"Terima kasih ya Allah"
Satu ayat yang saya tulis dengan tangan dan letak di depan meter kereta.
Saya tak ingat tahun bila saya meletakkannya di situ, tapi saya ingat tujuan saya melakukannya iaitu atas rasa syukur saya yang amat-amat sangat kerana selamat daripada kemalangan.
Satu hari, dalam perjalanan memandu balik dari pejabat, saya terlelap. Padahal sekelip mata saja, tetapi bila buka mata, kereta sedang meluncur laju di bahu jalan belah kanan, atas rumput. "Allahuakhbar..." itu perkataan yang terpacul daripada mulut saya. Tika itu juga jantung saya berdegup kencang. Namun syukur saya tak panic. Saya masih boleh berfikir. Sedangkan kalau lambat bertindak dalam 5 meter di depan adalah pokok dan tebing junam yang menanti.
Allah gerakkan kaki saya menekan brake, dan tangan saya pula kuat memegang stering kereta. Sungguh... terima kasih ya Allah. Itu yang saya lafazkan apabila kereta berhenti. Dan perkataan itu terus saya ucapkan dalam hati sepanjang saya meneruskan perjalanan hingga sampai ke rumah.
Hingga kini, tiap kali melalui jalan tersebut pasti kejadian yang mencemaskan itu saya ingati dan tulisan "Terima kasih ya Allah" di depan meter kereta saya renung.
Isu nampak mudah, nampak kecik kan. Apalah sangat... hanya menulis perkataan "Terima kasih ya Allah". Atau dalam bahasa omputeh, "Thank you Allah". Sedangkan dalam bahasa Arab, "Alhamdulillah..." bukan bermaksud "Terima kasih Allah" tetapi "Segala puji hanya untuk Allah". Jadi disebabkan saya tak pandai bahasa Arab... maka untuk menyatakan rasa syukur saya, rasa terima kasih saya pada aturan Allah itu, saya tulislah "Terima kasih ya Allah".
Sebenarnya Allah tu faham... bahasa apa pun yang saya gunakan.. ya tak. Even, saya tak tulis pun Allah tahu apa yang ada dalam hati saya. Dalam fikiran saya, bahawa saya berterima kasih kepada-Nya.
Itulah bezanya perbuatan, perkara zahir yang kita lakukan dengan perkara batin, dalaman kita. Orang nampak apa yang zahir, syariat yang kita tunjukkan. Jasad kita yang bergerak, suara kita, dan sebagainya. Jika baik perbuatan, akhlak kita, dengan mudah orang mengatakan kita seorang yang baik. Tetapi sesungguhnya yang penting apa yang ada di dalam hati kita, qalbu kita. Keyakinan kita terhadap Allah. Memegang kuat hakikat bahawa Allah tahu apa yang ada dalam hati kita bahawa kita yakin segala-galanya dalam Pentadbiran Allah yang maha mentadbir. "Dan berserahlah kepada Allah (dan janganlah menumpukan harapan mu kepada yang lain) kerana cukuplah Allah menjadi Pentadbir urusanmu" Al-Ahzab:3.
Yakin terhadap sifat "Maha-Maha" nya Allah itu dalam semua perkara, termasuklah membaca apa yang ada dalam hati saya, dalam qalbu saya yang sangat berterima kasih kepada-Nya. Tak payah tulis pun Dia tahu... kan!
Tetapi bagaimana untuk kita tunjukkan kepada manusia, terutama kepada anak-anak bahawa kita harus berterima kasih kepada Allah? Mungkin, ini salah satu caranya. Tulis lah.. "Terima kasih ya Allah" atas perlindungan-Nya dan keselamatan yang Dia tetapkan untuk saya, hingga terselamat daripada kemalangan.
Apakah cukup dengan tulisan saya boleh tunjuk tanda terima kasih pada Allah, kepada anak-anak? Tentu tidak. Tetapi susuli dengan penerangan bahawa dengan adanya tulisan tersebut, saya sentiasa diingatkan untuk bersyukur, mengucapkan "Alhamdulillah.." ucapan yang juga sebagai zikir. Tanda syukur yang paling hebat adalah solat. Perbuatan solat itu juga harus ditunjukkan, dizahirkan kepada anak-anak, sebagai contoh ikutan. Tetapi niat solat itu adalah semata-mata kerana Allah, dari Allah, untuk Allah. Bukan solat kerana manusia!
Tanpa sifat Allah yang ada pada kita, tanpa fiil Allah dalam diri kita dan tanpa izin Allah tentu kita tak akan mampu waimma mengangkat takbir. Kita bukan solat sebab nak tunjuk kepada sesiapa, atau untuk nak harapkan apa-apa. Solat semata-mata kita ini hamba. Zikir semata-mata kita ini hamba yang sangat lemah. Tak upaya selain dengan izin dan kehendak Allah. Dan yang paling penting adalah keredhaan Allah yang kita harapkan.
Atas apa jua perkara yang berlaku, ikhlas, redha, sabar dengan bersyukur.
Terima kasih ya Allah...
No comments:
Post a Comment