Bismillahi Rahmaani Rahiim
حَتَّى إَذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِيْنَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِى أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِى أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِى فِى ذُرِّيَّتِى إِنِّى تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّى مِنَ الْمُسْلِمِيْنَ
“Apabila dia telah dewasa dan usianya sampai empat puluh tahun, ia berdoa, “Ya Tuhanku, tunjukkanlah aku jalan untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang engkau redhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang muslim.” (al-Ahqaf: 15)
Doa ini dianjurkan tatkala usia kita mencapai 40 tahun.
Ini kerana pada usia ini, fitrah manusia ingin kembali kepada kehidupan beragama. Ingin mendalami ilmu agama, mengenal Allah, agar dapat beramal dengan lebih sempurna.
Dan pada usia 40-an juga, kepada yang masih memiliki orang tua, ayahibu tentu mereka sudah pun lanjut usianya. Maka kita memohon agar diberi hati yang baik, sabar dan sentiasa bersyukur agar boleh berbuat kebaikan dan beramal bakti kepada keduanya, dengan harapan kebaikan juga buat anak cucu kita nantinya.
Dan tak kurang penting, kita mohon diberi hidayah petunjuk agar menjadi muslim yang sebenar-benarnya, yang beriman kepada Allah.
Sementara Imam Syafie pula ketika mencapai usia 40 tahun, beliau berjalan sambil memakai tongkat. Jika ditanya, jawabnya, “Agar aku ingat bahwa aku ini musafir. Demi Allah, aku melihat diriku kini seperti seekor burung yang terpenjara di dalam sangkar. Lalu burung itu lepas di udara, kecuali kakinya saja yang masih tertambat dalam sangkar. Komitmen aku sekarang seperti itu juga. Aku tidak memiliki keinginan untuk tinggal menetap di dunia. Aku tidak mahu sahabat-sahabatku memberiku sedikit pun sedekah daripada dunia. Aku juga tidak mahu mereka mengingatkan ku sedikit pun tentang kehidupan dunia, kecuali hal yang menjadi kebiasaan ku saja. Di antara aku dan dia, ada Allah.” Sentiasa Allah. Ingat Allah. Segalanya Allah.
Antara perkara yang baik dilakukan bila melewati usia 40-an selain banyakkan beramal, lakukan aktiviti secara alami seperti kerap berjalan kaki yang santai. Nak lari-lari sangat kan dah tak larat. Aktiviti sihat lain adalah bercucuk tanam. Ia bukan saja dapat mengeluarkan peluh, bahkan satu bentuk exercise dan terapi minda.
Aktiviti bercucuk tanam melibatkan gerakan badan dan juga minda jadi aktif. Ini kerana semasa bercucuk tanam selain badan bergerak- bekerja, minda pula aktif berfikir. Pasti ketika menyemai benih pokok kita akan jadi ingat kepada Allah. Kita berserah sepenuhnya nasib kita dan benih yang disemai kepada Allah. Apabila benih pokok mula tumbuh, atau membesar subur, atau pokok berbunga, lalu berbuah tentu secara langsung kita merasa gembira dan bersyukur kepada Allah, kita memuji Allah dan mengakui kehebatan-Nya... yang menumbuhkan pokok dengan baik hingga berbunga dan berbuah.
Memang secara zahir tangan 'kita' yang merumput, menyiram, membaja tetapi jika tidak dengan izin dan kehendak Allah, jangan berangan biji benih yang disemai akan tumbuh, elok subur hingga berbuah.
Pada pekerjaan bercucuk tanam, kita bukan sahaja dianggap "berbudi kepada tanah" tetapi juga mengajar diri meletakkan sepenuh-penuhnya Allah sebagai tempat pergantungan, tempat berserah dan menyerahkan untung nasib. Lalu bila berhasil kita belajar mensyukuri nikmat Allah itu.
Pada pekerjaan bercucuk tanam, kita bukan sahaja dianggap "berbudi kepada tanah" tetapi juga mengajar diri meletakkan sepenuh-penuhnya Allah sebagai tempat pergantungan, tempat berserah dan menyerahkan untung nasib. Lalu bila berhasil kita belajar mensyukuri nikmat Allah itu.
Sementara bila benih yang disemai tak tumbuh, atau mati tanpa sempat berbunga dan berbuah, kita juga belajar redha dan menerima takdir. Kerana kita sudah berusaha menanam, menjaga, menyiram dan membaja, tetapi tanpa izin Allah, pokok akan mati dan tidak menjadi seperti mana yang diharapkan. Maka kita diajar bersabar.
Seperti mana doa dalam ayat di atas, kita memohon agar diberi jalan untuk sentiasa mensyukuri nikmat Allah. Mensyukuri nikmat dengan sentiasa memanfaatkan usia yang masih ada, tenaga yang masih bersisa untuk kebaikan dan kebajikan orang lain. Dalam satu hadis, Nabi Muhammad SAW berpesan, “ Sekiranya berlaku kiamat sedangkan di tangan salah seorang kamu ada benih tamar dan dia berupaya menanamnya sebelum kiamat. Maka hendaklah dia menanamnya” (HR: Al-Bukhari)
Jika kita fikirkan, memang pelik hadis ni. Sudah mahu kiamat, tetapi kita masih disuruh menyemai benih pokok? Kiasannya- lakukan lah sesuatu yang terbaik, berusahalah, buatlah kebajikan walaupun sudah pasti, hasilnya bukan untuk diri sendiri. Bekerjalah selagi ada hayat, biar pun tahu nyawa hampir pergi.
Hasil tanaman depan rumah yang dapat dikongsikan bersama jiran-jiran sebaris. Bila tengok pokok-pokok ini naik membesar, berbunga dan kemudian berbuah, cukup mengembirakan hati. Sebagai menyatakan rasa gembira dan seronok, maka dikongsi-kongsikan lah.
Cantik bila masak serentak. Umpama bunga sejambak.
Mungkin ada yang pernah dengar orang kata, siapa yang rajin bercucuk tanam, selalu bercakap dengan pokok-pokok, usianya panjang. Sihat!
Logik juga. Sebab orang yang rajin bercucuk tanam bermakna dia melakukan aktiviti harian yang menyihatkan. Tidak duduk-duduk sahaja. Terutama untuk orang yang dah berusia 40-an. Kalau kurang bergerak, lebih banyak duduk, maka pelbagai penyakit mudah 'hinggap'. Lagi pun lebih logik akal nya sebab pokok mengeluarkan oksigen dan menyedut karbon diaoksida untuk membuat makanan. Sebaliknya kita manusia, mengeluarkan karbon diaoksida dan memerlukan oksigen. Makna kita manusia ni, dengan pokok adalah saling melengkapi. Maha Sempurna Ciptaan Allah... MaasyaAllah!
Di usia 40-an, selain menitikberatkan pada peningkatan ruhani, jasmani jangan dilupakan. Ambil makanan yang baik dan menyihatkan.
Saya nak share kisah seekor helang ketika memasuki usia 40 tahun.
Kisah helang yang memilih untuk hidup atau mati ketika berusia 40 tahun.
Kisah seekor helang yang tinggal di Amerika Utara yang punya jangka hayat hingga 70 tahun, tetapi untuk mencapai umur itu, helang perlu membuat keputusan yang sangat berat.
Tatkala umur helang mencapai 40 tahun, paruhnya semakin panjang dan membengkok hingga menyukarkan helang mematuk makanan. Paruh itu, malah amat menyakitkannya hingga meyukarkannya untuk makan.
Manakala kuku kakinya yang selama ini digunakan untuk memegang sudah tidak boleh lagi digunakan untuk mencengkam. Kukunya sudah membengkok menjadikannya sukar untuk memegang mangsa dengan kuat.
Dengan peningkatan usia itu, bulu sayapnya menjadi semakin lebat dan begitu juga bulu dibadannya semakin tebal, menjadikannya amat sukar untuk terbang dan melayang badan di udara. Bulu yang tebal itu amat berat hingga mennyusahkan helang untuk terbang tinggi.
Helang hanya ada dua pilihan iaitu mati atau melalui proses perubahan yang amat menyakitkan- untuk terus hidup. Tak ada siapa yang boleh membantu, kecuali helang membuat pilihan yang tepat untuk terus hidup selama 30 tahun lagi. Lalu pilihannya untuk terus hidup.Jadi dengan pilihan itu banyak pengorbanan yang perlu dilaksanakan.
Helang pun terbang jauh ke puncak gunung dan duduk di situ tanpa makan untuk memastikan dirinya lahir sebagai helang baru yang jauh lebih hebat.
Helang pun mula bertindak untuk mengubah dirinya bermula dengan paruhnya dahulu. Paruh yang bengkok itu diketuk-ketukan ke batu hingga tercabutlah paruh itu. Ia perlu menunggu hingga peruh baru tumbuh kemudian dangan paruh baru itulah ia mencabut kuku kakinya. Ia terpaksa menunggu lagi sehingga kukunya panjang.
Kemudian helang mencabut pula bulunya yang cantik dan tebal hingga habis. Helang perlu menunggu lagi hingga bulunya tumbuh. Selepas 150 hari barulah semua proses itu lengkap. Maka jadilah seekor helang yang baru jauh lebih hebat walaupun telah berusia 40 tahun. Untuk 30 tahun akan datang helang itu telah dilahirkan semula sebagai helang baru yang lebih hebat.
Actually ini sekadar kisah mitos masyarakat Orang Asli di Amerika Utara. Namun moral yang hendak disampaikan adalah tentang pentingnya perubahan di dalam hidup... bagi manusia yang mahu berfikir dan mengambil pengajaran.
Jadi pada usia 40-an, banyak kan membuat amal kebajikan sesama manusia, terutama kepada kedua ayah dan ibu; mohon dan berdoa supaya makin dekat pada Allah... diberi hidayah dan petunjuk untuk lebih kenal.
Aamiin.








No comments:
Post a Comment