kudengari satu persatu.. menusuk timpa jauh menyusuri.. hanyut.. di dasar hati.. terhampar di situ.. mata mulai berkaca meruntun airmata.. jiwa mulai basah.. jasad mulai dingin.. karam.. di situ kutemui lagi.. diriMu.

Sunday, July 20, 2014

Aku dari-Mu

Sungguh benar bahawa sakit itu sebenarnya adalah nikmat dan kasih sayang yang diselindungkan.... 
(kerana dengan sakit inilah, mata aku kabur.. tetapi pandangan hati menjadi terang!)

Hanya yang punya mata hati akan sedar bahawa dengan sedikit rasa sakit, DIA ingin memberitahu bahawa AKU ini wujud dalam diri mu.... paling hampir dengan mu.

AKU berkuasa melakukan apa sahaja kepada mu, maka bergantunglah semata-mata kepada AKU, bukan kepada yang lain.

Serahkan sepenuh pergantungan itu kepada AKU iaitu ALLAH yang menciptakan kamu... 

Daripada tiada kepada ada... 
dilahirkan ke dunia ini melalui rahim ibu; dan  

Daripada ada kepada tiada... 
iaitu mati, bila roh terpisah daripada jasad.

Bila badan aku sakit, maka aku sedar bahawa pencipta tubuh badan aku ini maha sempurna, bersifat kekal, dan tak akan pernah sakit.

Bila mata aku sakit, tak boleh melihat dengan jelas, membaca pun susah maka aku tahu bahawa pencipta mata aku ni adalah yang maha melihat dengan sempurna dan sangat jitu pandangannya.

Bila kaki aku sakit, berjalan pun susah, maka aku sedar dengan amat sedar bahawa pencipta kaki itu sangat kuat, sangat gagah dan sangat berkuasa atas segala sesuatu yang ada pada aku.

Bila telinga aku sakit, mendengar payah, kerja tergendala, maka sedarlah aku bahawa pencipta telinga itu maha mendengar dan sangat peka mendengar setiap perkataan ku walaupun tanpa suara.

Dan bila ada yang mengatakan bahawa aku cantik dan sebagainya, maka sedarlah aku bahawa segala kecantikan dan keindahan yang dikatakan itu adalah hak milik pemilik yang mutlak... bila-bila masa segala kecantikan, keindahan itu boleh diambil kembali tanpa amaran.... tanpa pesan.

Itulah DIA... pemilik diri aku seutuhnya.
Tanpa DIA... siapalah aku!

Sangat sedih bila mata aku yang melihat suatu keindahan, hanya melihat tanpa disertai dengan 'rasa' dan melihat DIA sebagai pemilik dan pencipta keindahan itu.... 

DIA pencipta mata tetapi kemampuan melihat itu adalah dengan rahmat dan kasih sayang-NYA jua.

Sangat kesal bila telinga aku yang mendengar segala kemerduan suara dan bunyi itu hanya mendengar tanpa ada 'rasa' mengkagumi bahawa DIA adalah pemilik dan pencipta bunyi dan suara merdu itu.... 

DIA pencipta telinga tetapi kemampuan mendengar dengan baik itu adalah dengan rahmat dan izin-NYA jua.

Sangat kesal bila selama ini aku boleh bercakap dan berkata-kata, tetapi aku tak ingat, tak 'rasa' bahawa DIA yang pemilik akal dan fikiran ini. 

Kerana segala kemahiran dan kebolehan bercakap dan berkata-kata itu adalah semata-mata atas rahmat dan izinNYA jua... si pemilik mulut.

Sangat kesal bila selama ini aku boleh menulis, melukis, memegang, memasak dan sebagainya dengan tangan... kiri dan kanan...

Tetapi aku lupa bahawa DIA lah yang dengan segala sifat maha pengasih dan maha penyayanglah yang menganugerahkan aku dengan kedua tangan itu beserta dengan bakat dan kemahiran yang membolehkan aku bekerja dengannya... dengan sempurna.

Sangat kesal bila selama ini aku boleh berjalan, sesekali berlari walaupun dengan segala kepayahan... 

Sedangkan aku lupa bahawa DIA lah yang menciptakan keupayaan aku itu dan tentunya DIA maha tahu... kenapa dan mengapa keadaan itu dianugerahkan kepada aku... tentu DIA merencanakan sesuatu yang sangat baik untuk aku sebagai hamba-NYA.

Dan yang sangat aku kesali bila aku dianugerahkan dengan pelbagai rasa... rasa kasih, rasa sayang, rasa cinta... 

Tetapi kasih, sayang dan cinta itu aku lebihkan kepada sesama manusia, sesama makhluk, kepada harta benda, pangkat kuasa dan diri sendiri, sedangkan sebenarnya si pemilik rasa itu adalah yang paling berhak mendapatkan seluruh rasa kasih sayang dan cinta dari aku... sepenuhnya, seutuhnya tanpa berbelah bahagi.

Ya ALLAH... ampun kan aku.

Aku membaca surah Ar-Rahman... تُكَذِّبَانِ رَبِّكُمَا آلَاءِ فَبِأَيِّ
Yang bermaksud, "Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?" (25)

Tetapi aku tak mengambil pelajaran darinya. Dengan hanya melihat kepada diri sendiri bahawa cukup banyak nikmat Tuhan yang aku lupakan... belum lagi melihat kepada alam dan seluruh kejadiannya. 


Aku membaca surah al-Fajr... أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ ارْجِعِي إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً
“Wahai Jiwa yang tenang, Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya". (27 – 28)


Tetapi aku tak cukup tenang dan redha dengan segala ketentuanNYA.... kadang kala masih mengeluh dan menyalahkan takdir yang berlaku... sungguh zalim aku kepada diriku sendiri. DIA hanya mencari hati-hati yang benar-benar ikhlas dan menyerah sepenuhnya kepada DIA... maka manusia itulah yang akan diterima sepenuhnya  sebagai memiliki sifat hamba kepada Tuhan nya... sebagai jiwa yang tenang... subhanallah!

Dan aku membaca surah al-Kahfi dari ayat pertama hingga akhir...

Tetapi aku tidak mengambil pengajaran darinya dengan sebaik mungkin... tentang kisah makrifat- pertemuan antara Nabi Musa as dan Nabi Khidir.... bahawa setiap sesuatu yang berlaku itu pasti ada hikmah yang tersirat sebalik yang tersurat. Setiap keburukan itu, tentunya atas rencana ALLAH Tuhan yang maha pengatur... dan di kalangan manusia ini ada yang kelihatan zahirnya jahat, zalim tetapi sebenarnya perkara mazmumah yang mereka lakukan itu pada hujungnya adalah untuk memastikan perkara kebaikan atau mahmudah berlaku... wallahualambissawab!

Dan aku juga istiqamah melaksanakan pelbagai amalan seperti puasa, solat sunat dan sedakah jariah... 

Tetapi dalam setiap amalan itu aku sentiasa mengharapkan balasan setimpal dari ALLAH... amalan ku penuh dengan doa-doa dan permintaan... rayuan dan permohonan yang semuanya untuk aku, aku dan aku...bukan beramal atas dasar semata-mata aku ini hambaNYA... ikhlas keranaNYA dan tiada lain hanya untuk DIA.

Ya ALLAH aku mohon kepada-MU...
Tunjukkan aku jalan yang lurus, jalan yang KAU redhai,
Bukan jalan orang yang mungkar,
Atau jalan orang-orang yang sesat.... waiyyanauzubillahiminzaliq!

Kini aku ingin meneruskan sisa hidupku...
Semata-mata kerana-MU,
Untuk-MU,
Mencurahkan kasihku kepada-MU,
Mendambakan cinta-MU,
Solat ku,
Ibadah ku,
Hidup ku, dan
Mati ku,
Hanya untuk-MU... 


Terima kasih, 
Kasih...dan tentu dengan kehendak-NYA jua...
Aku dipertemukan dengan jalan ini... 
'kembarahakikat!'








No comments:

Post a Comment