Aku membaca...
"Sufi...orang yang baik bukan orang yang berusaha menjadi baik.
Orang yang ikhlas bukan orang yang berperang dengan riak untuk mencapai keihlasan"...
Bagaimana ya...?
Bermakna baik dan ikhlas bukan perkara yang boleh dibuat-buat. Harus ada, dan kukuh dalam diri. Dipasakkan di dalam hati dengan sebenar-benar ikhlas... maka dengan sendirinya banyak sifat-sifat baik yang lain pun akan mengikut...
------------------------------------------
Perbualan...
Aku : ....Mata, telinga, tangan dan kaki semua Allah yang punya
Sahabat : Kalau saya minta telinga awak, boleh?"...
Aku : Kalau Dia berkehendak, awak dapat telinga saya... saya tak boleh buat apa!
Sahabat : Ketawa
Aku : Kenapa ketawa...?
Sahabat : Bukan ker tadi awak dah kata, semua... tangan, kaki, mata, telinga Allah punya.
Jadi bila saya minta telinga awak, patut awak jawab, "Ambil lah... sebab
bukan saya punya, tapi Allah yang punya"... lantas dia sambung ketawa!
Aku : MasyaAllah... hati kecil aku berkata, "Sungguh benar perkataan mu itu."
Kenapa aku mempertikai, sedangkan segala yang ada pada aku ini
semuanya adalah milik Dia... semuanya!
Diambil iktibar dari kisah Nabi Ibrahim as. dan Nabi Ismail. Bila mana perintah wahyu Allah, menyuruh Nabi Ibrahim mengorbankan Nabi Ismail... tanpa usul bicara, tanpa tanya dan tanpa berdolak dalik, Nabi Ismail rela dan redha dengan perintah Allah... begitu juga ayahnya Nabi Ibrahim... yakin dengan seyakin2nya bahawa perintah Allah itu benar, tentu ada hikmah kerana anak atau harta yang ada padanya hanyalah pinjaman dari Allah.
Begitu juga kisah Nabi Ibrahim dan Siti Hajar... yang ditinggalkan di padang pasir sendirian... bersama dengan putranya, Nabi Ismail yang menangis kehausan. Namun kerana keyakinan Ibrahim yang sangat kuat bahawa perintah (kehendak) Allah adalah yang terbaik, maka tanpa alasan dan bantahan, Baginda melaksanakannya dengan ikhlas dan redha... meninggalkan isteri dan anaknya atas penjagaan dan pemeliharaan Allah semata-mata. Di bawah penjagaan Allah... sipenjaga yang paling hebat... maha segala-galanya.
----------------------------------
Kias kembara...
Katanya... masuk lah, balik ke rumah mu. Kunci rumah di tanganmu, kan? Jadi hanya kamu... Hanya kamu yang boleh buka pintu rumahmu sendiri.Masuk ke dalam rumah mu. Lihat bagaimana keadaan dalam rumah mu itu. Kalau perlu, buangkan segala benda yang tak berguna. Benda yang sudah tak kamu gunakan lagi. Apatah lagi jika benda itu sudah rosak, sudah tidak elok dipandang mata.
Nak lagi baik... kamu keluarkan semua barang yang ada, susun atur semula.
Tampal jika ada lubang yang menyenakkan pandangan. Cat dinding rumah mu dengan warna yang kamu suka. Kemudian ambil dan susun barang yang perlu sahaja. Yang tidak perlu, tinggalkan, buangkan. Nak lebih selesa, kamu pasang kipas, atau pendingin hawa....
Itulah perumpamaan dia tentang diri mu. Hanya kamu yang kenal dan tahu akan dirimu. Bukan orang lain. Hanya kamu yang tahu apa yang kamu mahu, yang kamu perlukan, yang kamu harapkan, yang menjadi matlamat hidupmu... Maka kamu sendiri yang boleh dan berwewenang menyusun atur... bagaimana, dengan cara apa, bila dan untuk apa kamu menyusun atur rumah dan barang-barang yang ada dalam rumah mu agar sedap dipandangan mata kamu sendiri... barang yang ada senang dicapai, mudah digunakan untuk mencapai matlamat dan kebahagiaan hidup mu sendiri... bukan orang lain.
Maka hanya aku sahaja yang boleh menyusun atur diriku... hatiku.
Apa yang harus aku buang dan campakkan jauh-jauh dan apa yang harus aku simpan elok-elok, dijagai dan disantuni dengan sebaik-baiknya. Sifat-sifat mazmumah yang menghalang aku daripada lancar perjalanan menuju ke Dia harus aku cuci bersih... riak, sombong, ego, takbur, ujub harus aku buang, dan harus kucuci bersih hatiku...Harus diganti dengan sifat-sifat mahmudah supaya sentiasa merendah diri, ikhlas, redha, jujur, amanah dan berbaik sangka sesama manusia dan itu semua hanya aku sendiri yang boleh melakukannya. Dengan bersungguh-sungguh... memohon, meminta dan merayu kepadaNya. Supaya jalan ku untuk sampai kepadaNya menjadi lebih lancar dan tepat. Dibukakan jalan-jalan dan pintu-pintu... tiada empangan dan halangan.
Dan tidak kurang pentingnya adalah sikap dan pandangan ku terhadap dia... si pemberi ilham rasa... mengenalkan aku dengan jalan ini. Jalan menuju ke Dia. Maka aku harus sabar dengan segala sikapnya, perasaannya, masa lapang dan sempitnya, keperluannya dan yang paling penting... hormat ku kepadanya harus umpama adab seorang 'murid' kepada 'guru' nya... tiada kompromi itu! Aku harus mengosongkan hati daripada hal-hal dunia, helah nafsu... dan harus hanya menumpukan sepenuhnya ke arah mendapatkan ilmu dan hikmahnya. Ini seperti mana firman-Nya:
“Allah tidak menjadikan untuk seorang itu dua hati dalam perutnya iaitu tidak masuk ke dalam hati seorang Islam jika ia memikirkan selainnya. “ (Al-Ahzab : 4)
Maka aku...
Jika dengan kegilaannya itu, aku boleh menuju tepat kepadaNya, maka aku redha dikatakan 'gila',
Jika dengan kemarahannya itu, aku boleh segera dapat bersamaNya, maka aku redha dimarah,
Jika dengan sergahannya itu, aku boleh kembali sedar diri, waras berfikir, dan melihat dengan mata hati, maka aku redha dengan sergahan-sergahan itu,
Dan jika dengan rajukannya itu boleh membuatkan hatiku santun kepada Allah, maka aku sedia memujuk...
Demi ALLAH!
No comments:
Post a Comment