Mohon kekuatan dan petunjuk dari Allah jua...
Actually sangat susah untuk aku mula menulis, berkongsi rasa, pengalaman dan mengayat di sini. Jenuh juga memeras otak mencari idea... nak bermula bagaimana, nak kick-start dengan apa?
Berfikir dan melamun panjang juga lah dibuatnya....
Berfikir tidak sesukar berkata-kata,
Apatah lagi jika kata-kata yang bakal muncul itu harus dikota,
Kerana berfikir itu urusan hidup yang dilakukan senantiasa.
Memikir tidak sesulit tindakan,
Kerana dengan memikir sahaja, tak bakalan ke mana,
Tetapi tindakan itu lah yang akan diperhitungkan-Nya di sana.
Lantas teringat pesan dia, sahabat yang dikasihi... "Usaha mengenal diri untuk mengenal Dia harus dimulakan dengan penyucian hati..." Dalam hati aku mengiakan... "Bila hati bersih, dah tak ada sifat-sifat mazmumah, barulah hati akan tenang, mudah ingat kepadaNya... Itu baru tahap basic dik"... Ya aku setuju sangat. Hanya saja tak terfikir pulak ke situ... sebab dalam otak yang dikuasai rasa teruja, ligat membayangkan, bagaimanakah rupa sahabat lama ku ini kini..? Allah... astaghfirullahaladzim..! Dan lamunan aku tersentak bila sahabat lantas menambah, "Bab-bab penyucian hati ini banyak di internet. Cubalah goole." "Orite bang"... kata aku dengan semangat berkobar... Ya ya! pasti ku terjah pakcik google.
Dan tadi... (hanya setelah beberapa hari berlalu...) aku baru menggoogle, maka bertemu dengan link ini. Sangat mudah bahasanya untuk aku faham,,, kalau ada masa luang, sila lah ke link tu ya..
Antara permulaannya, dikatakan HATI mesti dipimpin agar ia menjadi bersih atau baik. Kerana
membersihkan hati adalah wajib. Bila ia bersih, akan membersihkan
seluruh kehidupan lahirnya... Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, "Ketahuilah bahawa dalam jasad
manusia ada seketul daging (segumpal darah), jika baik maka baiklah
seluruh anggota dan jika rosak maka rosaklah seluruh anggota, itulah
hati"...
Dari link tu dinyatakan beberapa tingkat latihan yang kena dilalui dalam usaha menyucikan hati. Namun dek kerana kan keterbatasan minda... (..yang sedang serabut...) maka aku hanya sempat merungkai setakat latihan tahap pertama iaitu mujahadatunnafsi.... iaitu peringkat pertama dikenal sebagai Takhalli, kedua Tahalli dan ketiga Tajalli....
Pertama Takhalli iaitu mengosongkan, membuang atau menyucikan diri daripada sifat-sifat yang keji.... contohnya sifat bakhil atau kedekut, dan juga rasa takut kepada manusia. Ini seperti kata sahabat akulah, "Berasa takut dan bimbang kepada 'pandangan manusia' terhadap diri kita"...ya, bimbang dikatakan jahat, bimbang dikatakan bodoh, bimbang dikatakan miskin dan sebagainya.. hingga membuatkan kita lebih banyak berpura-pura. Kita bukan diri kita yang sebenar sebab takut pada pandangan dan nilaian manusia lain. Hiss... rasa macam tak jer kan... tak buat lah benda-benda camtu tapi ada kalanya kita buat melalui tulisan. Cakap lain, buat lain... cakap tak serupa bikin. Ada tak, pernah tak camtu? Dalam tulisan kita profesional, maintain macho, control ayu... untuk apa sebenarnya? Kita jadilah diri kita sendiri...boleh kan! Kena walk the talk!
Kemudiannya sifat takbur... iaitu rasa besar diri, ujub dan bangga atas diri sendiri.... masyaAllah! Terasa sayu pulak... ini yang buatkan hati aku terdetik, mungkin baiknya blog "X Yogya 91" aku tamatkan sahaja!... mohon petunjuk dan kekuatan dari-Mu jua ya Allah.
Mungkin pada sesiapa yang biasa mengikuti blog aku tu boleh setuju kot... kan!
Kedua dengan mengisi atau menghiasi diri dengan sifat-sifat terpuji... atau Tahalli. Melawan sifat bahkil dengan banyakkan bersedekah terutamanya ketika susah... Nabi bersabda, "Allah suka kepada orang kaya yang pemurah tetapi Allah lebih suka kepada orang miskin yang pemurah". Lagi tak ada duit lagi kita bagi duit kita yang sikit tu kat orang... boleh ker buat, nak buat, mampu buat? Tapi memang kena buat, kalau nak bersihkan hati dari sifat keji yang ala-ala 'haji bakhil' tu.
Sifat takbur kita gantikan dengan sentiasa merendah diri, mengakui kelemahan dan kekurangan diri. Nak atasi rasa takut kepada makhluk pulak, kita usaha letakkan rasa takut hanya semata-mata kepada Allah, tidak pada yang lain, sama ada kepada sesama makhluk manusia maupun binatang ataupun makhluk yang tidak nampak di mata seperti hantu.. Eh! ada ke hantu-hantu ni?... Termasuk syaitan, iblis, jin dan sebagainya... Hanya Dia pemilik segala-galanya. Allah itu dekat tetapi tak bersentuh, jauh-Nya tidak berjarak... kerana wujud Dia tak macam kita manusia yang boleh dipegang, boleh dipeluk, boleh disentuh.... namun boleh di 'rasa'....
Dan seterusnya sifat Tajalli iaitu terasa kebesaran dan kehebatan Allah atau sentiasa 'rasa bertuhan'.... Pada aku inilah 'rasa' yang paling indah. Sentiasa rasa ingin bersama-sama-Nya, bercinta dengan-Nya, berbicara dengan-Nya, dekat dengan-Nya, dan sebagai matlamat tertinggi aku... berjumpa dengan-Nya di sana... Allahu akhbar!
Aku ada dapat satu doa... tapi lupa dari mana, bunyinya, "Ya Allah aku menyintai-Mu, dan aku memerlukan-Mu, maka datanglah dan terangilah hatiku dengan cahaya cinta-Mu"... doa inilah yang aku amalkan kini... moga-moga kasih-Nya dan cinta-Nya dapat aku miliki seutuhnya... aamiin!
Tatkala 'rasa' cinta kepada-Nya mengalir tenang,
rasa cinta kepada manusia menjadi terang,
bukan untuk dilupuskan,
tetapi untuk diuruskan,
dengan sebaik mungkin.
Tatkala 'rasa' cinta kepada-Nya hebat membara,
rasa cinta kepada manusia hilang seketika,
bukan untuk dilupakan,
tetapi untuk diluruskan,
agar cinta itu semata-mata kerana Dia.
Bila sifat-sifat keji kita biarkan menguasai hati, iman tidak akan ada
tempatnya... nauzubillahiminzaliq! Bila iman tidak ada, manusia bukan lagi menyembah Allah,
Tuhan yang sebenarnya tetapi akan menyembah hawa nafsu... makna manusia bertuhankan hawa nafsu... Usaha melawan hawa nafsu jangan diambil mudah dan dianggap ringan.
Ia satu jihad yang besar....terutama dalam usaha membersihkan hati aku untuk boleh dapat dekat dengan-Nya...
Agar ALLAH sentiasa di hati... umpama zikir yang berterusan!
Oh Allahurabbi!
Tentunya suatu anjakan paradigma yang lebih besar dan hebat harus aku lakukan... pasti! ...
Sekali lagi menung dan lamun ku menjela....
Bismillahi Rahmaani Rahiim.
"Mereka yang bermuhajadah (berjihad untuk mencari keredhaan Allah) pada jalan Kami, akan Kami tunjukkan jalan-jalan Kami. Sesungguhnya Allah berserta orang yang berbuat baik.”
(Al Ankabut: 69)
No comments:
Post a Comment