Aku ingin terus menangis, di jalan indah ini....
Jika ternyata dengan tangisan itu aku boleh jelas memandang dengan mata hati...
Jika ternyata tangisan itu bukan saja dapat membersihkan mata, tetapi malah dapat menerangkan pandangan mata hati...
Jika ternyata dengan tangisan itu dapat membuang semua sifat mazmumah sebagai penyucian diri dan hati...
Izinkan aku menangis ketika rasa hiba menyapa dan menghampiri di jalan nan indah ini. Mungkin ini tanda peningkatan iman..., atau apakah ini sebagai hasil pemeluapan wap air yang mendidih di atas api keluhan. Banyak pelajaran besar yang dapat aku peluk untuk dijadikan sebuah pedoman dan tauladan kehidupan.
Izinkan aku menangis sejenak bersama lantunan sendu tilawahku... sering dan selalu. Berusaha menemukan kembali sesuatu yang telah hilang di dada ini, sesuatu yang telah kering... kosong! Sungguh Tuhan... ia memang sebuah tarbiyah jiwa yang berangkulan bersama cita kepada cinta yang agung... cinta Ilahi.
Izinkan aku menitiskan air mataku di kala pertemuan-pertemuan syahdu dalam kebersamaan solatku. Karena terkadang aku seperti berada di hutan belantara, tersesat terkial-kial mencari jalan keluar dari pelbagai hembusan ujian keimanan yang menerpa tidak kenal waktu. Namun sesungguhnya pertolongan itu selayaknya begitu dekat ada di dalam solat yang seharusnya jiwa dan raga yang berdiri tegap dalam menghamba diri sepenuh dan sebenar-benarnya penghambaan. Sesungguhnya solat ku, ibadah ku, hidup ku dan mati ku hanya untuk-Mu.
Ada firman-Nya untuk setiap insan, ada kebebasan yang diberikan kepada aku namun tak secara percuma kerana ada bayaran yang harus aku keluarkan dari apa yang ku lakukan sama ada dengan senyuman rasa syukur, atau sebaliknya... dan ianya pasti akan dipersoal kelak di pengadilan tertinggi di hadapan yang Maha Tinggi.
Namun kadangkala aku seakan alpa, hilang kesedaran bahawa adanya transaksi itu... bak si penghutang yang lupa akan hutangnya... tanpa sengaja! Ada harga yang harus aku tunaikan atas segala anugerah yang menyertaiku sepanjang hidup ini. Dan seakan aku membenarkan kata-kata bahawa... kita tak mungkin dapat kedua-duanya, dunia dan akhirat. Maka jika yang aku cari dan aku kejar adalah akhirat, redha Allah, semata-mata kerana Dia, maka bersedialah untuk hilang dan derita... fana dunia. Benarkah?
Masihkah aku harus menangis...? Jika rasa yang di dalamnya bukan tangisan bersama derapan langkah menuju zat si penggenggam jiwa ini? Moga kolam mata ini dapat diempang... menangis hanya untuk Dia. Bukankah di jalan nan indah ini akan banyak aku temui tangisan-tangisan memilukan jiwa. Dengan doa yang tak pernah putus... ingin sekali aku sangkal kesakitan itu... jika ianya kerana hubungan rasa yang hadir bersama si pengembara lain di jalan indah ini.
Aku harus bangun dan bangkit setelah menangis. Di jalan nan indah ini aku tidak boleh tertipu dengan amalan sendiri. Karena sedangkan manusia suri teladan ketika baginda pernah diberikan hembusan angin syurga tatkala melakukan perjalanan horizontal dan berlanjut dengan langkah vertikal di episod Isra Mikraj, perjalanannya hanya sebatas waktu ketika bumi terlelap dalam selimut gelap semalaman sahaja. Manusia uswahtun hasanah ini harus turun kembali ke bumi tempat di mana umatnya berbolak baliknya iman dan taqwa... yang terus berlaku hingga ke akhir zaman... menghadap kehidupan sementara hidup ini.
Dan di jalan yang indah ini cukuplah aku menjadi si cekal di siang hari... dan menjadi hamba yang tunduk, sujud merayu serendah diri di malam hari. Terlahir untuk melakonkan senyuman hidup, dan mati... dan pasti akan hidup lagi di alam kekal... moga dengan senyuman kekal. Bergerak bersama semangat para pendahulu, kerana merekalah 'pelajar-pelajar' berprestasi di sekolah tarbiyah Rasulullah... generasi yang bercahaya menjadi mutiara generasi terbaik sepanjang jalan.
Selembut dan sebijak As-Siddiq si pemandu pengganti Rasulullah yang kelak kedudukannya paling dekat dengan baginda di syurga, setegas Umar si penggubah langkah melalui dakwah terang-terangan yang kelak meminang bidadari edisi khas, sepemalunya Usman... yang malaikat pun malu padanya... suami dari dua puteri Rasulullah, seberani Ali karamallahu wajhah ketika menghayunkan 'zulfikar'nya.., dia pun menjadi orang yang pertama dan pelanggan sebuah telaga di syurga. Sayidina Bilal asalnya seorang hamba abdi berkulit hitam..., namun suara terompahnya terdengar mendahului Rasulullah di syurga, juga Az-Zahra si pemimpin wanita syurga, ataupun si wanita sufi yang bernama Rabiah, serta ramai lagi yang lainnya. Maka lahirlah kita menjadi muslim..., di mana di sinilah jalan indah akan kita mulai. Tumbuhlah menjadi generasi rabbani, hidup dalam makrifah dan kelak mati dalam makrifah... Allah.
Dan izinkan lah sejenak aku menangis teruntuk air mata bagi membasuhkan kesan luka yang dalam amat, menggoreskan hati, bagi meluputkan kisah duka dalam kalbu. Aku ingin sekali bergegas menjadi paling jitu dalam melaksanakan matlamat menuju ilahi, bersama bekal warisan baginda Rasul, dan berusaha mewarisi akhlak para wanita solehah...
Dan aku ingin sekali menangis umpama tangisan bayi yang pertama kali 'melihat' dunia... menangis kerana kenal Allah, dan takut akan lupa pada-Nya. Akhirilah tangisan-tangisan yang selain itu... Biarkan mereka yang ditinggalkan menangisi aku namun aku ingin mengorak senyuman indah bersama getaran akhir nafas muthmainah di hujung kehidupan di dunia ini. Meninggalkan kesan-kesan langkahan terbaik di bumi... dan melangitkan cita cinta di tempat tertinggi dalam dakapan-Nya.
Apakah perjalanan kembara ku cukup sampai di sini... atau apakah aku masih harus terus melangkah dan mencari?...
No comments:
Post a Comment