Entry kali ini tak bertajuk. Sebab saya tak tau nak letak tajuk apa.
Tujuan nya hanya share sedikit apa yang saya "rasa"... itu sahaja!
Dengan kehendak Allah jua, petang hari Sabtu lepas, saya menerima pm atau personal message, lewat facebook, dari sahabat sama batch, sama kelas dan sama seusrah semasa study di seberang dulu... apa pun tujuan nya, syukur alhamdulillah. Saya ikut ajer.
Melalui kemudahan teknologi kini, sahabat lama yang dah terpisah dapat bertemu semula, silaturrahim yang terlerai dapat disambung kembali, dan ikatan persaudaraan juga boleh dieratkan...andai teknologi dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.
Classmate saya masa study dulu overall Indonesian. Ya lah, sebab saya belajar first degree dulu, di Universitas Gadjah Mada (UGM), tepatnya di Daerah Istimewa Yogyakarta, Jawa Tengah, Indonesia. Jadi bila saya di add oleh admin group WhatsApp kelas, maka perkara pertama yang saya buat selain memberi ucapan "salam" dan "terima kasih" adalah 'menyemak' Group Info. Bukan apa, sebab kebanyakkannya saya dah lupa nama. Jadi dari info tersebut, boleh lah tengok wajah-wajah mereka. Kot-kot lah boleh recall, dengan ingatan yang masih bersisa nih. Al-maklum dah terpisah sejak tahun 1996 apabila saya pulang ke tanahair.
Dan di sini, saya tak lah mahu berkisah banyak, hanya saja ingin berkongsi apa yang saya rasa dan terlintas di fikiran.
Memang ramai kawan-kawan yang berada dalam group ini. Maklumlah satu kelas, student Kursus Komunikasi Massa, angkatan (batch) tahun 91... kesemuanya ada laa dalam 50 orang. Mungkin tak semua, tapi rata-ratanya saya kenal dan ingat. Kami sama-sama dari First Year hingga grad. So lebih kurang 50 orang termasuk saya. Ada yang kini sedang sambung PhD di USM Penang, di Australia, di Singapura, dan ada juga yang berkahwin dengan orang asing, lantas kini menetap di luar negara, di Paris, di Holand, di Ireland. Bukan sahaja asal mereka dari pelbagai daerah di Indonesia, malahan agama dorang juga pelbagai. Ada keturunan Jawa yang beragama Kristian. Dan Kristian nya juga ada pelbagai aliran. Ada Kristian Katolik, ada Kristian Adven, Kristian Prostestan, dan ada Kristian-Jawa. Ada juga yang berbangsa Jawa tetapi beragama Hindu, Hindu-Jawa.
Selain Jawa, kawan-kawan saya ini juga ramai yang berbangsa Cina, tetapi mereka tidak dibenarkan menggunakan nama Cina (seperti Cina di negara kita). Jadi nama mereka sama seperti orang-orang Indonesia yang lain, walau berbeza agama dan bangsa. Melalui rukun negara mereka yang dikenal sebagai Bhineka Tunggal Ika bermaksud "berbeza tetapi satu", semua rakyat adalah sama. Jadi yang pertama, mereka harus sama dari segi nama. Tak ada yang bernama "Yap Ah Loi" atau "Parameswary"... sedangkan nama Parameswara adalah Raja yang dikatakan berasal dari Palembang, Indonesia. Pelik, kan!
Bila dah tau gini, nak bagi salam pun saya memikir dua kali sebab tak semua kawan-kawan saya beragama Islam, walau raut wajahnya sama, nama-nama mereka juga bunyinya hampir-hampir sama, yang tersangat lah ke Indonesiaan nya.
Kawan-kawan saya ni berasal dari seluruh daerah di Indonesia seperti Jakarta, Bandung, Surabaya, Bali, Padang, Medan, Palembang, Kalimantan, Sulawesi, Nusa Tenggara, Batam, Acheh dan lain-lain lagi, dan pastinya bahasa mereka juga pelbagai. Tetapi dalam WA group ni, mereka menggunakan bahasa Jawa instead of bahasa Indonesia, kerana majoriti mereka boleh berbahasa Jawa setelah lama menetap dan bergaul dengan masyarakat Jawa ketika studi di UGM dulu.
Maka saya terfikir... rugi pulak saya sebab saya tak berusaha untuk boleh berbahasa Jawa, sedangkan arwah ayah saya ada darah keturunan Jawa, dan boleh bercakap Jawa dengan baik.
Dan lebih menjadi fikiran di benak saya ini, mereka iaitu kawan-kawan saya ini, punya latar belakang yang saling berbeza, bahasa pertuturan yang berlainan, dari keturunan atau suku yang pelbagai, agama mereka juga saling berbeza, bukan semua nya Muslim dan beragama Islam, tetapi mereka sangat kompak (sepakat) bila memperkatakan tentang negara, kedaulatan bangsa dan toleransi agama. Mereka masing-masing saling mengingatkan pada tanggungjawab seorang penganut kepada agama yang dianutinya, agar sentiasa mengingat Tuhan. Saling mengingatkan agar hadir ke majlis pengajian mengikut kepercayaan dan agama masing-masing.
Kalau saya lah, rasa macam tak terkeluar suara nak berkata, "Jangan tidur lewat. Nanti bisa telat (lambat) ke gereja". Sedangkan yang mengingatkan itu seorang kawan yang pegangan agama Islamnya kuat. Tetapi pada mereka, yang penting "percaya kepada Tuhan" kerana konsep percaya kepada Tuhan, pasti membawa kebaikan. Orang yang punya agama, punya Tuhan, pasti menjadi manusia atau orang yang baik. Segi syariat- kehidupan atas dunia, orang baik, manusia yang baik disayangi ramai. Walau nama bunyi Islamik.. ada "Mohd" atau "Umi" kat depan, beragama Islam jugak tapi kalau perangai tak elok, buruk, suka menipu orang, menipu rakyat, dah tentu orang tak suka, ramai orang benci. Menjatuhkan imej negara dan agama Islam pun ya jugak.. kan.
Tiada agama di dunia... agama-agama asal lah seperti Kristian, Hindu, Buddha, Sikh yang mengajak penganutnya kepada perbuatan mungkar seperti membunuh, merompak. Semua agama mengajar pengikutnya agar saling berkasih sayang, amanah dalam bekerja, bekerjasama, bertanggungjawab dan yang penting, menjadi manusia yang baik. Dan semua agama ini juga menuju kepada Tuhan yang sama iaitu "Allah" namun dengan cara yang berbeza-beza.
Di sinilah letaknya perbezaan antara agama Islam dan bukan Islam, bahawa Islam agama yang jelas. Tiada pengantara antara penganut dan Tuhannya. Seorang yang beragama Islam boleh langsung berkata-kata kepada Tuhannya iaitu Allah. Kerana kita percaya dengan yakin bahawa Allah itu Maha segalanya. Allah Maha Mendengar, Allah Maha Penunai, Allah Maha Mengetahui, Allah Maha Melihat, Allah juga lah yang menetapkan segala kejadian dan peristiwa. Setiap gerakkan adalah gerakkan Allah, setiap pandangan adalah pandangan Allah, setiap pendengaran adalah pendengaran Allah. KIta ini hanya mengikut sahaja.
Dan hakikat nya, semua yang berlaku adalah baik mengikut perancangan dan pentadbiran Allah jua. Maka tiada apa yang mahu dikesal dan disesalkan...
No comments:
Post a Comment