kudengari satu persatu.. menusuk timpa jauh menyusuri.. hanyut.. di dasar hati.. terhampar di situ.. mata mulai berkaca meruntun airmata.. jiwa mulai basah.. jasad mulai dingin.. karam.. di situ kutemui lagi.. diriMu.

Sunday, August 24, 2014

Indah hidup 'bersama' Allah....

Nak digambarkan betapa indah hidup ini bila bersama Dia, iaitu ALLAH...?

Jika dirujuk sejarah sebagai ibrah atau pengajaran... betapa indah bila Allah senantiasa di hati. Sentiasa di bibir, sentiasa dalam zikir.

Betapa indahnya bila punya hati yang dekat dengan Allah... hidup bertemankan ketenangan, jiwa lebih tenteram, melihat manusia dan makhluk lain semuanya 'baik' kerana yakin bahawa semuanya adalah penampakan Allah... "...zat-Nya kulihat pada senyuman manusia..." Begitu juga segala yang namanya 'keburukan' dan 'kejelikan' tetap ditanggap 'secara baik' kerana yakin bahawa itu pun kehendakNya jua. Maka hidup ku akan terusir dari gelisah dan sangsi...

Di mana jua kedudukan ku di mata masyarakat, namun jika hidup ku 'bersama' Allah, maka daku pasti akan mencapai ketenangan, keberanian, dan kebebasan yang tiada tandingan. Hidup dikatakan tenang tatkala pelbagai dugaan melanda... apakah itu sakit, kesempitan wang, karenah pasangan, anak-anak, majikan, sahabat, pekerjaan, namun tetap sahaja aku boleh sabar dengan senyum... (dari hati) masih bisa rasional berfikir, dan malah jadi semakin dekat dengan-Nya.

Hidup dikatakan 'berani' atau punya keberanian bila dekat dengan Allah kerana perasaan takut kepada Allah melebihi takut kepada manusia... walau didesak dengan kuasa, walau dimomokkan dengan makhluk yang tidak nampak dek mata zahir dan sebagainya, kerana yakin Allah lebih berkuasa, maka tentunya akal waras ku masih 'bebas'... bebas dari 'cengkaman' dan pengaruh... 'takutkan' manusia, hantu maupun tarikan duniawi... kerana aku ada Allah yang sentiasa bersama..

Umpama ketenangan... yang menyebabkan si miskin hidup seumpama hartawan dan jutawan..
Umpama kebebasan... yang menyebabkan hamba sahaya lebih bahagia daripada tuan yang memilikinya...
Umpama keberanian... yang menyebabkan pekerja bawah lebih cekal berbanding majikannya...

Dirujuk kepada kisah yang masih basah dalam ingatan sebagai ibrah dan pengajaran... ku kutip sejarah Rasulullah saw... betapa tenangnya Baginda dan Sayidina Abu Bakar bersembunyi di Gua Thur ketika dalam perjalanan berhijrah ke Madinah... tatkala musuh-musuh Islam sudah berdiri di hadapan pintu gua, dan hampir menemui mereka, maka Baginda Rasul menenangkan Sayidina Abu Bakar yang sangat cemas, sabdanya,

“Jangan takut, Allah bersama-sama kita” Q.S At-Taubah 9:40. Itulah kehebatan Rasulullah... Allah senantiasa di hati Baginda.

Apakah aku tidak layak untuk berkata seperti itu...?
Subhanallah... rahmat Allah itu sangat luas meliputi sekalian makhluk manusia dan seisi alam-Nya...

Maka aku juga harus dan patut selalu berkata,
"Jangan berdukacita..., Allah kan sentiasa bersama-sama ku”...
Bersama-sama aku di perjalanan ini...

Ibrah pengajaran di zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab...tatkala beliau ingin menguji seorang budak si pengembala kambing. Katanya, “Boleh kau jualkan kepadaku seekor daripada kambing-kambing mu yang banyak ini?” Jawab budak si pengembala kambing, “Maaf tuan. Ini bukan milikan ku. Aku hanya diamanahkan untuk menjaganya sahaja.” Sedangkan kambing yang dijaganya banyak, Khalifah Umar lantas berkata, “...tentu kalau hilang seekor sahaja kambing ini tidak akan diketahui oleh tuannya.” Namun budak si pengembala kambing sangat amanah. Setelah didesak-desak oleh Khalifah Umar. Maka dia menjawab,
“Jika benar katamu, maka di mana Allah?"

Perkataan yang sangat tegas... sekukuh keimanan si pengembala terhadap keberadaan Allah, kebesaran Allah dan kehadiran Allah bersama-samanya... sentiasa, selalu, dan di mana sahaja. Walau hanya seorang budak suruhan, namun dengan kejujuran dan keimanannya, dia tentu diangkat kedudukannya di sisi Allah.Walau di kelilingi kambing, hatinya tetap bersama Allah...

Dan aku, walau di kelilingi manusia-manusia yang hebat, atau malah berada di samping manusia yang menyepelekan diriku... hati ku harus tetap utuh bersama Allah... yakin Allah bersama ku... Dia 'memeluk' ku selalu, aku berada dalam dakapan-Nya senantiasa... tentunya indah pada rasa... ma sya Allah.

Aku ingin selalu mengingatkan diriku, agar sentiasa 'hidup bersama' Allah. Kedudukan dan pangkat hanyalah alat, bukan matlamat. Pangkat adalah darjat di sisi manusia sedangkan taqwa adalah darjat di sisi Allah.

Maka aku harus selalu bertanya,

“Apakah hidupku telah benar-benar 'bersama' Allah?”
“Apakah Allah telah menjadi tempat sepenuh atau segala pergantungan dan harapan ku?”
“Apakah Allah sudah menjadi tempat aku merujuk dan membujuk segala kedukaan dan kesedihan ku?”
“Apakah Allah sudah benar-benar bersarang cinta di hati ku?”
“Apakah Allah telah senantiasa ku lihat pada segenap ruang alam ini?”
“Apakah Allah kini sentiasa bermain di minda dan hati ku... berzikir kepada-Nya?”...

Dan aku masih perlu menjawab pelbagai persoalan tentang itu, namun harus juga dengan satu jawapan yang pasti... “Ya... Allah sentiasa bersama ku”

DIA ciptakan manusia dengan satu hati. Dikatakan tidak boleh ada dua cinta dalam satu jiwa... seperti mana firmanNya bahawa:

“Allah tidak menjadikan untuk seorang itu dua hati dalam perutnya iaitu tidak masuk ke dalam hati seorang Islam jika ia memikirkan selainnya. “ Q.S Al-Ahzab : 4

Maka aku, pabila ditanya, “Jadi, siapakah yang kamu cintai?”... Ikhlas..., dengan yakin jawabku, “...Cintaku, hatiku tidak dapat kuberi kepada manusia, tetapi untuk Allah semata-mata. Dalam hidupku tiada istilah “cinta manusia”... aku hanya mampu menyayangi dan mengasihi sesama manusia..."

Dengan hati yang satu itulah sewajarnya cintaku bersemi kepada-Nya. Jika cinta Allah bersinar, maka sirnalah cinta kepada yang lain... tetapi jika cinta ku kepada selain-Nya yang ada di situ, maka cinta aku kepada Allah akan terpinggir... !

Pesan seorang yang arif tentang persoalan hati, katanya, “Apabila Allah ada di hati mu, maka kau seolah-olah memiliki segala-galanya. Itulah kedamaian, ketenangan, dan kebahagiaan yang hakiki"

Kata-kata yang menyebabkan aku selalu berfikir, dan terus berzikir...

Apakah Allah telah menjadi tumpuan, perhatian dan matlamat dalam hidup ku... ?
Seumpama sufi yang binasa dalam ghairah bercintaan dengan-Nya...

Apakah yang aku fikir, rasa dan lakukan senantiasa merujuk kepada-Nya?
Seumpama salik yang telah tenggelam dan karam bersama cinta-Nya semata-mata..

Dan apakah aku sanggup menyayangi dan mengasihi manusia semata-mata kerana-Nya... dan tega untuk membenci juga kerana-Nya?
Seumpama sayang dan kasih ku kini... juga amarah dan hibaan ku..
Hanya kerana cintaku kepada ALLAH...!

Jika hidupku masih gelisah, resah dan tiada ketenangan... itu petanda aku belum benar2 hidup 'bersama' Allah...

Namun aku tidak akan pernah kecewa, dan putus asa untuk terus melangkah di jalan mujahadah ini. 'Kembarahakikat' ini akan terus ku tempuh kerana aku yakin Allah itu sangat dekat... malah sudah bersama ku, menyatu. Selangkah aku mendekat, seribu 'langkah' Dia merapati ku.... kerana keindahan yang ingin ku kecapi untuk 'hidup' bersama Allah, bukan berada di hujung perjalanan ku tetapi keindahan itu di SEPANJANG PERJALANAN kembara ku ini... in sya Allah.






No comments:

Post a Comment