntun airmata.. jiwa mulai basah.. jasad mulai dingin.. karam.. di situ kutemui lagi.. diriMu.

Thursday, August 21, 2014

Hikmah perjalanan...

Aku membaca...

"Sufi...orang yang baik bukan orang yang berusaha menjadi baik.
Orang yang ikhlas bukan orang yang berperang dengan riak untuk mencapai keihlasan"...
Bagaimana ya...?
Bermakna baik dan ikhlas bukan perkara yang boleh dibuat-buat. Harus ada, dan kukuh dalam diri. Dipasakkan di dalam hati dengan sebenar-benar ikhlas... maka dengan sendirinya banyak sifat-sifat baik yang lain pun akan mengikut...

------------------------------------------
Perbualan...

Aku         : ....Mata, telinga, tangan dan kaki semua Allah yang punya
Sahabat  : Kalau saya minta telinga awak, boleh?"...
Aku         : Kalau Dia berkehendak, awak dapat telinga saya... saya tak boleh buat apa!
Sahabat  : Ketawa
Aku         : Kenapa ketawa...?
Sahabat  : Bukan ker tadi awak dah kata, semua... tangan, kaki, mata, telinga Allah punya.
                  Jadi bila saya minta telinga awak, patut awak jawab, "Ambil lah... sebab
                  bukan saya punya, tapi Allah yang punya"... lantas dia sambung ketawa!
Aku          : MasyaAllah... hati kecil aku berkata, "Sungguh benar perkataan mu itu."
                  Kenapa aku mempertikai, sedangkan segala yang ada pada aku ini
                  semuanya adalah milik Dia... semuanya!

Diambil iktibar dari kisah Nabi Ibrahim as. dan Nabi Ismail. Bila mana perintah wahyu Allah, menyuruh Nabi Ibrahim mengorbankan Nabi Ismail... tanpa usul bicara, tanpa tanya dan tanpa berdolak dalik, Nabi Ismail rela dan redha dengan perintah Allah... begitu juga ayahnya Nabi Ibrahim... yakin dengan seyakin2nya bahawa perintah Allah itu benar, tentu ada hikmah kerana anak atau harta yang ada padanya hanyalah pinjaman dari Allah. 

Begitu juga kisah Nabi Ibrahim dan Siti Hajar... yang ditinggalkan di padang pasir sendirian... bersama dengan putranya, Nabi Ismail yang menangis kehausan. Namun kerana keyakinan Ibrahim yang sangat kuat bahawa perintah (kehendak) Allah adalah yang terbaik, maka tanpa alasan dan bantahan, Baginda melaksanakannya dengan ikhlas dan redha... meninggalkan isteri dan anaknya atas penjagaan dan pemeliharaan Allah semata-mata. Di bawah penjagaan Allah... sipenjaga yang paling hebat... maha segala-galanya.
----------------------------------

Kias kembara...

Katanya... masuk lah, balik ke rumah mu. Kunci rumah di tanganmu, kan? Jadi hanya kamu... Hanya kamu yang boleh buka pintu rumahmu sendiri.Masuk ke dalam rumah mu. Lihat bagaimana keadaan dalam rumah mu itu. Kalau perlu, buangkan segala benda yang tak berguna. Benda yang sudah tak kamu gunakan lagi. Apatah lagi jika benda itu sudah rosak, sudah tidak elok dipandang mata.
Nak lagi baik... kamu keluarkan semua barang yang ada, susun atur semula.
Tampal jika ada lubang yang menyenakkan pandangan. Cat dinding rumah mu dengan warna yang kamu suka. Kemudian ambil dan susun barang yang perlu sahaja. Yang tidak perlu, tinggalkan, buangkan. Nak lebih selesa, kamu pasang kipas, atau pendingin hawa....

Itulah perumpamaan dia tentang diri mu. Hanya kamu yang kenal dan tahu akan dirimu. Bukan orang lain. Hanya kamu yang tahu apa yang kamu mahu, yang kamu perlukan, yang kamu harapkan, yang menjadi matlamat hidupmu... Maka kamu sendiri yang boleh dan berwewenang menyusun atur... bagaimana, dengan cara apa, bila dan untuk apa kamu menyusun atur rumah dan barang-barang yang ada dalam rumah mu agar sedap dipandangan mata kamu sendiri... barang yang ada senang dicapai, mudah digunakan untuk mencapai matlamat dan kebahagiaan hidup mu sendiri... bukan orang lain. 

Maka hanya aku sahaja yang boleh menyusun atur diriku... hatiku. 
Apa yang harus aku buang dan campakkan jauh-jauh dan apa yang harus aku simpan elok-elok, dijagai dan disantuni dengan sebaik-baiknya. Sifat-sifat mazmumah yang menghalang aku daripada lancar perjalanan menuju ke Dia harus aku cuci bersih... riak, sombong, ego, takbur, ujub harus aku buang, dan harus kucuci bersih hatiku...Harus diganti dengan sifat-sifat mahmudah supaya sentiasa merendah diri, ikhlas, redha, jujur, amanah dan berbaik sangka sesama manusia dan itu semua hanya aku sendiri yang boleh melakukannya. Dengan bersungguh-sungguh... memohon, meminta dan merayu kepadaNya. Supaya jalan ku untuk sampai kepadaNya menjadi lebih lancar dan tepat. Dibukakan jalan-jalan dan pintu-pintu... tiada empangan dan halangan.

Dan tidak kurang pentingnya adalah sikap dan pandangan ku terhadap dia... si pemberi ilham rasa... mengenalkan aku dengan jalan ini. Jalan menuju ke Dia. Maka aku harus sabar dengan segala sikapnya, perasaannya, masa lapang dan sempitnya, keperluannya dan yang paling penting... hormat ku kepadanya harus umpama adab seorang 'murid' kepada 'guru' nya... tiada kompromi itu! Aku harus mengosongkan hati daripada hal-hal dunia, helah nafsu... dan harus hanya menumpukan sepenuhnya ke arah mendapatkan ilmu dan hikmahnya. Ini seperti mana firman-Nya:

“Allah tidak menjadikan untuk seorang itu dua hati dalam perutnya iaitu tidak masuk ke dalam hati seorang Islam jika ia memikirkan selainnya. “ (Al-Ahzab : 4)

Maka aku...
Jika dengan kegilaannya itu, aku boleh menuju tepat kepadaNya, maka aku redha dikatakan 'gila',
Jika dengan kemarahannya itu, aku boleh segera dapat bersamaNya, maka aku redha dimarah,
Jika dengan sergahannya itu, aku boleh kembali sedar diri, waras berfikir, dan melihat dengan mata hati, maka aku redha dengan sergahan-sergahan itu,
Dan jika dengan rajukannya itu boleh membuatkan hatiku santun kepada Allah, maka aku sedia memujuk...
Demi ALLAH!


Monday, August 18, 2014

Pencarian Pencari... cinta sejati!

PENCARIAN 
 
Paling aku tidak mengerti
Bagaimana mahu menyeru-Mu
Jika nama juga hijab
Antara Engkau dengan aku.

Engkau esa
Tiada hijab menemani Mu
Mana mungkin Engkau terhijab.

Berapa banyak hati sudah hancur luluh
Dalam merindui Mu
 

Berapa banyak fikiran telah berkecai
Dalam mencari Mu.

Engkau dekat
Tetapi bila didekati Engkau menjauh
Bila berhenti Engkau melambai
Bila dikejar Engkau menjauh kembali.

Bila aku di tangga rumah Mu
Engkau menutup pintu
Bila aku undur
Engkau membuka jendela
Bila aku mengintai
Engkau melabuhkan langsir.

Dalam kepayahan ini
Ddaku perlukan penawar
Penawar itu ada pada tangan Mu
Namun aku malu menghulurkan tanganku yang cemar
Untuk disambut oleh tangan Mu yang suci.

Aku tidak tergamak meminta Engkau menjadi teman
Kerana aku tidak pernah membuktikan kesetiaan sebagai sahabat
Namun hatiku gila kepada Mu
Tetapi aku malu memanggil Engkau kekasih
Kerana aku tersangat hodoh dan hina.

Janganlah Engkau murka
Lantaran si hodoh dan hina ini mengasihi Mu.

Wajahku yang hodoh dan hina
Tidak layak Engkau tatapi
Wajah Mu yang cantik berseri
Tidak layak aku tatapi
Di atas tangga rumah Mu aku terlena
Dengan harapan mataku tidak terbuka lagi
Kerana aku tidak tahan merindui Mu.

Izinkan daku bermalam di tangga rumah Mu
Dan memejam mataku di situ
Agar apabila Engkau membuka pintu
Engkau memandang kepada ku
Walaupun daku tidak memandang kepada Mu.

 

PENCARI 
 
Daku terbang mencari Mu
Lalu aku dipanah oleh pemanah
Cederalah dadaku
Adakah begini nasib si pencari Mu?

Jika Engkau bertanya apakah yang daku mahu
Jawapanku hanya satu: Engkau, semata-mata Engkau.

Selamatkan daku dari anak panah
Supaya aku terus kuat terbang kepada Mu.

Engkau Pemilik keteguhan
Masukkan daku ke dalam benteng keteguhan Mu
Agar daku menjadi teguh
Tiada anak panah mencederakan daku.

Janganlah sesiapa menggangu daku
Biarkan daku bersama yang ku kasih
Sehingga Dia mengizinkan
Daku menyertai kalian.


Untuk besama 
Cinta Sejati! 


kopipes