Salam Jumaat... sayyidul ayyam, penghulu hari.
Saya teringat ayat yang selalu saya sebut suatu ketika dulu tatkala bergelar perantau, "Apa yang penting dan jadi matlamat utama adalah memanusiakan manusia" Bukan semata-mata nak dapat ilmu buku, dapat teori tetapi yang penting ilmu hidup, ilmu supaya 'jadi manusia' seutuhnya. Punya hati, punya perasaan, punya ehsan... dipelihara selalu!
Sesuai dengan firman Allah dalam surah at-Tiin:4, yang bermaksud, "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)"
Manusia adalah sebaik-baik makhluk yang Allah cipta, dengan segala 'kelengkapan', dengan sifat zahir- jasad yang dipinjamkan Allah, sesuai dengan keperluan manusia untuk hidup, bekerja, beraktiviti dan sebagainya. Dan sifat batin, iaitu ruhani atau roh- nafas untuk hidup, diberi akal untuk berfikir, dan diberi nafsu untuk berperasaan. Dan yang penting dapat menggalas fungsi-fungsi kemanusiaannya, jasad/zahir manusia itu.
Sambil berfikir itu, benak saya menerawang jauh, sementelah mata saya ketika itu sedang menatap online news mengenai ribuan pelarian Rohingya yang hanyut di tengah laut. MasyaAllah. Bukan sahaja kaum lelaki, malahan ada wanita dan kanak-kanak. Kapal atau tepatnya tongkang yang mereka naiki sarat dengan manusia dan barang-barang. Dalam hati saya terdetik, "Kalau lah kapal ini karam..." Apakah syahid mereka-mereka ini? Mereka melarikan diri, memohon perlindungan daripada kekejaman dan penindasan yang berlaku di dalam negara sendiri. Ditindas oleh penguasa kafir yang punya matlamat menghapuskan mereka... (etnik Rohingya) yang majoritinya Muslim. Sungguh... Allah yang berkehendak. Tentu punya hikmah pengajaran yang sangat besar.
Ralit saya terganggu bila pakcik HP berbunyi. Ada WhatsApp yang masuk. Info dari group xUGM-Yogya. Tepatnya dari seorang sahabat, yang kini doktor pakar kanser di Hospital Serdang, mengajak saya menyertai program amal, "Memberi makan kepada para gelandangan di sekitar Bandaraya KL". Saya respons, "InshaaAllah. Nanti beri info lanjut ya".
Sedang terkial-kial menaip di keyboard HP dengan jari jemari saya yang sedikit besar ini... (lalu asyik typo jer...) kakak saya sampai. Kami berjanji nak ke kilang Beryl's. Anak-anak nak bagi kawan-kawan mereka yang datang beraya coklat saja, instead of duit raya. Okay lah. Saya ikutkan jer. Alasan mereka, kita bagilah coklat yang sedap. Sebab kawan-kawan ada yang tak tau ada kilang coklat sedap kat sini. Dalam hati saya berkata, syukur juga dorang tak minta dua-dua. Bagi coklat dan duit raya. 'Selamat' bajet ibu nyer.
Saya pun bersiap-siap untuk keluar. Oleh sebab kakak belum sarapan, maka kami menuju ke restoran mamak dulu. Saya pun turut sarapan untuk yang kedua kalinya. Roti kosong dan kopi O panas.
Sedang leka menikmati sarapan, datang tiga orang kanak-kanak lelaki. Ketiga-tiganya saya kira adik-beradik. Rambut mereka sedikit keperangan. Bukan sebab mereka orang asing atau keturunan mat saleh tapi perang macam tu biasanya sebab banyak terdedah kepada pancaran matahari, berpanas. Mereka menadah tangan, minta duit nak beli makanan, katanya. Sebelum bagi duit, saya dan kakak galak 'menemuramah' mereka. Ya lah kan, tak pernah-pernah ada 'peminta sedekah' seperti ini. Memang saya akui, kawasan perumahan flat di sekitar sini suatu ketika dulu adalah penempatan sementara kepada mangsa peperangan pembersihan etnik Bosnia-Herzegovina. Flat-flat di sini lebih terkenal sebagai "Flat Bosnia" walaupun kini dah tak ada sorang pun orang Bosnia yang tinggal di situ. Selain beberapa kerat orang tempatan, rata-ratanya adalah pekerja asing Nepal, Vietnam, Bangla, Philipine dan Indonesia... (tak yah cakap lah. Memang mereka majoriti...) yang dibawa masuk oleh toke-toke kilang berdekatan.
Daripada sesi interrogation, kami dapati mereka bertiga adalah penduduk flat Bosnia. Ayah orang Indonesia, bekerja kontrak di Kajang, dan emak orang Sabah kerja di KLIA... (jauh tu..) Pagi-pagi bila emak, ayah nak keluar bekerja, mereka di suruh duduk di luar rumah tanpa apa-apa bekalan duit atau makanan. Pintu dan grail rumah dikunci. Bermakna anak-anak ini memang dibiarkan merayau-rayau di sekitar flat mengharapkan belas ehsan orang ramai. Mereka ini masih usia kanak-kanak. Yang abang baru umur 10 tahun, nombor dua 8 tahun dan adik nya 4 tahun. MasyaAllah!... ada emak ayah yang tega memperlakukan anak-anak seperti ini.
Dan memang benar, bila kanak-kanak itu berlalu setelah kami belikan makanan, dan beri sedikit duit, pekerja restoran beritahu, budak-budak tu tiap hari masuk restoran, minta 'sedekah' dari orang yang duduk makan. Saya dan kakak saling memandang. Pada kami, kan ker baik kalau toke restoran sedekah makanan pada budak-budak bertiga tu. Cuma yang jadi sedikit curiga, nanti emak ayahnya ambil kesempatan pulak. Lepas tangan dan tanggungjawab terhadap makan minum anak-anak nya, serah kepada orang. Atau mungkin, awal-awal dulu memang begitu kisahnya. Entah lah...
Ini yang kadangkala kita jadi serba salah. Kita membantu, menolong sebab kesian tengok budak-budak, tapi ibarat menggalakkan perbuatan tak bertanggungjawab emak ayah nya, dan kalau tak menolong, buat-buat tak nampak, tentu dianggap tak punya perasaan, tiada sifat perikemanusiaan. Memang serba salah dibuatnya.
Selesai membeli coklat, dalam perjalanan balik, saya dan kakak banyak membicarakan perihal kanak-kanak yang minta sedekah tadi. Pada saya, yang penting niat. Membantu kerana pada ketika dan saat itu tadi, kanak-kanak bertiga tu memang 'wajib' dibantu. Memang mereka sedang kelaparan, dan dahaga. Merayau-rayau di sekitar flat, perumahan dan tak ada tempat berehat yang sepatutnya. Tentang sikap emak ayah dorang, kita hanya boleh mendoakan yang terbaik. Pasti ada hikmah yang sangat besar, kenapa Allah temukan kami... (saya dan kakak) dengan kanak-kanak seperti ini, dengan perangai emak ayah yang sebegini.
Sebenarnya ramai orang di sekeliling kita... di sekitar saya, kakak dan kita semua sangat memerlukan bantuan. Tak kira lah usia berapa pun mereka, sama ada kanak-kanak, orang dewasa, warga emas. Mereka berada di sekeliling kita, berdekatan dengan kita dan sangat memerlukan bantuan. Sama ada dari segi wang ringgit, makanan, tempat tinggal, perlindungan dan yang tak kurang penting adalah perhatian dan kasih sayang.
Maka tidak perlu saya bersusah payah jauh-jauh ke Bandaraya KL sana seawal dinihari kerana mencari gelandangan yang 'layak' diberi makanan, sedangkan di sebelah saya ada kanak-kanak yang kelaparan, dalam kejiranan saya ada keluarga yang dapurnya tak berasap kerana tiada apa untuk dimasak.
Dan benak saya terus berfikir, sebegitu jugalah misi kemanusiaan negara, membawa masuk pelarian perang Bosnia dari Eropah sana suatu ketika dulu, sedangkan beberapa bulan sudah, di perairan kita sudah sedia menanti sekapal ratusan rakyat Muslim Mynmar, etnik Rohingya yang memohon, merayu untuk masuk ke negara kita, 'menumpang' tinggal untuk meneruskan kehidupan. Allahuakhbar! Siapalah kita untuk meletakkan syarat sempadan negara dan batas kewarganegaraan di bumi Allah ini, hingga hilang rasa kemanusiaan.
Negara ini- pihak-pihak berkaitan maupun individu-individu tertentu merasa diri hebat, pukul canang, merekalah 'juara baik hati' kerana bila berlaku sahaja peperangan, penindasan, bencana alam di mana jua ceruk dunia, kepemimpinan negara segera mengarahkan dan individu-individu tertentu ini akan segera sampai dengan membawa pelbagai bantuan dan misi untuk menolong atas nama negara, atau atas tiket agensi dan parti-parti tertentu. Tetapi bila berhadapan dengan isu Rohingya, tak ada tindakan untuk membantu dibuat, malahan masing-masing senyap tanpa suara. Sedangkan, di forum-forum parti dan pentas-pentas kempen, mengakui diri jaguh- 'wira', 'malaikat penolong'. Bukankah ini 'simpatisme', atau keprihatinan yang tak ikhlas, double standard.
Namun sekali lagi... inilah hikmah pengajaran yang sangat besar. Iktibar Allah hadapkan negara dengan keadaan seperti ini. Ujub riak dengan amal baik yang dilakukan. Konon sanggup meredah lautan ke Mesir, Palestine, Iraq, Philipine dan seluruh dunia untuk membantu, tetapi bila sudah di hadapan muka, membantu orang di depan mata, yang memang jelas mengharapkan bantuan, banyak pula alasan yang diberi.
Seketika lamunan saya buyar, tatkala kereta kakak berhenti di depan rumah. Saya turun kereta, dengan kedua-dua tangan penuh memegang bag-bag plastik berisi coklat yang dibeli. Tiba-tiba seekor anak kucing mengiaw-ngiaw membelit-belit kaki. Hampir jatuh saya dibuatnya kerana kaki dihadang melangkah. Allahuakhbar! Rasa nak marah pun ada. Tapi segera hati ini memujuk. Bukankah baru tadi 'engkau' diberi hikmah pengajaran tentang keprihatinan. Tentang peri kemanusiaan! Apakah kini 'engkau' lupa bila berhadapan dengan binatang, dengan seekor anak kucing yang sedang kelaparan?
Ya Allah... peliharaan-Mu itu sentiasa ada.
----------------------------------
Beberapa bulan sudah, seorang sahabat lama berkisah, bahawa dua kali dia bermimpi. Dalam mimpi itu dia sedang menguruskan pusat jagaan orang-orang tua, warga emas.
Ketika itu kami sedang menghadap sarapan pagi di Anjung 17, bangunan pejabat. Actually saya tak lah terlalu serius menanggapi kerana sahabat ini sama seperti saya, hanya seorang kakitangan biasa, dengan keluarga yang biasa-biasa juga. Dan sebelum ini dia tak pernah pun terlibat dengan mana-mana aktiviti kebajikan. Namun saya katakan padanya, dengan tujuan 'ambil hati', "Bukan suatu yang mustahil untuk direalisasikan. Mana tau ada individu-individu tertentu yang punya duit, berharta, punya tanah atau bangunan, dan mahu membantu, ada niat berbuat kebajikan datang jumpa kita, offer kita untuk realisasikan niat baik dorang. Minta kita uruskan rumah kebajikan dorang. Kan segalanya Allah yang mengatur. Kalau Allah dah tentukan begitu... syukur alhamdulillah lah"
-----------------------------------
Kini... saya pulak yang banyak memikirkan....
No comments:
Post a Comment