Maha suci Allah... suci dari segala sesuatu yang tidak baik.
Terima kasih Allah... pagi ini bangun dengan lebih ceria. Bukan apa sebab hari ini boleh releks dan beraktiviti dengan agak santai. Tidak seperti biasa. Yang serba serbi harus cepat dan segera.
Apa yang paling saya suka sebab hari ini dan seperti hari-hari tak bekerja yang lain, saya boleh mengadap pokok-pokok, berada di bawah pancaran matahari pagi yang menyehatkan. Rasa tenang dan damai.
Kini saya punya hobi baru, menanam pokok bunga ros jepun. Suatu ketika dulu, zaman saya remaja, emak pernah menanam pokok bunga ini. Namun yang saya ingat rupa dan warnanya agak terhad. Hanya dua tiga spesies sahaja, tidak seperti sekarang. Terdapat hampir berpuluh jenis dengan kombinasi warna yang sangat cantik. Subhanallah.
Dulu tak ada rose jepun dengan warna seperti ini.
Dan dulu-dulu juga tak ada rose jepun yang kelopaknya seperti ini.

Sebenarnya saya punya cita-cita, satu hari nanti punya kebun sendiri. Bukanlah kebun buah-buahan yang setaraf dusun, atau kebun sayur yang setaraf Cameron Hihglands, tapi cukuplah sebatas dua pokok-pokok sayur yang ditanam sendiri serta sepasu dua pokok-pokok bunga sebagai memenuhi masa. Tapi dengan cara yang betul... bukan asal-asalan. Asal ada!
Kalau ikut-ikutkan hati pulak, ingin sekali punya ladang nursery pokok dan landskap. Tentu best kan. Bergelumang dengan tanah, air dan pokok-pokok. Berkreativiti dengan alam semulajadi. Dan tentunya minat seperti ini akan lebih bermakna jika orang sebelah juga punya kecenderungan yang sama... kan! Tapi apa pun jua, semua tu bukanlah halangan untuk merealisasikan cita-cita dan harapan... ya tak..?
Kepada sesiapa yang pernah menatap majalah Laman, atau pernah ke pusat nursery pokok dan lanskap yang terkenal di Sungai Buluh tentu faham... keseronokan dan kepuasan yang boleh dirasai bila melihat pokok-pokok tumbuh subur, daun yang menghijau segar, bunga-bunya yang mekar pelbagai warna... mashaAllah. Cuba kita fikir-fikirkan betapa hebat kuasa Allah SWT.
Dengan tanah yang sama, baja yang sama, air yang sama, tangan yang menyemai membaja juga sama boleh tumbuh pokok yang berlainan rupa, bentuk, kuntuman bunga yang pelbagai warna, serta buah yang berjenis-jenis dengan rasa yang berbeza-beza. Ini saja sudah cukup membuatkan kita manusia mengakui kebesaran dan kekuasaan Allah.
Dan saya solute pada mereka yang mahu terjun sepenuh masa bekerja bercucuk tanam, berladang, bersawah sebagai sumber nafkah seharian. Bayangkan.... tentu dengan cekal dan tawakkal yang bulat, mereka menyerahkan segala-galanya kepada ketentuan Allah. Petani, pekebun, pesawah ini menyemai benih pokok. Sedangkan mereka langsung tidak punya jaminan bahawa benih yang disemai itu pasti hidup, pasti membesar dengan subur, pasti berbuah. Segala-galanya diserahkan ke 'tangan' Allah yang memegang ayat ajaib "kun fayaakun", maka jadi, jadilah!
Sungguh mantop sifat berserah dan tawakkal mereka kepada Allah. Tawakkal mereka sebelum memulakan kerja bercucuk tanam, dan bukan sebaliknya selepas pokok membesar subur berbuah, atau tika sebaliknya yang berlaku, maka menganggap Allah tidak mengizinkan.
Tawakkal beginilah yang membuatkan mereka tidak pernah berputus asa, sentiasa subur harapan terhadap rahmat dan kasih sayang Allah.
Ya Allah, ya Rahmaan ya Rahiim...


No comments:
Post a Comment