kudengari satu persatu.. menusuk timpa jauh menyusuri.. hanyut.. di dasar hati.. terhampar di situ.. mata mulai berkaca meruntun airmata.. jiwa mulai basah.. jasad mulai dingin.. karam.. di situ kutemui lagi.. diriMu.

Thursday, August 6, 2015

Anak...

Assalamualaikum wbt.

Sebenarnya hari ini saya kurang bersemangat untuk mencatat di blog ini. Mungkin kerana penat melayan urusan sekolah anak-anak. Ya begitulah, kan. Orang ada anak sibuk melayan anak-anak. Orang yang tak punya anak, sibuk pula berikhtiar untuk mendapatkan anak, dapat zuriat. Sanggup belanja puluhan ribu ringgit untuk berubat dan mencuba pelbagai cara. Sebab tak mau berbeza daripada pasangan lain dan tak mau kurang dari orang lain.

Kita boleh berikhtiar dan berusaha. Hanya saja di mana kita halakan keyakinan dan meletak penyerahan? Kepada doktor yang punya gelaran "Pakar", atau kepada Allah. Ikhtiar lah apa cara pun juga, tapi jangan sekali-kali lari dari menyerahkan sepenuhnya kepada Allah. Bergantung harus semata-mata kepada Allah, bukan ubat, bukan doktor, bukan duit, bukan manusia.

Samalah seperti kita bangun pagi, celik mata terus fikir kan task atau jadual harian yang sudah kita buat untuk hari ini dari pagi hingga ke malam. Kita anggap dengan jadual yang dah diatur rapi kerja kita pasti beres. Ya kah?... Di mana Allah kita letakkan tatkala itu?

Selalu jadi bila satu-satu ikhtiar kita gagal, satu-satu usaha kita tak berjaya baru kita ingat Allah, kita kata, "Allah tak izin. Tak ada rezeki saya". Tapi bila berjaya, "Saya dapat lakukannya dengan baik." "Doktor tu hebat..." dan sebagainya.

Jadi bila berikhtiar... harus Allah di depan. Allah didahulukan. Orang kata usaha dulu baru tawakkal. Sebenarnya tawakkal lah dulu... serah dulu pada Allah untuk apa pun jua aturan dan congakkan-Nya untuk setiap hari-hari yang kita lalui. Sentiasa ingat Allah yang mengatur segala. Kita hanya mengikut sahaja. Kan kita digalakkan selalu sebut, "Laahaulawala quwataillabillah.." Apa maknanya, "Tiada daya upaya manusia malainkan dengan izin dan kehendak Allah jua" dalam semua perkara, tanpa kecuali.

InshaAllah, jika kegagalan yang kita dapat, ketidakberjayaan itu boleh kita terima dengan sangat redha dan ikhlas. Kesedihan dan keperitan jadi nikmat. Malahan kesakitan dianggap sebagai satu rahmat....

Khas buat adik-adik ku,

Anak bukanlah segala-galanya kerana ia hanya sebahagian dari perhiasan dunia... Cuba perhatikan keliling kita. Ada orang cacat, tanpa kaki dan tangan kawin, dapat anak. Ada orang sakit, buat dialysis 3 kali sehari, boleh mengandung dapat zuriat, dan pelbagai macam keadaan orang yang kita tengok tak sempurna, bila kawin boleh dapat anak. Sedangkan kita sempurna, sihat tak dapat zuriat. Kenapa?

Satu sahaja jawapannya. Sebab Allah memang tak mahu beri kita zuriat. Jangan tanya sebab kenapa. Jangan bersoal jawab dengan Allah. Jangan kata, sebab aku sihatlah maka aku sepatutnya ada anak, atau terfikir, sedangkan dia cacat boleh ada anak, takkan aku yang sihat tak boleh mengandung. Siapa kita nak berkata begitu terhadap Allah. Dijauhkan sekali-kali terdetik dalam hati kenyataan-kenyataan seperti itu.

Tentu punya hikmah yang sangat besar pada setiap yang Dia atur untuk kita. Berusahalah untuk redha dan ikhlas.

Wallahuaklambissawab...




No comments:

Post a Comment