kudengari satu persatu.. menusuk timpa jauh menyusuri.. hanyut.. di dasar hati.. terhampar di situ.. mata mulai berkaca meruntun airmata.. jiwa mulai basah.. jasad mulai dingin.. karam.. di situ kutemui lagi.. diriMu.

Monday, August 24, 2015

Suara hati....

Alhamdulillah... puji syukur teruntuk hanya kepada Allah SWT.
Memulakan hari-hari bekerja dengan semangat. Berusaha dinafikan sinis-sinis Monday Blues'.

Apa pun syukur kerana punya pekerjaan yang baik; ada tempat untuk mencari nafkah yang sangat selesa; jadi asbab diberi sedikit rezeki oleh Allah melalui manusia untuk saling berkongsi dengan yang lain; lantas diberi peluang berkhidmat kepada negara atas nama ibadah, lillahi Taala.


Niat kan untuk apa jua, namun tetap dari Allah, kerana Allah, untuk Allah jua.
Melalui 'tangan' yang dipinjamkan-Nya kepada saya, pendapatan yang diterima hanya menumpang lalu sahaja untuk disampaikan kepada orang lain, seramai mungkin, untuk sebaik mungkin tujuannya.

Memberi bukan untuk mengharap balasan pahala, atau syurga. Memberi juga bukan dari kita kerana kita sebenarnya tak memiliki apa-apa. Apa yang jadi harta kita hanyalah... pada pakaian yang dipakai dari hari ke hari hingga lusuh, koyak lalu dibuang; dan juga pada makanan yang masuk ke mulut, terkumpul di perut lalu diproses dan dibuangkan juga... (akhirnya) menjadi najis. Itulah yang sebenar-benar rezeki saya, rezeki kita. Lain nya semua bukan milik kita. 

Kalau hak milik kita tentu boleh dibawa mati. Andai ditakdirkan malam ni tidur, esok pagi mati, dah tak bangun-bangun lagi, lalu ditanam bersama-sama segala harta yang ada, ikut masuk kubur, itu boleh lah disebut sebagai harta kita, hak milik kita. Rosak dan reput bersama-sama kita di dalam lahad.

Dari segi hakikat, memang tak ada yang namanya milik kita. Tangan yang menekan-nekan keyboard menaip ini juga bukan milik saya. Tidak sahaja zahirnya, pada sekujur tangan yang boleh dilihat dan dipegang, tetapi yang menggerakkan tangan juga bukan dari tenaga saya, malah yang berkehendak agar tangan dan jari-jemari ini bergerak juga bukanlah kehendak saya. Saya hanya mengikut sahaja- sebagai penampakkan sifat Allah atas diri manusia.

Manusia itu dicipta untuk Allah menzahirkan kekuasaan-Nya, kekuatan-Nya dan segala sifat-Nya.

Namun setiap yang berlaku itu tidak boleh dianggap sebagai kebetulan. Berlaku tanpa punca dan sebab. Tiba-tiba sahaja Allah nak buat, maka ia berlaku. Tidak lah begitu. Untuk menampakkan kepada manusia bahawa sesuatu itu ada asbab, ada sebab dan musabab sebagai menunjukkan kesinambungan perjalanan hidup yang signifikan. 

---------------------- 

Turun dari bangunan pejabat petang tadi, hujan dah agak reda, tapi masih renyai-renyai. Saya redah jer. Malas buka payung. Agak jauh juga tempat kereta saya parkir. Tapi tak per lah. Bukan hujan batu, hujan air. Paling teruk pun, saya basah lah sedikit. 

Memandu menuruni bukit, melalui pintu gerbang, di sebelah kiri, atas laluan pejalan kaki yang basah dek hujan lebat sebelumnya saya lihat sekumpulan orang duduk bersila. Dalam hati saya berkata, "Eh, ada piket rupa-rupanya. Isu apa ya? Perhimpunan BERSIH 4.0 belum lagi. Kesian nya. Basah, berhujan pulak..." Hati saya bersoal jawab. Waktu petang-petang begini, sudah melebihi jam 6, di pejabat sudah tak ada sesiapa... (maksud saya orang-orang besar lah) dan lagi pula sekarang bukan dalam sesi persidangan. Dan mereka hampir kesemuanya adalah keturunan Cina. "Apa pun, moga dipermudahkan urusannya" Bisik hati kecil saya, sambil perlahan-lahan memandu pergi. 

----------------------- 
Tanpa sebab orang tak akan buat kerja 'bodoh'. Istilah "bodoh" pada orang yang tak faham, dan tak mahu faham. Kalau tak ada angin, masa kan pokok bergoyang. Kalau tak ada sebab dan musabab masakan manusia mahu menyusahkan dirinya. Berhujan, berpanas, kelaparan, menanggung risiko ditangkap, waimma dibunuh sekalipun mereka sanggup jika sampai tahap keselamatan dan jaminan kehidupan mereka tergugat.

Sungguh... dalam apa pun jua perkara, jangan bergantung harap kepada manusia. Rezeki itu urusan Allah. Bukan kuasa manusia. Keselamatan, keamanan, bahagia, ceria semua atas tadbiran dan susunan Allah. Jangan minta kepada manusia, akan tetapi begitulah kenyataannya... masakan sesuatu berlaku secara tiba-tiba, secara kebetulan. Pasti punya asbab, sebab dan musabab. Maka untuk berjaya kena berusaha. Untuk capai sesuatu harus lakukan sesuatu.

Saya solute kepada mereka yang berani menegakkan kebenaran. Berani maju ke hadapan memperkatakan sesuatu yang benar biarpun bakal menerima ugutan, cacian, makian malahan nyawa terancam. Bukan semata-mata berangan-angan menjadi "keyboard warrior"... (seperti saya....) 

Teringat kata-kata seseorang kepada saya, "...Tak per lah, orang lain suarakan hak dan kebenaran, berdemo, piket, tunjuk perasaan minta perhatian dari pihak yang berkuasa. Nanti orang-orang yang cuma memerhati, yang dah selesa ni merasa juga hasilnya..." 

Satu-satu isu atau memorandum yang dibawa bukan membawa 'hasrat' dan permintaan individu sahaja tetapi mewakili seluruh rakyat negara ini. 

-------------------------- 

Ya Allah... tak kan you all tak terasa... seperti apa yang saya rasa?


No comments:

Post a Comment