Pagi ini saya beralih angin. Daripada kebiasaan minum di Anjung 17, saya menapak sedikit jauh ke Cafe di bawah, bersebelahan dewan persidangan. Entah kenapa, tiba-tiba bila terdengar seorang staf bercakap-cakap tentang roti canai, saya langsung kepingin makan. Dan tak semena-mena itulah saya bersuara dari dalam bilik, "Eh, you all nak minum kat belakang ya? Saya nak ikut lah. Tunggu jap..." Kata saya.
Maka pagi ini meng'roti tempel lah saya... (roti tempel adalah roti canai kosong yang ditempel dengan sebiji telur mata kerbau atau mata sapi). Lucu kan.. Dengan roti telur, kira macam sama, tetapi tak serupa! Dan yang special nya roti canai di cafe belakang ni ada lah pada kuah karinya yang kick. Alhamdulillah... sedap!
Mengambil sarapan pagi adalah satu 'kewajipan' bagi saya. Dan saya kira satu amalan yang harus dilakukan oleh semua orang. Setelah perut diisi kali terakhir semalam petang, maka sebaiknya diisi sebelum memulakan aktiviti hari ini.
Namun kalau ikutkan hakikatnya, boleh sahaja tak makan. Tiada masalah. Dan memang ada orang yang boleh bertahan beberapa hari tidak makan. Tak mati pun. Apa lagi kalau cuma tak makan nasi, tetapi makan dan minum yang lain seperti biasa. Tak jadi isu. Dan ada orang yang cuma minum air paip. Buka paip, terus minum. Tak payah masak atau tapis. Elok jer. Tak pulak kena penyakit taun atau typoid, ya tak?
Pokok pangkalnya pada keyakinan. Kalau yakin dengan hanya minum air kosong kita boleh tahan, dan bertahan untuk dapat beraktiviti seperti biasa, memang cukup cantik. Tapi kita ada yang namanya "nafsu". Nafsu inilah yang membuat pilihan. Hari ini nak makan apa, dan makan di mana?
Bila tak berselera makan, orang selalu kata, "Hari ini saya tak ada nafsu nak makan..." Makna selera makan, keinginan makan itu adalah kerana wujudnya "nafsu".
Bila masuk bulan Ramadhan, kita dengar pulak ustaz-ustaz kata, "Puasa mengajar kita menahan nafsu.." Nafsu yang dimaksudkan bukan sahaja nafsu makan tetapi nafsu terhadap macam-macam. Nafsu membeli belah; nafsu makan minum- yang berlebihan; nafsu nak beli pakaian cantik/mahal/branded- sebab nak sambut raya; nafsu tidur- alasan puasa/lapar tidak larat bekerja; nafsu riak- nak rumah nampak cantik dengan perabut baru, kuih raya banyak; dan segala macam kehendak yang terlampau.
Maka sebenarnya kalau kita faham hakikat... (roh) puasa, bukan setakat menahan nafsu menuruti kehendak kemanusiaan di bulan Ramadhan tetapi sepanjang hayat. Ini kerana nafsu yang ada, kehendak dan keinginan manusia itu tiada batasan. Terutama dari segi makan minum. Hingga ada yang berkata dengan sinis sekali, "Puasa itu untuk berbuka.. " atau maksud lainnya, seolah-olah nya kita berpuasa sepanjang hari supaya nanti nya seronok dan rasa sangat nikmat tatkala berbuka. Allahuakhbar! Itu yang keinginan makan minum nya bermaharajalela. Semua benda nak di makan. Semua makanan kita teringin makan... kerana ada yang namanya "nafsu".
Nafsu ini adalah sebahagian daripada diri. Ia anasir yang bergantung kepada roh. Kalau tak ada roh (tak ada nyawa), masakan kita boleh bernafsu? Jadi nafsu itu, bukan diri. Diri yang sebenar-benar diri itu, adalah diri yang berdiri dengan sendiri, tanpa bergantung kepada sesiapa!. Makna kalau hidup tanpa nafsu itu, boleh. Dan bukan suatu yang pelik.
Dan jadi lebih baik juga kalau hidup tanpa nafsu, kerana bila sebut "nafsu" konotasinya adalah kehendak kepada benda-benda yang tidak baik atau berlebihan, yang over. Sedangkan jika keinginan pada yang biasa-biasa ajer kita sebut 'rasa lapar', maka kita makan minum yang secukup nya, seada nya; berpakaian sebagai zahir 'rasa malu' yang penting bersih dan sesuai serta menutup aurat; ada rumah, cukup untuk memenuhi keperluan 'rasa selamat' untuk hidup dan tinggal; ada kenderaan untuk bergerak dengan 'rasa senang' dan mudah ke mana-mana; dan pelbagai rasa lagi, termasuk 'rasa sayang' yang tidak didasari atas nafsu.
Sayang dan menyayangi seseorang, tanpa apa-apa syarat, atas 'rasa ikhlas' serta 'rasa syukur' dan berterima kasih kepada Allah.
Tu sebab bila kita berusaha lawan nafsu, kita cuba dengan 'matikan diri'. Anggap diri ini mati, kita dah mati. Orang mati tiada roh. Kalau ada roh maka akan adalah nafsu. Matikan diri, binasakan diri, kosongkan diri. Diri binasa, roh tiada, nafsu juga, yang tinggal adalah Allah semata-mata.
Maka akan batal lah semua keinginan kemanusiaan kita terhadap dunia, dan sifat-sifat keduniaan nya...
No comments:
Post a Comment