kudengari satu persatu.. menusuk timpa jauh menyusuri.. hanyut.. di dasar hati.. terhampar di situ.. mata mulai berkaca meruntun airmata.. jiwa mulai basah.. jasad mulai dingin.. karam.. di situ kutemui lagi.. diriMu.

Friday, August 7, 2015

Harus bagaimana...?

Alhamdulillah...
Sudah hari Jumaat lagi. Syukur kerana masih diberi usia dan kesihatan.

Hari ini saya memulakan perjalanan ke tempat kerja sepagi yang boleh. Sebab ikut maklumat yang saya dapat, Bandaraya KL akan mengadakan KL City GrandPrix. Jadinya beberapa jalan utama yang berada di Lembah Segi Tiga Emas Kuala Lumpur akan ditutup untuk laluan kereta-kereta berlumba. Secara persis memang laluan saya tak terlibat sama sekali. Hanya saja sedikit kebimbangan jika mereka-mereka yang terlibat langsung laluannya ini akan keluar lebih awal sebelum 7.30 pagi.

Namun alhamdulillah... puji syukur Allah, Perjalanan saya sama seperti hari-hari yang lain. Tiada perbezaan. Kereta tidak terlalu banyak dan tidak juga berkurang. Dan saya dapat sampai ke pejabat mengikut tempoh masa yang sama seperti mana biasa.

Sepanjang perjalanan saya memikir-mikir... (memang itu 'hobi' saya kini... memikir!) Apa faedahnya diadakan event seperti ini, sebab nak tarik pelancong? Ada banyak cara lain boleh diusahakan dan boleh dilakukan oleh DBKL kalau tujuannya nak tarik pelancong. Atau nak ikut negara jiran, buat perlumbaan kereta dalam bandar? Sebab tak mau kalah dengan negara jiran yang satu itu?... Ah, itu sebab mereka tak ada litar perlumbaan. Sedangkan kita punya Litar F1 yang cukup canggih... mengikut pandangan saya, orang yang tak berapa cerdik nih.

http://m.utusan.com.my/rencana/bermulanya-acara-sukan-tidak-berfaedah-menyusahkan-rakyat-1.121953

Lantas tak habis memikir saya dibuatnya. Dan tambah semerawut fikiran saya sebab bukan kah sekarang negara sedang dalam 'nestapa', agak 'haru-biru' kerana menanggung hutang 1MDB yang berbilion Ringgit... kenapa buat pula event seperti ini...? Memang pelik.

Tah, kepada siapa soalan ni nak saya tujukan.. saya pun tak tau!.

Kalau dari segi infra, pembangunan fizikal saya melihat negara ini sudah sangat maju. Terutama di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Penang, Johor Baharu, Melaka, Kota Kinabalu. Hanya di beberapa negeri mungkin masih memerlukan pembangunan projek-projek perumahan, ruang pejabat, sekolah, universiti dan beberapa infrasturtur asas seperti  jalan raya, pengangkutan awam, kemudahan air bersih dan bekalan elektrik. Rakyat negara ini juga sudah cukup dengan segala macam tempat hiburan dan liburan.

Pada saya yang perlu diberi perhatian kini adalah pada pembangunan ruhani, dan mentally, yang berbentuk pengisian jiwa- akhlak dan iman, kemajuan fikiran, sikap dan rasa kasih sayang. Dan tak berlebihan juga kalau saya katakan, rakyat sebenarnya dahagakan ketenangan, keselesaan kehidupan, kesejahteraan lingkungan dan juga jaminan dari segi keselamatan dan mendapat kepimpinan yang baik, bukan sahaja di peringkat tertinggi... (itu sudah pasti) tetapi juga pemimpin dari peringkat paling asas- di rumah, di pejabat, dalam masyarakat, jabatan dan agensi kerajaan serta swasta. Pokoknya, kita inginkan masyarakat yang terpimpin akhlaknya, lalu boleh memimpin terutama memimpin diri sendiri (terlebih dahulu).

Kalau dulu kita lebih banyak memikir, di mana nak sekolahkan anak, bagaimana nak cari duit lebih, di mana nak beli rumah tapi sekarang kita, rakyat lebih banyak memikirkan, bagaimana masa depan negara ini, bagaimana kehidupan anak-anak kita nantinya. Atau dengan kata lain, dengan keadaan negara yang sebegini, ada kebimbangan bagaimana rakyat generasi seterusnya hendak meneruskan kehidupan. Bukan sahaja dari segi ekonomi yang sangat tidak meyakinkan, dari segi kuasa dan kepimpinan bangsa yang berlandaskan agama juga kini sangat-sangat disangsikan.

Simpulannya, actually saya tak mahu berhujah banyak tentang kefahaman kita pada asas penciptaan manusia, dari sudut agama. Cukuplah kita renung sejenak terciptanya kita manusia ini dari sudut kemanusiaan itu sendiri. 

Dengan menilik pada zahir jasad kita sendiri sepatutnya dah cukup menginsafkan. Serba serbi lemah. Umur hidup pun paling-paling lama 60 tahun 70 tahun atas dunia. Kalau dapat lebih sampai 80 tahun 90 tahun itu kira bonus. Tapi pun selalunya di usia sebegitu boleh dibilang berapa jer yang masih siuman, tak nyanyuk pelupa. Kalau Allah tak bagi kekuatan tenaga, nak angkat tangan garu kepala pun tak daya. Maka berusahalah kenal diri, kenal siapa kita, supaya kita boleh kenal sang pencipta kita, kenal Allah. Orang yang kenal Allah... inshaaAllah akan terpelihara. Jauh dari perbuatan dan perkara-perkara yang merusakkan diri sendiri dan orang lain. Apa yang penting punya rasa ehsan, rasa diri ini hina, tak ada yang lebih berkuasa- selain Allah, jadi manusia yang bertimbang rasa, mengasihi sesama manusia, tidak tamak haloba, memikirkan kebajikan orang lain dan yang penting berkasih sayang. 

Mungkin 'bunyi'nya terlalu sempurna... tetapi itulah hakikat. 
Bila manusia kenal dirinya secara rata, lalu dia akan mengenal Allah secara nyata!



No comments:

Post a Comment